KETIKA ULEK MAYANG BERKUMANDANG DI PRIMULA
Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala
MUNGKIN ramai tidak ingat pada tahun 1989, arwah Datuk Sudirman Hj Arshad dinobatkan sebagai Penghibur Asia No 1 dalam acara gilang gemilang di Royal Albert Hall, London.
Sejak tahun 1976, setelah memenangi Bintang RTM, Sudirman yang berasal dari Temerloh, Pahang mendekatkan diri kepada semua lapisan masyarakat Malaysia dengan lagu-lagu yang popular dan persembahan yang unik. Malah, Sudirman terus terkenal di seluruh Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Pada tahun 1990, Sudirman telah membuat persembahan di Primula Hotel, Kuala Terengganu dan beliau telah membuka konsertnya dengan lagu Ulek Mayang.
Sudirman salah seorang penghibur yang tidak pernah melupakan alunan ritma Melayu tradisional walaupun lagu-lagunya yang paling terkenal berirama pop.
Antara lagu lagu tradisi yang pernah dibawa olehnya termasuk Jali-jali, Seri Tambak, Seri Sarawak dan Anak Dagang. Dengan menyanyikan lagu Ulek Mayang di Terengganu, Sudirman memberi penghormatan pada lagu rakyat, khususnya lagu rakyat berasal dari negeri itu sendiri.
Lagu Ulek Mayang telah lama sebati dalam penceritaan Hikayat lama Mayang Sari, kisah Awang anak Terengganu yang sayangkan ibunya dan mencari ubat untuk menyembuhkan penyakit ibunya iaitu bunga bakawali dari Kayangan.
Awang menunggu Tuan Puteri bertujuh turun mandi di Tasik Cermin sehingga bertemu puteri kayangan, Mayang Sari. Mayang Sarilah membawa Awang ke Kayangan untuk mendapatkan bunga Bakawali.
Namun, apabila Awang pulang ke bumi nyata, dia terlalu rindukan Tuan Puteri Mayang Sari hingga hampir maut, dan Tuan Puteri bertujuh pun turun mengubati Awang. Lagu ini juga dahulu kala dikaitkan dengan upacara pesta pantai yang kini tiada lagi.
Ternyata hingga kini, melodi dan keunikan lagu Ulek Mayang ini mampu mengingatkan pendengar pada Dunia Melayu yang semakin pupus. Lirik lagunya membawa kita ke satu zaman kehidupan di mana kehidupan di laut dan di darat ada rahsia dan pancaroba yang tersendiri.
Contoh lagu rakyat lain sepeti Selasihku Sayang, Puteri Santubong dan Walinong Sari ini sebenarnya telah lama mendapat tempat seluruh Nusantara terutama di Semenanjung, Sarawak, Brunei, Singapura dan Riau.
Ia adalah gemersik jiwa orang Melayu yang tidak boleh ditukar ganti dan disulami pantun dan nasihat yang telah dikekalkan zaman berzaman. Dalam lagu rakyat, seperti juga Hikayat Melayu, tertanam naluri dan jiwa Melayu yang kini mula menghilang.
Lagu rakyat menunjukkan kekayaan kreatif Dunia Lagu Asli Melayu. Alat alat muzik seperti gamelan, gambang, nobat, rebab, gambus, gendang, seruling dan biola serta gong dan caklempong sedikit sebanyak mengangkat mertabat kita di arena seni.
Namun kini Lagu Asli semakin jauh ditinggalkan. Ini sebenarnya sesuatu yang amat perlu dikembalikan untuk menaikkan semangat jati diri dan sayang pada Dunia Melayu.
Masalah timbul apabila satu dua generasi langsung tidak mengenali lagu-lagu ini lagi, dan ia akan lenyap ditelan zaman.
Sepanjang saya bekerja, saya cuba membawa budaya Melayu untuk diketengahkan bagi membawa satu kelainan termasuk bila saya bertugas di Royal Lake Club dan Royal Selangor Golf Club. Kami membawa persembahan Wayang Kulit, Keroncong dan Joget serta malam P Ramlee yang mendapat sambutan baik semua tidak mengira bangsa.
Malah persembahan Makyung oleh Allahyarhamah Diva makyung Khadijah Awang dijadikan Persembahan DiRaja untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dihadiri oleh pelbagai bangsa dan kami pastikan pengacara majlis memberi penerangan dalam Bahasa Inggeris supaya jalan cerita difahami semua hadirin.
Sebenarnya, semua penghibur tersohor negara tidak melupakan tanggungjawab memelihara lagu tradisi. Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk Sudirman dan Datuk Sharifah Aini antara mereka yang membawa lagu tradisi dengan begitu indah. Begitu juga Datuk Siti Nurhaliza. Jangan lupa Datuk D J Dave dan Datuk Andre Goh yang mementingkan lagu asli Melayu…
Jangan kita sekali-kali menolak warisan tradisi lagu rakyat kita dengan memberikan semata-mata kerana kononnya telah ‘outdated’ atau ketinggalan zaman. Bukankah sesuatu yang baik atau klasik itu bertambah mutunya dengan peredaran zaman?
Sedar tidak sedar anak-anak kita dibuai warisan tradisi China dań Barat. Tak percaya? Dengarlah lagu gamer atau e-sports kini dialuni ritma dan lagu Mandarin, Korea dan Jepun. Cerita drama Korea dan Mandarin juga membisikkan keindahan alat musik pipa dan erhu pada generasi yang mungkin tidak mengenali gamelan, gambus dan gendang.
Lihat bagaimana budaya lain menyantuni peminat seluruh dunia secara tidak langsung dan halus melalui keindahan budaya tradisi mereka. Kita pula terus kehilangan. Ini sesuatu yang sangat bahaya buat kekuatan minda anak bangsa. Indonesia sangat mempertahankan budayanya. Ini sesuatu yang patut dicontohi.
Mementingkan bahasa dan budaya adalah langkah penting memperkuatkan jati diri bangsa.
Berbalik kepada Konsert Sudirman di Primula Hotel, pernahkah terfikir kenapakah hotel tersohor ini dinamakan Primula Hotel? Jika kita cari sejarah nama Primula memang tidak tertulis di Google atau di mana-mana.
Namun jika kita mengkaji peta peta sejarah terawal Tanah Melayu iaitu peta-peta yang diilhamkan peta Ptolemy di kurun ke-2 itu, ada tertulis nama Perimula di peta tersebut di lokasi yang seakan-akan Terengganu zaman silam. Teluk Siam pula dipanggil Teluk Perimulus. Apakah rahsia Primula ini? Satu topik yang mungkin kita kaji di lain lembaran.
Nota: Al-Fatehah dibacakan untuk arwah Sudirman Hj Arshad yang berjaya menawan hati seluruh rakyat Malaysia, tidak mengira umur dan bangsa. Video persembahan beliau di Kuala Terengganu boleh ditonton di sini.
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]
BACA KOLEKSI DARI HIKAYAT KITA: