Pameran Buku Antarabangsa: Melestari Bahasa Kebangsaan, Kebudayaan dan Kesusasteraan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 03 Jun 2024 07:00 AM

Pameran Buku Antarabangsa: Melestari Bahasa Kebangsaan, Kebudayaan dan Kesusasteraan

 

 

 

PELBAGAI Pesta Buku Antarabangsa bukan sekadar tempat untuk berhubung antara penerbit, penulis, pembaca, dan peminat kesusasteraan dari serata dunia, tetapi ia juga merupakan medan yang membolehkan pertumbuhan serta perkembangan industri sastera secara global.

 

Melalui acara-acara ini, terjalinlah hubungan yang kukuh antara pelbagai pihak yang terlibat dalam dunia penulisan dan penerbitan, membawa kepada pertukaran idea dan pengetahuan yang berharga. 

 

Selain itu, pameran ini juga berperanan sebagai platfrom untuk memperkenalkan karya-karya baru kepada khalayak, mencipta ruang untuk perbincangan intelektual yang mendalam, serta mempromosikan budaya literasi dalam masyarakat.

 

Dengan kesannya yang luas dan positif, pesta buku antarabangsa telah menjadi satu elemen penting dalam ekosistem sastera global dan terus memberi sumbangan yang berkekalan dalam memajukan dunia kesusasteraan.

 

 

pbakl

 

 

Antara pelbagai pesta buku antarabangsa yang diadakan di seluruh dunia, Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang telah berlangsung selama 41 tahun merupakan satu acara penting di Malaysia.

 

Tahun ini, pesta buku ini telah berjaya menarik hampir 1,000 penerbit serta lebih daripada 1 juta pengunjung selama 10 hari serta penerbit dari Asia Tenggara, China, Turkiye dan lain lain negara. 

 

Sebenarnya, PBAKL memang dinanti-nantikan oleh penulis dan pembaca seluruh negara. Pempamer memilih membuat persiapan reruai dari awal tahun lagi.

 

Populariti PBAKL saban tahun semakin menyerlah dengan penyertaan penerbit antarabangsa dalam PBAKL serta program-program yang semakin memperkasa dunia penerbitan Malaysia oleh Majlis Buku Kebangsaan dan Koto Buku.

 

 

ninot aziz
                          NINOT AZIZ

 

 

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, segelintir kritikan dilontar mengenai kepelbagaian penerbitan, termasuk kehadiran buku Bahasa Inggeris di PBAKL, mempersoalkan keberadaan status pesta antarabangsa dan menimbulkan pelbagai tohmahan mengenai Pesta tersebut. Bukannya tiada buku bahasa lain di PBAKL, cuma jumlahnya lebih kecil berbanding buku Bahasa Melayu.   

 

Malangnya, terdapat toko-toko buku yang langsung tidak mengambil bahagian di PBAKL, oleh kerana merasakan peminat buku bahasa selain dari Bahasa Melayu tidak minat ke Pesta Buku terbesar negara.  

 

Sekilas pandang, memang ramai yang menyokong kenyataan berbaur kritikan ini tanpa memahami tujuan setiap negara mengadakan Pesta Buku.  

 

Namun adalah penting untuk memahami perkara dan hala tuju pesta buku serta membezakan maklum balas yang membina dan agenda peribadi. 

 

Mari kita bersikap terbuka apabila menilai kejayaan dan kepentingan pesta buku. Walaupun ada yang merungut kurangnya kehadiran penerbitan antarabangsa di PBAKL, adalah penting untuk memahami peranan sebenar dimainkan pesta buku ini.

 

Ini termasuk memperkasa kesusasteraan tempatan, mempromosikan bahasa kebangsaan, dan memudahkan penjualan hak penerbitan kepada penerbit antarabangsa.

 

 

hikayat

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Salah satu objektif pesta antarabangsa adalah berfungsi sebagai platform untuk penerbit menjual hak penerbitan serta untuk penulis mendapatkan pendedahan kepada pasaran antarabangsa.

 

Walaupun ada yang mengharapkan pelbagai buku Bahasa Inggeris di PBAKL tersebut, adalah penting untuk diakui bahawa Pesta Buku ini lebih berfokus mempromosikan buku dalam bahasa kebangsaan, dengan tujuan menarik penerbit antarabangsa yang berminat untuk menterjemahkan dan menerbitkan karya-karya tersebut dalam bahasa masing-masing.

 

Contohnya, Pesta Buku Antarabangsa seperti Pesta Buku Antarabangsa Istanbul, Beijing dan Pesta Buku Sharjah juga memberi keutamaan kepada promosi kesasteraan dalam bahasa kebangsaan mereka, mencerminkan kepelbagaian budaya dan kekayaan unik wilayah masing-masing.

 

Contohnya Pesta Buku Sharjah memberi Anugerah pada buku-buku terbaik dalam bahasa Arab. Pameran-pameran ini berperanan sebagai pencetus aspirasi bakat kesusastraan, di mana penerbit dan penulis berkumpul untuk meneroka peluang baru, bertukar pendapat, dan menyambut daya tarikan universal dunia penulisan. 

 

Di PBAKL, penerbit dari negara seperti China, Turkiye, dan Indonesia meneroka potensi buku tempatan kita untuk diterjemahkan dan dikeluarkan dalam bahasa mereka. 

 

 

hikayat

 

 

Dalam konteks ini, terlihat beberapa fakta dan kebenaran yang timbul. 

 

Pertama sekali, kurangnya semangat mencintai bahasa kebangsaan dalam kalangan segelintir masyarakat di Malaysia menjadi isu yang amat penting.

 

Hal ini mengecewakan kerana ia boleh menghalang proses perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Ini sebenarnya gejala yang menunjukkan masalah yang lebih meruncing dalam masyarakat. Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan dan perlu diterapkan dalam masyarakat. 

 

Kedua, kecenderungan untuk memperlekehkan kepentingan kesusasteraan Melayu perlu diteliti dengan serius. Sikap ini boleh menjejaskan keunikan warisan kebudayaan dan kesusasteraan negara yang rata-rata menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

 

Jangan dibiarkan Bahasa Kebangsaan dianggap bahasa ‘peperiksaan’ saja dan tidak berguna dalam kehidupan di bandar. 

 

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Oleh itu, adalah penting untuk memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan dan menghargai warisan kesusasteraan Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia. 

 

Langkah-langkah positif perlu diambil untuk memastikan bahasa dan kesusasteraan tempatan terus dikekalkan,  dihargai dan dilestarikan sebagai aset negara yang bernilai. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb