Kedutaan Itali tertarik dengan puisi Melayu
TIGA puluh tahun yang lampau, saya mempelajari dua bahasa tambahan di universiti iaitu Bahasa Perancis dan Bahasa Itali. Ia amat menyeronokkan dan sehingga hari ini saya terkenang Profesor bahasa Perancis saya, Vincent Basseville di Canada dan Michelle Tu di Alliance Francaise Kuala Lumpur.
Walaupun saya tidak lagi dapat menggunakan kedua bahasa dengan baik, saya sentiasa cuba membaca puisi dalam Bahasa Perancis dan Itali supaya tidak terus kehilangan.
Pada tahun 2019, saya dijemput untuk menyampaikan satu pembentangan mengaitkan Dunia Melayu dan Leonardo Da Vinci di suatu majlis anjuran Balai Seni Visual Negara dan Kedutaan Itali bersempena 500 tahun Da Vinci.
Saya sempat berbual dengan Atase Kebudayaan dari Kedutaan Itali di Malaysia, Eliana Salvi dan cuba menggunakan bahasa Itali yang telah lama pudar!
Selepas itu, pihak Kedutaan Itali menjalankan satu projek diilhamkan oleh karya Dante, The Divine Comedy dan ingin mencari puisi cinta dalam Bahasa Melayu dalam dua kategori - puisi klasik dalam bentuk pantun, gurindam dan syair dan juga puisi kontemporari atau sajak.
Mereka menghubungi saya dan saya berkongsi sedikit sebanyak dan menghantar beberapa pantun dan puisi.
Saya katakan pantun kekal relevan hingga hari ini tetapi syair lebih popular untuk mengisahkan legenda lama seperti Syair Siti Zubaidah dan Syair Bidasari.
Pantun ialah sejenis puisi Melayu yang mungkin terdapat dalam dua, empat, lapan atau dua belas baris tradisional yang mana pantun empat baris paling popular.
Ia adalah satu bentuk pantun tertua dari Kepulauan Melayu atau Nusantara dan boleh didapati dalam bentuk pantun nasihat, cinta, jenaka, teka-teki, pantun kanak-kanak dan banyak lagi.
Contoh-contoh pantun klasik tentang cinta yang saya kongsikan - nampak ringkas tetapi kekal abadi dan menawan hati.
Pantun klasik agak sukar untuk diterjemahkan, kerana metafora dalam dua baris pembayang biasanya berdasarkan pemerhatian budaya.
PANTUN KLASIK
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan
Delicious offerings in hand
Fragrant basils, picked in the garden
Forsaking mother and homeland
In pursuit of this love, so forbidden
Jikalau tidak kerana bintang
Masakan bulan terbit tinggi?
Jikalau tidak kerana abang
Masakan saya datang ke mari
If it were not for the stars above
The moon would not hang so high
If it were not for you, my love
I would not have ventured nigh
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Harvest the paddy before it ripens
As tomorrow it may all wither
Exchange glances now between us
As tomorrow, we may miss one another
Puisi Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang, Prof Muhammad Haji Salleh, Hamka berserta puisi saya “Tatkala Bersama Mu” dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Perancis, Inggeris dan tentu sekali, Bahasa Itali.
Legenda berdasarkan cinta ditulis dalam bentuk syair juga saya kongsikan bersama Kedutaan Itali.
Beberapa contoh ialah Syair Ken Tambuhan, Syair Bidasari dan Syair Siti Zubaidah yang mengandungi lebih 4,000 rangkap syair.
Beberapa kegemaran peribadi ialah Panji Semirang - Cinta antara Galuh Chendera Kirana dan Raden Inu Kertapati serta kisah Walinong Sari dan Putera Kayangan Amar Segara.
Pihak Kedutaan begitu berterimakasih dan baru-baru ini saya menerima berita bahawa projek ini telah membawa pelajar Universiti Malaya dan Hanoi University bersama mengenal karya Bahasa Melayu.
Puisi Datuk Dr Usman Awang berjudul Kekasih dan juga Tatkala Bersama Mu telah diterjemahkan oleh pelajar universiti di Malaysia dan Vietnam ke Bahasa Itali dan Vietnam dalam usaha pertukaran budaya pihak Kedutaan Itali.
Akhirnya, pada tahun ini, pihak Kedutaan, Tamara Boscia menghantar petikan puisi saya dibaca dan diterjemahkan dalam Bahasa Vietnam di minit 43.11 di sini:
Hanoi University and Universiti Malaya: Settimana della lingua italiana nel mondo 2021 - YouTube
Pada hujung tahun ini pula, pihak Kedutaan ingin menterjemah beberapa kisah Hikayat yang telah saya karangkan dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Itali.
Sebenarnya dunia telah lama mengiktiraf Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Dari lingua franca di Dunia Alam Melayu hingga kini Bahasa Melayu diiktiraf sebagai 10 bahasa yang paling digunakan di dunia.
Dari interaksi saya bersama Kedutaan Itali yang kecil ini pun, kita lihat bagaimana dunia mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai satu bahasa indah, relevan dan patut diperkasa sebagai warisan dunia. Banggalah dengan Bahasa Kebangsaan kita.
Jika bukan kita, siapa lagi!
KEKASIH
Oleh Datuk Dr Usman Awang (1929 - 2001)
Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu
Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu
Akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu
Akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu
Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.
Tatkala Bersama Mu (When I am with you)
Senja kembali
Purnama rindu
Kata kata kekasih
membelai ku
Tatkala bersama mu
Malam berlabuh di tirai
***
at dusk
the moon in my palms
wings give flight to words of love
I sigh and tremble
when I am with you
night will be here soon
***
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]