Memperkasa Tukang Cerita memperkaya Budaya Kepulauan Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 15 Jul 2024 07:00 AM

Memperkasa Tukang Cerita Memperkaya Budaya Kepulauan Melayu

 

 

MASYARAKAT Melayu Nusantara memegang warisan budaya berharga yang terdiri daripada penglipur lara, tukang cerita, dan pementasan seni yang memukau.

 

Contohnya Wayang Kulit, Makyung, Mek Mulung, Bangsawan dan pelbagai teater Taridra seperti Ballet Ramayana and Mahakarya Borobodur di Indonesia atau Ramakien di Thailand.

 

Warisan ini menampakkan kepelbagaian budaya, kearifan tempatan, dan ciri-ciri seni yang unik di setiap kawasan.

 

Kisah-kisah rakyat yang diwarisi secara turun temurun dikekalkan hingga hari ini oleh kerana keindahan dan kayanya budaya dan kesenian. Kisah Puteri Santubung dan Tandang Sari di Sarawak, Unduk Ngadau di Sabah, Cik Siti Wan Kembang di Kelantan, Roro Kidul di Pulau Jawa, kisah Hikayat Raja Pasai, dan banyak lagi menjadi khazanah utama.

 

 

hikayat

 

 

Apakah kepentingan sebenar cerita-cerita ini? 

 

Kisah legenda memberi gambaran sejarah dan kerajaan terdahulu serta mengingatkan kita pada tokoh ikonik zaman dahulu. Ia dapat memberikan gambaran terbaik masa lampau yang boleh memberi ilham, kekuatan jatidiri dan kesinambungan serta keistimewaan adat tradisi. 

 

Contoh seperti budaya Ulek Mayang di persisiran pantai yang menceritakan kehidupan nelayan. Kepercayaan masa lampau ini menjadi pegangan hidup dan keyakinan dalam mengharungi cabaran.

 

Setelah masa berlalu, kepercayaan bertukar kepada ugama Islam namun naluri telah terbentuk di Terengganu, disiplin yang kuat, cinta pada keindahan dan kreativiti dalam menangani masalah. 

 

Kisah-kisah dewa di gunung, serta semangat padi di pedalaman, semuanya menjadi aspek penting dalam warisan budaya tempatan. Kita lihat kisah Puteri Gunung Ledang, Puteri Santubong dan Walinong Sari mengambil ilham dari gunung terkemuka negara, inilah kisah hikayat yang benar-benar selari dengan jiwa kita. 

 

Namun, kekayaan budaya tukang cerita dan seni pertunjukan tidak begitu meluas seperti dahulu kala. Wayang Kulit, Mak Yong, dan Mek Mulong kurang mendapat platform untuk dipertontonkan.

 

Kepentinganya acapkali tidak terlihat namun budaya tukang cerita sebenarnya sungguh bermanfaat.  

 

1. Pemeliharaan Identiti Kebudayaan:

Tukang cerita membawa warisan budaya lama ke hadapan dan membantu masyarakat menyedari keunikan serta keindahan warisan budaya mereka, memastikan warisan ini dijaga dan diteruskan ke masa depan. 

 

2. Pengajaran Nilai-Nilai Morali:

Cerita rakyat sarat mengandungi nilai-nilai moral dan etika yang berguna untuk masyarakat. Melalui cerita, masyarakat dapat dipupuk dengan sikap-sikap positif serta panduan etika yang baik.

 

3. Pembangunan Kesedaran Sejarah:

Dengan menceritakan sejarah dan cerita-cerita lama, tukang cerita membantu dalam membentuk kesedaran sejarah di kalangan masyarakat, membolehkan mereka menghargai warisan leluhur serta memahami akar budaya mereka.

 

4. Merapatkan kesinambungan Generasi kepada tradisi lama:

Tukang cerita membantu menghubungkan generasi muda dengan tradisi lama, menjaga kesinambungan budaya dan mewarisi pengetahuan serta kebijaksanaan dari generasi terdahulu kepada generasi akan datang.

 

5. Peningkatan Kreativiti dan Inovasi:

Dengan memperkaya budaya melalui cerita, masyarakat dapat mengadaptasi nilai-nilai warisan ini ke dalam dunia moden, merangsang kreativiti dan inovasi dalam pelbagai bidang seperti seni, sastra, dan persembahan, dan juga bidang lain seoerti sains dan falsafah. 

 

Hikayat Night

Program seperti kerjasama Hikayat Fandom dengan Malaysian Heritage House dalam menganjurkan Hikayat Night di Melaka adalah langkah positif dalam memulihkan legasi tukang cerita.

 

Pada 13 Julai baru baru ini, Hikayat Night di Malaysia Heritage Studios menampilkan Tukang Cerita Cikgu Zuhairah dan Cikgu Ean menceritakan kisah Puteri Seri Gumum dan Puteri Hang LiPo. Kisah ini diilhamkan buku Hikayat Kid Series.

 

 

hikayat

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Dari cerita rakyat ke penerbitan buku dan kembali ke persembahan untuk orang ramai menghidupkan semula cerita ini. 

 

Penonton turut serta membuat bunyi-bunyian laut, dan bunyi naga timbul di air sambil melihat pertunjukkan shadow puppet. Untuk kisah Hang Li Po, penonton diajak menari tarian kipas dan membuat kipas dari kertas warna. Rata-ratanya penonton amat senang turut serta. 

 

Melalui inisiatif Hikayat Fandom Folklore World, Storyteller Guild, satu usaha dipupuk untuk mempromosikan seni tukang cerita dan warisan budaya tempatan.

 

Setiap bulan, acara-acara seperti persembahan tukang cerita sebegini dan bengkel kraf, dan seni dengan matlamat mewujudkan satu tempat bagi para penglipur lara berkongsi kisah-kisah legenda dan cerita rakyat kepada masyarakat setempat.

 

Kolaborasi antara Hikayat Fandom Folklore World, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Majlis Buku Remaja dan Kanak-Kanak (MBBY), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), serta Think City sebagai Jawatankuasa Pemilihan Storyteller Guild bertujuan untuk memperkaya budaya tukang cerita serta kreativiti negara. 

 

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Dari bulan Julai ke Disember ini persembahan khas tokoh penglipur lara akan diadakan di mana generasi muda dapat menghargai nilai-nilai tradisional melalui penceritaan yang menyeronokkan dan interaktif.

 

Usaha ini juga dapat memupuk minat terhadap seni tukang cerita dan kesenian tempatan, serta menyumbang kepada kepelbagaian budaya yang merentasi peringkat umur dan etnik dalam masyarakat.

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb