Mek Melung diiktiraf UNESCO - "Warisan Budaya Tak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera" | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 11 Dec 2023 07:00 AM

MEK MULUNG DIIKTIRAF UNESCO - “WARISAN BUDAYA TAK KETARA YANG MEMERLUKAN PERLINDUNGAN SEGERA'

 


 


PADA 2007, 'Mek Mulung', sebuah teater tradisi ratusan tahun hampir pupus sama sekali dan dalam risiko hilang dari pentas seni budaya Malaysia.

 

Melalui usaha  gigih Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Mek Mulung melalui proses pemuliharaan yang berstruktur di peringkat akar umbi sehingga ke pentas Istana Budaya, terus berkembang. Ini merupakan satu daripada aspirasi dan impian Ketua Pengarah JKKN pada masa itu, Tan Sri Norliza Rofli. 

 

Pada hari ini, persembahan Mek Mulung diterima baik oleh masyarakat. Banyak sekolah seni dan institusi pendidikan yang mengadakan kursus dan program latihan Mek Mulung bagi generasi muda. Pada perayaan kebudayaan dan festival, biasanya terdapat persembahan Mek Mulung yang menarik perhatian ramai.

 

Selain itu, media sosial dan teknologi digital juga telah membantu menyebarkan pengetahuan tentang Mek Mulung kepada masyarakat luas. Terdapat beberapa video dan dokumentasi tentang Mek Mulung yang dapat diakses oleh orang-orang di seluruh dunia.


 

hikayat

 


Keberhasilan persembahan Mek Mulung pada pertandingan di Barcelona, Sepanyol pada tahun 2017 telah membantu meningkatkan populariti dan pengiktirafan seni ini.

 

Prestasi tersebut membawa perhatian internasional kepada Mek Mulung di mana Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP) menjuarai Festival Antarabangsa Seni (Monolit) di Barcelona, Sepanyol.

 

Persembahan Mek Mulung oleh lima pelajar Tingkatan Dua sekolah itu juga mendapat penghormatan dan menerima hadiah istimewa bagi pertunjukan cemerlang dalam pertandingan yang disertai 26 negara.

 

Yang terkini, teater tradisi Mek Mulung dari Wang Tepus, Kedah telah berjaya disenaraikan di bawah kategori “Intangible Cultural Heritage in Need of Urgent Safeguarding” semasa Sesi ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) di Kasane, Republik Botswana pada 22 November 2023. 

 

DARI TRADISI KE PENTAS MODEN

Secara tradisinya, pengetahuan dan kemahiran berkaitan Mek Mulung diturunkan secara lisan oleh pengamal kepada generasi seterusnya. Pada masa kini, tradisi Mek Mulung disebarkan di institusi pendidikan seperti sekolah seni dan universiti, seperti ASWARA, selain seminar, bengkel, forum dan festival dan perayaan kebudayaan.


 

iktisad

 


Baru-baru ini, Hikayat Fandom telah mementaskan persembahan Mek Mulung Kumpulan Akar Seni Malaysia dibintangi Arja Lee dan Zamzuriah Zahari di majlis Pelancaran Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild di GMBB. Kisah berkisar dari salah satu buku Hikayat Kid Series berjudul Putera Cahaya Bulan - Kisah Dari Makyung. 

 

Selain dari Putera Cahaya Bulan, hanya tinggal tiga cerita asli Mek Mulung iaitu Dewa Muda, Dewa Kacak, dan Puteri Dua belas. Selain itu terdapat empat jenis tarian dalam persembahan Mek Mulung, antaranya ialah Puteri Mabuk, Anak Manora, Gambang dan Sedayung yang masih dipertahankan. 

 

PUTERA CAHAYA BULAN

Dinda bagai Srikandi 
Tidak gentar pada dugaan
Kakanda akan menyusuri 
Di bawah sinar rembulan

Pesanan terakhir Putera Chahaya Bulan
pada Adindanya, Puteri Nang Mara
 
Suatu ketika dahulu terdapat sebuah istana gah dan indah dibina seorang raja muda bernama Putera Cahaya Bulan. Ia istana yang mengagumkan, tersohor begitu menakjubkan! Bumbungnya diperbuat dari cermin dan perak.  Pada waktu bulan purnama, istana bersinar dengan cahaya berseri yang dapat dilihat dari jauh.
 
Raja mempunyai seorang adik kembar tersayang, Puteri Nang Mara nama diberi. Putera Cahaya Bulan memerintah dengan bijaksana. Bagaimanapun, istana indah itu menarik minat Raja Siam yang jauh, dan pada suatu hari, rombongan dari Siam tiba untuk meminang Nang Mara.

 

Apakah kesudahannya? Bacalah kisah Putera Chahaya Bulan dari Hikayat Kids Series. 


 
Secara keseluruhannya, perkembangan Mek Mulung dari tahun ke tahun telah membuktikan kemampuannya dalam mempertahankan warisan budaya dan menarik minat generasi muda serta pengakuan dari komuniti seni dunia.


 

iktisad

 


Pada hemat saya, cara paling sesuai memperjuangkan warisan budaya sebegini adalah satu program holistik bermula dengan Kementerian Seni, Budaya dan Warisan tersendiri.

 

Wawasan memperkasa warisan seni budaya yang menjadi paksi identiti rakyat Malaysia. 


1. Tubuhkan Panggung Warisan Seni khas mempersembahkan Warisan diiktiraf UNESCO di ibu negara lengkap dengan perkampungan budaya - Makyong, Mek Mulung, Dondang Sayang, Pantun. 

2. Hidupkan kluster warisan seperti Laman Warisan Kampung Laut di Kelantan. Terengganu. Kedah. Muar. Kampung Melayu Sarawak, KK Sabah. 

3. KURSUS wajib kesemua Sekolah Kebangsaan dan IPTS - Satu persembahan budaya. Gamelan. Makyung. Mek Mulung. 

4. Guru guru Seni dan Budaya dihantar ke sekolah sekolah untuk mengadakan bengkel budaya

 

Hidup seni dan budaya untuk Negara. Jiwa. Bangsa.- DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb