Sejarah Pahang, sepintas lalu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 01 Apr 2024 08:00 AM

SEJARAH PAHANG, SEPINTAS LALU

 

 

PADA tahun 2024, genaplah 200 tahun Pahang menjadi negeri berdaulat selepas Belanda dan British campur tangan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, di mana kekuasaan Riau-Johor-Pahang telah terpisah, dan Pahang mula memerintah wilayah tersendiri. 

 

Namun Pahang merupakan antara kerajaan tertua di Semenanjung Tanah Melayu, jauh lebih tua dari Melaka.

 

Bumi yang kaya dengan khazanah seperti emas, timah dan hasil hutan belantara ini terletak di bahagian tengah Semenanjung menghadap Laut China Selatan atau dahulunya Laut Melayu yang terbentang luas ke timur, Kelantan dan Terengganu di utara, daerah Rembau, Perak, Selangor  di barat, dan Johor di selatan. 

 

Catatan lama dari China, Arab dan juga Eropah merujuk kepada Pam, Pan, Phang, Peng Keng, Phaan, Paham, Fanhan, dan Phang. Di zaman silam pula, kerajaan Pahang dikenali sebagai Inderapura atau Pahang Inderapura.

 

Dan pada asalnya bandar Dirajanya, Pekan dicatatkan di atas peta kuno sebagai Pura.

 

 

hikayat

 

 

Di abad ke 14, Gajah Mada Patih Amangkubumi tersohor Kerajaan Majapahit pernah berkata, dia tidak sekali-kali ingin berhenti berpuasa dari keenakkan rempah.

 

Katanya: “Jika (saya berjaya) mengalahkan (menakluki) Nusantara, (maka) saya akan berbuka. Jika Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Temasek, semuanya kalah, (maka barulah) saya berbuka." .

 

Ini menggambarkan Pahang sebagai satu politi yang sangat diidamkan Gajah Mada pada masa itu dan merupakan negeri tersohor kaya raya dengah  gunung ganang dan laluan sungai terpanjang di bahagian Semenanjung Tanah Melayu.

 

Di sepanjang tebing sungai inilah tertumpu rakyat Pahang dan titik pusat wilayah pemerintah dari pedalaman Kuala Lipis, Tembeling, Lurah Bilut, Bera ke Semantan, Chenor, Sekara, Kertau, hingga ke Pekan. 

 

Kerajaan Melayu Pahang

Walaupun kerajaan di negeri Pahang telah lama wujud, corak pemerintahan Kesultanan Melayu di negeri Pahang berkait rapat dengan  Kerajaan Kesultanan Melaka.

 

Sultan Pahang yang pertama adalah putera kepada Sultan Mansur Shah, Melaka sekitar 1470, Sultan Muhammad. Bondanya adalah Puteri Onang Seri dari Pahang telah dikahwini oleh Sultan Mansur Shah.



Dari keturunan inilah Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah menjadi Sultan yang memerintah di awal abad ke-17 dan berkahwin dengan Puteri Patani, Ratu Biru.  

 

Sultan Abdul Ghafur begitu gagah perkasa namun garisan kesultanan ini tamat di negeri Pahang setelah Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah dan anakanda baginda, Raja Muda Abdullah mangkat dibunuh oleh kerana perebutan kuasa.  Ratu Biru kembali ke Patani selepas kejadian ini.

 

 

hikayat

 



Kerajaan Bersekutu Johor-Pahang

Secara tidak langsung, kesultanan di Johor mengambil alih pemerintahan di Pahang. Di kancah pergolakan Acheh dan Feringgi Melaka, Johor diserang oleh kerajaan Acheh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (Mahkota Alam).

 

Akhirnya Sultan Alauddin Ri’ayat Shah serta Bendahara Tun Seri Lanang bersama-sama puluhan ribu rakyat Johor dan Pahang dibawa ke Acheh.

 

Seorang Puteri Pahang, Puteri Kamaliah dan anak saudaranya Raja Mughal, putera kepada Raja Ahmad turut dibawa ke Acheh. Puteri Kamaliah dikahwini oleh Sultan Iskandar Muda dan tercatat dalam sejarah dan nazam di Acheh sebagai Putroe Phang.

 

Raja Mughal pula menjadi anak angkat dan menantu kepada Sultan Iskandar Muda. Putera Pahang ini kemudiannya diangkat sebagai Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani. Pahang terus memerintah kerajaan secara autonomi selepas ini. 

 

Riau-Johor-Pahang

Sultan Mahmud Shah ke-2 atau Marhum Mangkat Dijulang di Kota Tinggi mangkat pada tahun 1699 dibunuh oleh Laksamana Bentan Megat Seri Rama.

 

Oleh kerana tidak mempunyai zuriat, Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil bergelar Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah ke-4, anak kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid, diangkat sebagai Sultan.

 

Inilah Kerajaan Johor-Riau-Pahang. Pada penghujung pemerintahan kerajaan ini, Raja bersemayam di Riau (Bentan), Bendahara di Pahang, Temenggung di Johor, dengan masing-masing mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan.

 

Pemerintahan ini terbubar dengan perjanjian Inggeris Belanda 1824, dan Pahang kembali memerintah wilayah sendiri. 

 

Kesultanan Pahang Era Moden

Pada 6 Ogos 1882, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah bergelar Sultan Pahang yang pertama setelah mengalahkan kekandanya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir.

 

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

 

Perang saudara ini  antara terdasyat dalam sejarah Pahang menyebabkan rakyat Pahang berpecah-belah.

 

Setelah mendapat sumpah setia pembesar dan pahlawan di bumi Pahang, Wan Ahmad dilantik Bendahara Siwa Raja dan bergelar sultan pada 6 Ogos 1882, yang mana keturunannya kekal memerintah Pahang hingga hari ini.- DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb