MUTIARA KATA
Berdirinya bangsa kerana bahasa. Indahnya seni kerana budaya
Di negara ini, takrif bangsa Melayu diperkemas secara diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama, dimaktub secara perundangan.
- Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
BAHASA MELAYU tersebar luas seluruh dunia dari Alam Melayu ini. Ini terbukti dengan kehadiran beribu manuskrip Melayu. Kemahiran berfikir aras tinggi jelas tersinar dalam manuskrip lama ini dan telah diperakui oleh cendiakawan sedunia.
Salatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah dan Kitab Bedil diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Namun, pada hari ini, apabila kita mendengar kata-kata bijak pandai dirujuk atau sebagai panduan, selalunya ia diambil dari ungkapan bernas ahli pemikir dari Dunia Barat! Plato? Winston Churchill? Shakespeare? Di manakah Mutiara Kata dari Timur, terutamanya negara kita sendiri?
Tunggak budaya bermula dengan bahasa Melayu yang telah digunakan di rantau ini hampir 2000 tahun yang lampau. Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan di Malaysia, dan juga Brunei, Indonesia (Bahasa Indonesia), Singapura dan digunakan di beberapa negara Asia Tenggara yang lain.
Warisan bangsa ini tersurat dalam lebih 10,000 manuskrip menjadi khazanah di lebih 150 Muzium dan Perpustakaan tersohor dunia di Malaysia, Indonesia, Belanda, Rusia - tidak kurang dari 60 negara serata dunia.
Antara contoh tertua Bahasa Melayu adalah Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi).
Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dalam Bahasa Melayu Kuno dengan menggunakan huruf Palava, yang dipengaruhi penyebaran agama Hindu pada zaman itu.
Svasti cricakavarsatita 605 ekadacicuklapaksa vulan vaicakha daputahyang nayik di samvau mangalap siddhayatra di saptami cuklapaksa vulan jyestha dapunta hyang marlapas dari minana Tamvar (Kamvar) mamava yang vala dua laksa ko dua ratus cara di samvau dangan jalan sarivu tlu ratus sapulu dua vanakna datang di matada (nau) sukhacitta di pancami cuklapaksa vulan asada laghu mudita datang marvuat vanua ... Crivijaya jaya siddhayatra subhika ...
Terjemahan: Selamat bahagia pada tahun saka 605 hari kesebelas dari bulan terang bulan waisaka daputa baginda naik perahu mencari rezeki pada hari ketujuh bulan terang bulan jyesta dapunta baginda berlepas dari muara Kampar membawa askar dua laksa dua ratus orang di perahu yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya datang di matada dengan suka cita pada hari kelima bulan terang bulan asada dengan lega datang membuat negeri Seriwijaya yang berjaya, yang bahagia, yang makmur
Dahulu dan sekarang, kekuatan kita bersama akan ditentukan dalam kelestarian Bahasa. Budaya. Bangsa.
Tetapi kenapakah kita masih tidak mencari ilham dari kata-kata semangat yang dituturkan oleh nenek moyang dan pemimpin kita yang terdahulu. Ini tidak bermakna kita menidakkan ilmu serta ilham daripada ahli bijak pandai seluruh dunia. Cuma ingin ketengahkan buah pemikiran bernas dari Dunia Melayu.
Mutiara Kata dari Alam Melayu amat menusuk sanubari, selari dengan jiwa raga dan naluri kita. Mari kita lihat antara kata-kata semangat dan pedoman lama:
Satu-satu seni yang tulin membayangkan perkembangan jiwa dan intelek satu-satu masyarakat.
- Tun Dr Ismail Abdul Rahman
Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai.
- ZA’ABA
Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
- Raja Haji Ali
Tak ada yang lebih kuat dari kelembutan, tak ada yang lebih lembut dari kekuatan yang tenang.
- Jenderal Besar Raden Soedirman
Islam adalah ugama yang berkaitan rapat dengan dunia moden.
- Tun Dr Ismail Abdul Rahman
Utang budi dibayarkan budi. Utang darah dibayarkan darah.
Utang malu dibayarkan malu. Utang mati dibayarkan mati.
- Puteri Saadong
Ilmu lama cerminan intelektual tersimpan dalam manuskrip seperti Undang Kanun Melaka, Kitab Bedil dan pelbagai kitab lama.
Ketinggian bahasa dicerminkan melalui pantun, gurindam, syair dan Hikayat lama seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman dan Panji Semirang inilah kayu ukur ketamadunan kita yang sejati.
Jangan kita persiakan warisan bangsa.