Kepentingan Sejarah Menegakkan Kebenaran Ratusan Tahun
Dari abad ke-15 hingga ke-17, kita melihat kebangkitan Ratu-Ratu Nusantara. Tun Fatimah. Arduga Wijamalai. Ratu Patani. Cik Siti Wan Kembang. Puteri Saadong. Ratu-Ratu Acheh.
Mereka memerintah empayar dan jajahan di Melaka. Patani. Kelantan. Langkasuka. Laksamana Keumalahayati dari Acheh pula baru-baru ini diberi penghormatan oleh UNESCO.
Inilah ratu-ratu yang mencatur geopolitik Nusantara dengan cara halus, membawa keamanan di rantau yang menjadi rebutan dunia. Pada zaman yang gemilang itu, kapal-kapal dari seluruh dunia datang mencari kekayaan Nusantara. Rempah-ratus. Wangi-wangian. Emas.
Baginda ratu kita telah memainkan peranan penting dalam politik, diplomasi, dan perdagangan di seluruh wilayah. Tersohor demi kekuatan, kecekalan, dan kepimpinan, mereka pemerintah yang dikagumi dalam sejarah berzaman.
Sejarah, tunggak jatidiri
Sebenarnya, menegakkan kebenaran sejarah selama ratusan tahun merupakan satu tanggungjawab yang mesti kita teruskan dan pertahankan. Malah, Raja terdahulu sedar kepentingan melakar sejarah.
Baru-baru ini, kita telah mengembalikan nama asli Bukit Melaka setelah menggunakan nama yang diberikan oleh penjajah sekian lama. Walhal dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu telah jelas nama Bukit Melaka diberi kepentingan.
Kita boleh mengambil pengajaran dari Singapura telah lama menolak Sejarah Melayu dan mengangkat Stamford Raffles sebagai ‘Founder of Singapore’ meskipun pada hakikatnya ia adalah seorang penjajah.
Namun, pada perayaan Bicentenial Singapore beberapa tahun yang lalu, Singapura akhirnya mengakui bahwa Sang Nila Utama adalah tokoh sejarah yang membuka Singapura, dan bukannya Raffles.
Pengiktirafan ini mencerminkan semangat dan pengakuan terhadap warisan Melayu sejarah negara tersebut. Sang Nila Utama, seorang penguasa kerajaan Sriwijaya yang dikatakan memulai perjalanan ke Singapura pada abad ke-13.
Keputusan untuk mengakui Sang Nila Utama sebagai tokoh sejarah pembuka Singapura juga mengakui warisan Melayu yang kuat dan penting dalam membentuk identiti negara tersebut. Sejarah Melayu tetap menjadi referensi penting bagi pemahaman sejarah dan mendapatkan inspirasi dalam zaman ini.
Singapura mencerminkan komitmen untuk memperkuatkan ikatan dengan akar sejarahnya dan menempatkan warisan Melayu di pusat pembangunan negara. Langkah ini juga dapat mendorong kesedaran dan pemahaman yang lebih luas tentang sejarah Melayu di kalangan warga Singapura dan di seluruh dunia.
Strateginya halus, Singapura dapat terus memperkuat hubungan dengan negara-negara tetangga dan merangkul sejarah yang kaya di rantau ini.
Sejarah, pulihara khazanah
Kini, melalui rekod sejarah yang sama, kita juga telah menegakkan kembali nama Bukit Melaka. Sudah jelas dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, bahwa nama Bukit Melaka memiliki kepentingan sejarah yang tidak dapat disangkal lagi.
Bagi yang tidak bersetuju, mereka terus menidakkan kesahihan Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah walaupun telah diangkat oleh UNESCO sekalipun. Masih mengagungkan peninggalan Portugis, Belanda dan Inggeris!
Sejarah Melayu antara manuskrip lama yang disegani di seluruh dunia. Menurut Cik Srikandi, “Jumlah versi atau salinannya yang kini mencapai jumlah 32 versi di seluruh dunia... Sulalatus Salatin akan tetap menghantui mereka yang bencikannya.”
Sejarah Melayu, yang merupakan salah satu sejarah terawal tentang kerajaan-kerajaan Melayu dan perkembangan Islam di rantau ini, telah menjadi rujukan utama untuk mendapatkan pemahaman yang lebih dalam tentang warisan budaya dan sejarah bangsa Melayu.
Tulisan-tulisan ini, baik dalam tulisan Jawi tradisional maupun tulisan Rumi moden, masih dijadikan bahan rujukan oleh para sejarawan dan cendekiawan zaman ini dalam proses penelitian dan penulisan.
Tun Sri Lanang pula adalah tokoh penting di dalam penyalinan dan penyusunan semula Sejarah Melayu. Beliau tokoh Johor dan Acheh berjasa dalam mengumpulkan dan menyusun manuskrip-manuskrip Melayu yang berharga di Istana.
Tanpa kesungguhan beliau, banyak kisah penting dalam Sejarah Melayu mungkin telah hilang untuk selamanya, termasuklah kisah Bukit Melaka.
Oleh itu, adalah tanggungjawab kita semua untuk terus memelihara dan memulihara kepentingan khazanah dan warisan budaya serta sejarah bangsa ini.
Mempelajari sejarah dan kesusasteraan Melayu bukan sahaja memberi kita satu pandangan tentang masa lalu, tetapi juga melestarikan identiti dan keunikan budaya kita.
Melalui kefahaman yang mendalam tentang sejarah dan kesusasteraan Melayu, kita dapat menghargai peranan penting perkembangan budaya dan agama di rantau ini. Selain itu, ia juga memupuk rasa kebanggaan dan pemahaman budaya yang membolehkan kita terus berkembang sebagai masyarakat yang bersatu dan maju.
Bagai Ratu-Ratu kita yang terdahulu, peliharalah warisan sejarah dan kesusasteraan Melayu sebagai satu aset kebanggaan, kekuatan dan sumber inspirasi bagi seluruh nusa dan bangsa dan generasi masa depan.- DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA