Mengenali lagenda Dang Isah Tandang Sari di Sarawak | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 05 Mar 2022 08:27 AM

Mengenali lagenda Dang Isah Tandang Sari di Sarawak

 

 

 

Kedamaian. Keindahan. Ketenangan. 

 

Enam hari di Kuching, Sarawak membuka mata kepada keindahan bandar raya yang mengambil nama dari haiwan peliharaan tersayang. Di sinilah langit berubah citrawarna tujuh warna langit dari fajar ke senja. 

 

Di sinilah wujud dunia penuh adat tradisi lama Warisan Melayu Sarawak diwarisi turun temurun lebih 200 tahun dari seluruh Kepulauan Melayu. Tak percaya? Sila ke Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya serta Kampung Nombor. 


 

hikayat

 


Untuk sampai ke Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya, saya berpeluang menaiki perahu Penambang dan berbual dengan Pak Ali, seorang Pak Penambang. Ini satu pengalaman yang mesti dialami di Kuching.

 

Perahu Penambang dihias indah menyerikan pemandangan Sungai Sarawak dibekalkan dengan tenaga solar begitu canggih untuk memberikan pengalaman kehidupan di sungai.

 

Perahu-perahu inilah yang memastikan kita kembali ke satu zaman yang lampau di mana masa bergerak lebih perlahan dan kita dapat menghayati keindahan pokok menghijau, tebing sungai yang penuh dengan unggas dan  ikan, langit biru seluas alam semesta. 


 

hikayat
Penulis bersama Pak Ali, pendayung perahu penambang di Sungai Sarawak, Kuching.

 


Kampung Bandarshah berhampiran dengan bandar contohnya wujud ratusan tahun dahulu dan telah melahirkan tokoh dan pemerintah tersohor Sarawak. Kampung ini merupakan kampung yang pertama mempunyai pusat pembelajaran agama dikenali sebagai madrasah.

 

Kampung ini melahirkan ramai agli bidang profesional malah tokoh politik berjaya juga berasal dari kampung ini seperti Mantan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Pehin Sri Adenan Satem dan Premier Sarawak hari ini Datuk Patinggi Johari Tun Openg serta ayahandanya, TYT pertama Sarawak Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee. 

 

Kampung Nombor pula menjadi pusat warisan di mana kita dapat melihat rumah legasi indah dan pembuat kraf dan seni lama seperti buatan songket Sarawak dan Kerinkam. Tudung keringkam berharga ribuan ringgit mempamer kehalusan dan kesenian terperinci. 

 

Kalau tinggal di Inap Desa, berpeluang menjamu selera dengan hidangan tradisional seperti Laksa Sarawak, Kek Lapis tersohor dan juga Ikan Terubok Masin.


 

hikayat
Penulis dan rakan-rakan bergambar kenangan bersama pemilik kedai kek Dayang Salhah (tiga dari kiri).

 


Saya sempat berbual mesra dengan Dayang Salhah yang telah menjual kek lapis di Kampng Gersik hampir 25 tahun.

 

“Dua tahun tak buat-buat apa kerana Covid. Tapi kini ramai orang datang macam dulu-dulu!” katanya sambil tersenyum gembira. Dayang Salhah kemudiannya memberitahu, “Nak Laksa Sarawak sedap, pergi Laksa King di ICOM.”

 

Memang sedap laksa dia!

 

Inilah kepentingan kerjasama komuniti dalam memupuk pengalaman pelancung yang ‘genuine’. Experiential’ tourism, community based tourism hanya akan berjaya jika penduduk setempat memainkan peranan. 

 

Untuk satu kelainan, hayatilah kisah hikayat Melayu Sarawak seperti Puteri Santubong Puteri Sejinjang serta Dang Isah Tandang Sari, di mana pengajaran dari zaman dahulu kala tentang pentingnya adat, adab, muafakat serta kesetiaan amat dipentingkan. 

 

Mungkin nilai sebegini dapat membawa kembali nostalgia kehidupan kampung di Kuching, Sarawak yang cukup luar biasa. 


 

kuching
Pemandangan bandar raya Kuching dari arah kampung Melayu bersebelahan.

 


KECANTIKAN DANG ISAH TANDANG SARI MEMBAWA TRAGEDI 
 
Tersebut kisah di kerajaan Melayu silam Kerajaan Saribas, lebih dikenali sebagai Tandang Sari. Ibu negaranya Pusa, di pertemuan muara Sungai Rimbas dan Batang Saribas, begitu indah dan sejahtara pusat pemerintahan.  


 
Di puncak kegemilangan kerajaan Saribas di daerah Tandang Sari ini, kisah bermula. Datu Temenggong Kadir dan isterinya Dayang Hajar menunggu begitu lama untuk dikurniakan cahaya mata.  


 
Pada suatu hari, Datu Temenggong Kadir mengerahkan sekelian penduduk membuat gotong-royong bersama untuk membersihkan kampung dan mendirikan rumah rumah baru untuk penduduk yang baru datang dari negeri seberang dari Pulau Boyan, Gersik dan Sourabaya.  


 
Datu Temenggong Kadir merasakan begitu gembira melihat kesemua penduduk kampung begitu bersemangat bantu membantu. Dia agak keletihan lalu baring di atas buluh sebagai alas untuk berehat.

 

Apabila terjaga, terlihat oleh Datu Kadir bahawa buluh itu bertukar menjadi telur yang agak besar. Dia pun membawa pulang untuk ditunjukkan kepada Dayang Hajar. Apabila tersentuh saja oleh Dayang Hajar, telur itu menetas dan ada bayi comel di dalamnya.  


 
Datu Kadir dan Dayang Hajar menamakan bayi itu Dang Isah. Mereka merasakan Dang Isah kurnian Tuhan berkat kebaikan Datuk dan penduduk kampung menerima sekelian yang datang ke Tandang Sari. 


 
Dang Isah pun membesar, begitu disayangi kerana menjadi seorang gadis yang beradab, bersopan santun dan rupawan, dikagumi oleh semua penduduk Tandang Sari. 


 

hikayat


 

Akhirnya, Dang Isah jatuh cinta pada seorang wira Tandang Sari bernama Awang Bunut. 


 
Datu Kadir sebenarnya inginkan yang terbaik untuk anaknya itu. Apabila semakin dewasa, diapun menyuarakan pada Dayang Hajar supaya meletakkan 10 kati emas sebagai mas kahwin demi mengahwini anaknya. 


 
Dayang Hajar terkejut dan berkata, “Apakah perlu kekanda meletakkan mas kahwin begitu tinggi? Bukankah memadai jika kita kahwinkan Dang Isah dengan teruna yang dicintai, yang baik budi pekerti untuk menjada anakanda?” 


 
“Kita mesti memastikan yang terbaik untuk anakanda kita, Dayang. Dang Isah pemberian Tuhan di kala kita memerlukan kasih sayang. Hanya yang terbaik untuknya.” 


 
Dayang Hajar tidak bersetuju dengan suaminya, tetapi dia mendiamkan diri… 


 
Temenggong Kadir memberitahu orang ramai tentang mas kahwin untuk mengahwini Dang Isah. Apabila mendengar berita itu, Awang Bunut berasa begitu sedih. Namun, demi mengahwini Dang Isah, Awang membuat keputusan merantau agar mencari emas 10 kati permintaan Datu Temenggong Kadir. Sebeum pergi, Awang menghantar pesan untuk bertemu Dang Isah di kali. 


 
Dang Isah pun membawa kawan baiknya Dang Merdu supaya menemannya. Apabila sampai, Awang pun berpantun, 
 
Padi muda jangan dilurut  
Mun dilurut pecah batangnya  
Cinta hati ini patut diturut  
Mun diturut buruk padahnya 


 
Apa di arap padi seberang  
Ntah berisik ntah ka tidak  
Apa di arap kasih Dayang 
Ntah ka sudi ntah ka tidak 


 
Dang Isah sedih mendengarkan pantun Awang lalu menjawab… 
 
Anak itit terenang-renang  
Dari sik ke Paya Lebar 
Apabila jauh kitak terkenang  
Tapi sik hantarkan kabar  


 
Jangan asik meminta minta 
Hari-hari selayang pandang 
Jangan susah hati si dia  
Dang yang jauh tetap sayang 
 


 
Sebaik sahaja Dang Isah dan Dang Merdu meninggalkannya,  Awang Bunut pergi membawa diri. Pada mulanya ke barat, kemudian ke timur. Dan Dang Isah tinggal sendirian sementara ayahnya Datu Temenggong asyik menerima lamaran. 


 
Satu hari, seorang nakhoda Bugis bernama Nakhoda Khar tiba ke Tandang Sari. Dia pun mendengar kehadiran dayang tercantuk di Tandang Sari Bernama Dang Isah lalu masuk melamar untuk mengahwini Dang Isah.

 

Nakhoda Khar sudah siap sedia membawa hantaran 10 kati emas, dan Datu Kadir terus bersetuju walaupun ditahan oleh Dayang Hajar yang lebih tahu isi hati anak gadisnya… 


 
“Abang, tidak usah dipaksa Dang Isah…” 


 
Namun Datu Temenggong tidak mengendahkan kata isterinya Dayang Hajar. 


 
Dang Isah pun dikahwini ke Nakhoda Khar. Sepanjang perkahwinannya, Dang Isah tidak pernah tersenyum. Namun begitu ia kelihatan hatan begitu cantik, Nakhoda Khar begitu gembira dan lupa yang Dang Isah tidak tersenyum melihatnya.  


 

hikayat
Pusa terletak di muara Sungai Rimbas dan berada di tengah Batang Saribas.


 
Sebulan kemudian, Nakhoda Khar belayar ke Brunei untuk menyediakan kelengkapan untuk membawa Dang Isah pulang bersama. 


 
Dalam waktu itu, beberapa lamanya, Awang Bunut kembali ke Tandang Sari lengkap dengan 10 kati emas yang dijanjikan untuk mengahwini cinta hatinya… Malang sekali, Awang Bunut pulang apabila Nakhoda Khar berangkat dalam kapal besarnya meninggalkan Dang Isah. 


 
Awang Bunut begitu patah hati.  Diapun pergi berjumpa Dang Merdu merayu untuk bertemu Dang Isah buat kali terakhir sebelum meninggalkan Tandang Sari buat selamanya. 


 
“Aku idak sanggup, Awang…” 


 
Dang Merdu begitu keberatan. Tetapi Awang Bunut merayu padanya berkali-kali. Akhirnya, Dang Merdu pun mengalah dan meminta Awang Bunut menunggunya di kali. Dang Merdu berlari pun memujuk Dang Isah bertemu Awang Bunut. Buat kali terakhir. 


 
Nun di laut, Nakhoda Khar tersedar kerisnya tertinggal di Tandang Sari. Dia pun kembali untuk mengambil kerisnya yang tertinggal. Apabila sampai, di saat itu terlihat Dang Isah keluar mengikut Dang Merdu.  


 
Dang Isah kelihatan tersenyum. 


 
Hairan Nakhoda Khar melihatnya, tiba-tiba rasa cemburu menghantui Nakhoda kerana dia tidak pernah melihat Dang Isah tersenyum. Dia pun terus mengambil kerisnya dan mengikut Dang Merdu dan Dang Isah dari belakang. Sehingga, Nakhoda terlihat kali di hadapan. Seorang pria berdiri di situ. Nakhoda Khar menjadi berang dengan cemburu. Dia terus meluru kehadapan. Hatinya begitu marah, “Siapa kau!” 


 
Dang Isah terkejut. Dang Merdu menghentikan Dang Isah dari terus menuju ke kali.  


 
Nakhoda tidak mahu mendengar lagi. Dia meluru ke arah Awang Bunut. Kerisnya terhunus, dan Awang mengelak, cuba menahan Nakhoda. Dang Merdu menolak Dang Isah ketepi. Dalam segala pergelutan itu, Nakhoda masih cuba menerkam Awang Bunut. Dang Isah cuba menyelamatkan keadaan tetapi tiba-tiba terdengar Dang Merdu menjerit… 


 

hikayat
Arca ikan terubuk menjadi simbol Pekan Pusa

 

 
Dang Isah terlihat Dang Merdu terjatuh ke belakang perlahan-lahan. Dang Isah terus meluru kearah kawannya, dan terus menangis… Dang Merdu yang setia, tiada lagi.

 
 
“Arrgghhh! Kau yang bersalah…!” Nakhoda Khar cuba menikam Dang Isah pula bila sedar dia tertikam Dang Merdu. 


 
“Bukan! Aku yang bersalah kerna ingin mengucapkan selamat tinggal …” kata Awang Bunut dan menarik Nakhoda yang terus menikamnya di lengannya yang menahan  Nakhoda dari menikam Dang Isah. 


 
Tiba-tiba kedengaran Datuk Temenggong Kadir menjerit, “Apa yang terjadi ini!” 


 
“Ayahanda! Dang Merdu tertikam!”  Dang Isah tidak berhenti memegang Dang Merdu…”Dan Nakhoda Khar cuba menikam anakanda…” 


 
“Nakhoda, Awang… apa yang terjadi di sini?” 


 
Nakhoda Khar tersedar dari kemarahannya. “Minta maaf ayahanda. Aku telah menyebabkan kematian di Tandang Sari. Aku akan pergi dari sini. Dang Isah aku lepaskan. Tidak ada gunanya lagi.” 


 

hikayat


 

“Dang Isah…anakanda, apa yang anakanda buat di sini?” 


 
“Datuk, benarkan saya menjawab. Saya ingin mengucapkan slamat tinggal pada Dang Isah dan Dang Merdu keduanya…” 


 
“Dan aku mengamuk, lalu menyebabkan kematian Dang Merdu…Tidak ada gunanya lagi aku di sini…” kata Nakhoda Khar. “Sudahlah, aku tidak ada hak ke atas Dang Isah lagi…” 


 
“Bukan, ini semua salah aku,” tiba tiba Datuk berkata. “Isteriku telah melarang aku kahwinkan Dang Isah hanya kerana mas kahwin itu… Pergilah Nakhoda. Tidak ada apa lagi yang dapat membawa pulang Dang Merdu…” 


 
Dang Isah menangis mengenangkan kawan baiknya, Dang Merdu. 


 
Segalanya sudah terlambat. 


 

hikayat
Kubur Dang Isah Tandang Sari di Tanah Perkuburan Kampung Kalok, Pusa


 
Awang Bunut meninggalkan Tandang Sari. Tetapi dia berjanji pada Dang Isah, “Aku akan kembali, Dang Isah…” 
 
Padi muda jangan dilurut  
Mun dilurut pecah batangnya  
Cinta hati ini patut diturut  
Mun diturut buruk padahnya 


 
Apa di arap padi seberang  
Ntah berisik ntak ka tidak  
Apa di arap kasih Dayang 
Ntah ka sudi ntah ka tidak 


 
Dang Isah kesedihan terus menjawab… 
 
Anak itit terenang-renang  
Dari sik ke Paya Lebar 
Apabila jauh kitak terkenang  
Tapi sik hantarkan kabar  
 
Jangan asik meminta minta 
Hari-hari selayang pandang 
Jangan susah hati si dia  
Dang yang jauh tetap sayang…

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA