Menyusur arus hikayat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 11 Dec 2021 08:15 AM

MENYUSUR ARUS HIKAYAT

Petikan dari pembentangan di Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia oleh Zalina Abdul Aziz @ ninotaziz

 

 

Melati kuntum tumbuh melata
Sayang merbah di pohon cemara
Assalamualaikum mulanya kata
Saya sembah pembuka bicara

 

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah…Segala pujian bagi Allah S.W.T. dengan kelapangan dan keizinan-nya jua, saya hadir hari ini di Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia mewakili Persatuan Sastera Lisan Malaysia untuk membentangkan topik – Menyusur Arus Hikayat.

 

Begitu indah hikayat kita menceriterakan mukabumi tanahair kita  LAUT, SUNGAI DAN PAYA yang mana tamadun  bermula dari kawasan muara sungai atau di tebing sungai. Melalui Hikayat dan cerita rakyat, kita dapat melihat kezahiran dan keujudan sesebuah kerajaan di Dunia Melayu.

 

Sejak zaman berzaman, warisan budaya tidak ketara berupa hikayat dan cerita rakyat mendapat tempat istimewa di akal budi pemikiran kita.

 

Hikayat dan cerita rakyat ini menjadi latar-belakang kepada budaya persembahan tradisi seperti makyung, wayang kulit, mek mulung serta persembahan penglipur-lara yang membawa pengajaran tersendiri.

 

Lebih penting lagi, hikayat dan cerita rakyat membenarkan kita menyelami sejarah, kerajaan lama, tamadun dan jati diri bangsa.

 

Hikayat Melayu amat rapat dengan peradaban Dunia Melayu. Ketamadunan yang bermula dari penempatan di muara sungai. Kehidupan alam pelayaran. Kerajaan kelautan.

 

Di serata dunia contohnya, kisah lama seperti kisah Yunani dan China kekal mampan apabila dapat menyesuaikan penyampaian dengan pemikiran semasa, daya cipta pencerita,  citarasa masyarakat dan mempunyai kekuatan iktisad, contohnya melalui perfileman dan yang terkini, rancangan dalam talian seperti Netflix.

 

Pembentangan saya ini akan meninjau kepentingan menyusuri arus Hikayat dan memberikan nafas mutakhir kepada warisan tidak ketara hikayat dan cerita rakyat yang membayangkan Tamadun Alam Melayu - kepentingan kepada jatidiri bangsa dan Negara.

 

Hikayat terzahir dari warisan cerita rakyat lisan merupakan warisan budaya tidak ketara yang diturunkan zaman ke zaman melalui budaya penglipurlara.

 

Melalui penceritaan tukang cerita, wayang kulit, Makyung dan Mek Mulung serta lain-lain bentuk taridra dan juga melalui alunan syair, masyarakat lama dapat menghayati hikayat dan legenda yang berbentuk hiburan, dan juga pengajaran.

 


 

hikayat

 


 

Bahasanya indah; juga mengikut loghat daerah atau negeri di mana ini menambahkan kelainan cerita. Di dalam cerita-cerita ini terselit pengajaran yang bermakna. 

 

Penceritaan semula memastikan kesinambungan cerita-cerita ini di masa akan datang (Norliza Rofli, 2005)

 

Khazanah hikayat dan cerita rakyat kini masih tersimpan dalam kitab lama bersama ilmu yang diturunkan turun-temurun.

 

Terdapat lebih 10,000 naskah Kitab Melayu yang tersimpan di lebih 150 muzium dan perpustakaan serta simpanan peribadi dalam 60 negara termasuk di Perpustakaan Negara Kuala Lumpur mempunyai lebih 4,000 naskah, di antara simpanan terbesar di dunia.

 

Apabila mengkaji kitab lama, barulah kita sedar betapa pentingnya warisan hikayat dan cerita rakyat sehingga dimaktubkan bersama ilmu-ilmu yang menjadi sebahagian besar dari kehidupan lampau.

 

Malah ilmu perundangan, perubatan atau tib, ilmu bedil, perkapalan, ilmu senibina, budaya hiburan, ilmu kesusasteraan, kesenian pertukangan di antara contoh peninggalan ilmu tersurat dalam kitab lama serta tersirat dalam penceritaan hikayat lama.

 

Apabila kita membaca hikayat hari ini ditambah dengan penyelidikan sejarah, kita dapat mendalami kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu di Kepulauan Melayu. 

 

Apa yang lebih menarik, kita akan dapati bahawa kisah yang terdapat di dalam hikayat dan kitab lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Patani, Hikayat Pahang dan sebagainya menunjukkan adat dan budaya yang mencerminkan titik hubung kerajaan dahulukala. 

 

Saya kongsikan sebuah arca di pameran Alegori di Galeri Petronas beberapa tahun dahulu di mana kesemua karya di pameran ini diilhamkan Hikayat Melayu lama.

 

Karya yang dimaksudkan berjodol ‘The Honorable Pirates’ atau Lanun Kehormat. Karya Shafiq Ali’am mengambil ilham dari Orang Laut yang begitu setia pada Sultan.

 


 

hikayat

 


 

Saya mengambil kesempatan di sini untuk berkongsi satu hikayat yang menceritakan beratus tahun dahulu terdapat seorang puteri srikandi, belayar membelah lautan, berasal dari Gellangui, Semenanjung Tanah Melayu.

 

Namanya Onangkiu, puteri Raja Culin.

 

Cantik jelita, bijak - pertiwi bangsa, Onangkiu telah mengahwini Raja Syuran, dan mereka memerintah di Bija Nagara. Keturunan Onangkiu adalah Raja Chulan yang turun ke laut, mengembara ke Tumasik dan Dika, bapa kepada tiga putera yang tiba ke Bukit Seguntang, menaiki gajah putih. Kisah ini di serikan kejadian menakjubkan:

 

Padi menjadi emas.
Batang padi jadi perak.
Tanah menjadi tembaga.
Keturunan Raja Melayu terakhir
sampai ke Nusantara.

 

Inilah antara cerita-cerita dari Sejarah Melayu. Kita terima bahawa kisah yang diselitkan dalam Sejarah Melayu penuh bayangan dan keajaiban.

 

Tapi ia penting untuk diselitkan dalam pemikiran anak muda bagi mencetuskan ilham, daya cipta dan jatidiri bangsa.

 

HIKAYAT MELAYU ADALAH MEMORI PERADABAN DAN TAMADUN MELAYU LAMA

 

Sejarah adalah penting

Namun sejarah terkilas dalam kesusasteraan Hikayat Melayu  

dan cerita rakyat juga mempunyai peranan tersendiri.

Terselit pembentukan pemikiran dan jati diri Melayu.

Mencerminkan peradaban zaman silam, kekuatan dan kelemahan nusa dan bangsa.

 

Mungkinkah ceritera kuno kita telah lama belayar mengelilingi dunia? Kajian sejarah - catatan Pigafetta, Tome Pires dan sebagainya membuktikan orang Melayu ini pelayar hebat. 

 

Jika kita tiada keyakinan dan jatidiri, sudah tentu kita menyatakan  tidak munasabah Hikayat Melayu mengelilingi dunia. Namun semua penceritaan dunia ada dalam hikayat Melayu. Jadi kesimpulan bahawa ceritera Melayu belayar mengelilingi dunia amat munasabah.


 

 

hikayat

 


 

Pelbagai nilai murni dapat dikupas dari Hikayat lama. Sifat gotong royong, bermuafakat, adat berguru, sikap merantau untuk menceritakan pengalaman semuanya menjadi sulaman indah dalam penceritaan.

 

Rentaka dan ishtinggar
Teropong, kapal yang besar
Kerajaan Lama berhukum kanun
Perdagangan nusantara

 

MALANGNYA, di dunia Melayu seluruh Nusantara, warisan budaya cerita rakyat menghadapi pelupusan kerana kalah dari segi penguasaan dan kekuatan iktisad dan pengaruh dunia luar.

 

Budaya rakyat dan kesenian menerima kurang perhatian oleh kerana penumpuan terhadap bidang perdagangan dan pembangunan ilmu kaji selidik baru yang dianggap lebih mampu memberikan pulangan lumayan.

 

Namun, apa yang penting ialah cerita Hikayat ini dimasukkan semula dalam khazanah kesusasteraan Negara dan bangsa.

 

Di sini saya ingin bacakan petikan dari buku saya Lipur Lara Nusantara – Satu Hikayat Lama menceritakan era hidup dan tamadun yang berkembang mengikut arus sungai Tanah Melayu yang berasal dari negeri asal usul saya, negeri Pahang.

 

 

Walinong Sari

Inderapura. Kenangan indah dari kerajaan purba Semenanjung Tanah Melayu - dari anak sungai yang  mengalir bagai berlari anak dari gunung-ganang nan menghijau ke arah kuala di mana jelawat, kalui dan patin menari-nari dengan udang galah dan lelabi. 

 

Bukit-bukau yang riuh rendah dengan kicauan burung murai dan tiong serta ritma hutan belantara yang meluas.

 

Nun di sana, Sang Rimau dan Sang Kancil masih lagi menguji kehebatan masing-masing. Dan jauh di pedalaman, Gunung Tahan berdiri tegak - lambang kerajaan Kayangan yang mencatur peredaran masa.

 

Melaka memerintah Dunia Alam Melayu. Patani mengawal pintu utara dan Johor, di selatan. Majapahit pula mulai merunduk  ke arah matahari terbenam.

 

Di Inderapura, Dalam istana. Bendahara Paduka Raja, terdapat bintang timur yang menyinari hidupnya iaitu Puteri Walinong Sari - bukan sahaja ayu menawan sesiapa saja yang terpandang,  Walinong Sari seorang srikandi hebat tanpa saingan, mahir bermain keris, tombak dan lembing.

 


 

hikayat

 

 

Dari Kumpulan Cerita Penglipurlara ke Seni Lakaran

Cerita Hikayat Walinong Sari ini telah pun diabadikan baru baru ini dengan bantuan geran Malaysia Digital Economy Corporation atau MDEC dalam bentuk animasi dan bakal ditontonkan di pelbagai pesta filem antarabangsa.

 

Saya selaku penasihat budaya dan cerita rakyat mencetuskan harapan kita dapat menyajikan hikayat lama pada dunia.

 

Kita mengambil iktibar dari dunia wayang barat dan asing seperti Jepun. Netflix juga merupakan rancangan dalam talian yang begitu tersohor diminati ramai dan menjadi pilihan peminat rancangan berteraskan sejarah dan hikayat.

 

Ia merupakan satu pembaharuan yang memerlukan langkah-langkah campur tangan jika kita ingin memertabatkan hikayat dan cerita rakyat bagi membawa khazanah kita ke dunia antarabangsa dan secara tidak langsung menjadi kebanggaan kita semua.

 

Pelupusan warisan budaya cerita rakyat mesti segera ditangani. Jika tiada apa yang dilakukan, semua bentuk warisan ini akan hilang selama-lamanya.

 

Itulah serba sedikit pandangan dan pemerhatian saya berkenaan tajuk perbincangan kita hari ini. Saya harap perkongsian saya hari ini telah dapat memberi manfaat kepada semua.

 

Akhir kata, saya mengambil kesempatan sekali lagi untuk merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada Sidang Jawatankuasa Webinar Antarabangsa yang  memberi peluang kepada saya untuk bersama anda semua hari ini.

 

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

 

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

 

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualikum warahmatullahiwabaraktuh.  Sekian terima kasih

 


 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA