Naluri Orang Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 12 Feb 2022 08:05 AM

NALURI ORANG MELAYU

 

 

 

Mahu mengenali orang Melayu? Jika kita mengikuti kisah hikayat, kita dapat menyelami naluri orang Melayu ratusan tahun dahulu.

 

Dari naluri kita mengenal jati diri. Dari jati diri kita mengenal kekuatan. Dari kekuatan ini,  kita mengenali hala tuju. Oleh itu, ada baiknya kita mengenali dan mencintai hikayat Melayu. 

 

Ada beberapa kisah yang diulangi dalam teks hikayat yang kelihatan tiada kaitan antara satu sama lain seperti teks Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Patani serta Hikayat Malim Deman.

 

Namun, kisah-kisah yang diceritakan membayangkan Dunia Melayu yang saling berhubungan dan  mengenali, begitu sinonim budayanya dan paradigma minda.

 

Dan hampir kesemuanya bertemu kembali dalam karya agung, Sulalatus Salatin yang menceritakan kisah Campa, kisah Perlak, kisah Pasai, kisah Majapahit, Pahang,  Perak dan banyak lagi. 

 

Selain dari hikayat, pantun, gurindam, lagu rakyat dan syair juga menunjukkan betapa tingginya nilai estetika bahasa kita yang memberi petunjuk tentang pemikiran Melayu lama.

 

Sayang sekali, mungkin ramai orang Melayu hari ini tidak memahami kekuatan ini dan naluri pun telah dipengaruhi  dan berpaksikan pengisian yang lain.

 

Bak kata Allahyarham P Ramlee: “Kalau kita tidak semaikan musik tradisional asli kedalam jiwa anak anak muda, nescaya satu hari, musik lain akan mengambil tempatnya.  Kerana dalam dada itu kosong, tidak ada apa-apa.”

 

 

hikayat

 

 

Begitu juga, jika kita tidak perkenalkan kesusasteraan dan kebudayaan kita pada anak bangsa,  budaya lain akan mengambil tempatnya. 

 

Kembali kepada topik minggu ini, terdapat beberapa kisah terutamanya yang selalu disebut-sebut, diulang-ulang dan diceritakan dalam beberapa hikayat lama.

 

Contohnya kisah membuka negeri ini diceritakan dalam Sejarah Melayu, Hikayat Patani dan juga Hikayat Raja Pasai di mana petanda pelanduk atau kancil berani menyebabkan raja Melayu membuka negeri di satu satu tempat.   

 

Begitu juga kisah Raja mengharungi  bencana di laut. Apa maksud sebenarnya? Seri Teri Buana putera Sang Sapurba belayar membuka Singapura terpaksa mengharungi lautan bergelora dan membuang mahkota ke dalam laut. Kisah ini ada juga diceritakan apabila Sultan Mudzafar, Sultan Perak pertama ke Perak bersama Tun Saban dan Megat Terawis. 

 

Begitu juga kisah kemasukan Islam ke dalam negeri masing masing. Ini diceritakan dalam Hikayat Pasai, Hikayat Patani dan juga Sejarah Melayu. Dan akhirnya keperitan dan azab sengsara fitnah-memfitnah dan pembelotan yang meruntuhkan kerajaan. 

 

Mari kita selami kisah kisah yang menjiwai hikayat lama kita. 

 

KISAH MEMBUKA NEGERI

Menurut Hikayat Raja Pasai, kisah pembukaan negeri Pasai bermula ketika Merah Silu atau Sultan Malikul Saleh berburu di tepi laut dengan anjingnya bernama Si Pasai. Sultan Malikul Saleh melepaskan anjingnya tersebut yang berlari masuk kedalam hutan berdekatan.

 

Anjing tersebut kemudiannya bertemu dengan seekor pelanduk yang gagah dan berani. Merah Silu pula menjumpai semut sebesar seekor kucing lalu memakannya. 

 

Kisah yang hampir sama tertulis di awal penceritaan Sejarah Melayu, kisah bahawa Raja Iskandar Syah, bergelar Paduka Seri Maharaja Parameswara putera Paduka Sri Maharaja (Dasia Raja) meninggalkan Singapura mencari dunia baru dan sampai ke suatu tempat di mana dia berihat setelah seharian berburu.

 

 

hikayat

 

 

Baginda juga melihat kejadian seekor kancil dikejar anjing buruan hingga ke pantai. Kancil itu tangkas berpusing menghadapi anjing yang garang. Kancil tiba-tiba kelihatan bengis dan menendang anjing  ke air!  Raja Iskandar pun mendapat ilham menamakan negerinya bersempena nama pokok ia berihat iaitu pokok Melaka dan melihat petanda baik itu. 

 

Patani juga dikatakan mempunyai mitos sedemikian. Mengikut Hikayat Patani, Phaya Tu Naqba menaiki takhta negeri Kota Mahligai bagi menggantikan ayahanda baginda yang mangkat. Baginda hendak berburu di tepi laut dengan membawa sekalian pegawai istana dan rakyat. 

 

Baginda melepaskan anjing yang menyalak hingga dua jam kerana mengejar seekor pelanduk putih yang lenyap di pantai. Ini membawa Raja ke kawasan bersesuaian dijadikan negeri bernama Patani Darul Salam. 

 

KISAH MENGHARUNGI BENCANA 

Kedua-dua Seri Teri Buana dalam perjalanan ke Tumasik (Sejarah Melayu) dan Sultan Mudzafar dalam perjalanan ke Perak (Sejarah Perak) menghadapi bencana di lautan semasa belayar ke negeri baru. Bahtera masing-masing hampir tenggelam apabila hampir ke negeri yang dituju. 

 

Segala harta dan barang dibuang ke laut. Namun keadaan masih cemas. Penyelesaian tetakhirnya adalah dengan mencampakkan mahkota ke laut, dan ribut taufan pun reda. Segala pengikut pun terselamat. Seri Teri Buana Sang Sapurba dan Sultan Mudzafar bin Sultan Mahmud dapat membuka negeri menjadi Raja. 

 

Kisah membayangkan untuk menjadi pemerintah, segala ego dan sifat bongkak mesti diketepikan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara. 

 

KISAH MASUK ISLAM

Ada banyak kisah menceritakan kemasukan Islam ke dunia Melayu. Di Patani, Phaya Tu Naqba gering tiga kali diubati Syeikh. Barulah sanggup memasuk Islam. Merah Silu pengasas Pasai bermimpi masuk Islam. Dan Raja Melaka, berkemungkinan Paduka Seri Maharaja Parameswara sendiri bermimpi masuk Islam dan juga mengahwini Puteri Perlak. 

 

 

hikayat

 

 

“Al kisah peri mengatakan ceritera raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka ada diceritakan oleh orang yang empunya ceritera ini, negeri yang dibawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah.” (Hikayat Raja Pasai, 1997: 1)

 

Yang penting, penceritaan dunia Melayu memeluk Islam sangat penting direkodkan dalam hikayat Melayu. 

 

KISAH FITNAH MEMFITNAH DAN PEMBELOTAN 

Hikayat Raja Pasai ini antara manuskrip yang terawal. Seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai menceritakan sifat dengki pembesar Pasai kepada Tun Brahim Bapa. Mereka menfitnah Tun Brahim Bapa kononnya ia telah menceroboh gundik kesayangan raja lalu dijatuhkan hukuman dgn meminum racun. Setelah kematian Tun Brahim, kekuasaan Pasai menjadi lemah & mudah ditakluki Majapahit. Akhirnya, Pasai dapat dikalahkan oleh Raja Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

 

Kisah-kisah ini mempunyai makna tersirat sendiri yang penting ditafsirkan untuk mengenali jiwa dan raga orang Melayu. Kisah pertama kancil menentang anjing buruan contohnya memberi gambaran orang Melayu amat sebati dengan sifat berani ketika dalam keadaan cemas dan merbahaya. Kita juga jangan disangka lemah walaupun kecil. 

 

Kisah kedua berkisar tentang membuang mahkota ke laut kerana kapal menghadapi bahaya di lautan. Mahkota itu pula simbol kekuasaan dan kekayaan. Tetapi orang Melayu sanggup kehilangan segalanya untuk mengejar sesuatu yang lebih baik. 

 

Dan Islam itu satu penyelamat bangsa yang datang kepada raja raka Melayu di Pasai, Melaka, dan Patani. 

 

 

hikayat

 

 

Kisah terakhir tentang fitnah memfitnah dan pembelotan ini ditonjolkan jelas sebagai amaran. Sang Rajuna dan Raja Mendaliar membelot. Tun Beraim dan Hang Tuah difitnah. Sesuatu kejadian yang membawa bala pada dunia Melayu. Ingatlah. 

 

Semoga bangsa Melayu memperingati ajaran dari dunia hikayat ini.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA