Tokoh Kepulauan Melayu? Tokoh Dunia! Kenali Ali, Wallace, Enrique de Malacca & MPU Prapanca | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 16 Sep 2024 07:15 AM

TOKOH KEPULAUAN MELAYU? TOKOH DUNIA! KENALI ALI, WALLACE, ENRIQUE DE MALACCA & MPU PRAPANCA
 

 

 


Adakah dunia mengenali Ali Wallace, atau Buang Muhammad Ali, Enrique de Malacca dan pujangga Mpu Prapanca?

 

ALI WALLACE

Seorang pengkaji alam semulajadi dari Sarawak dari alam Melayu telah dilupakan dalam sejarah sains dunia terutamanya dalam teori alam semulajadi. Menurut Isabella Desjeux, Buang adalah seorang keturunan Melayu Bugis, dikenali sebagai pembantu Alfred Russel Wallace pada abad ke-19. Penemuan manuskrip Buang ditulis pada sekitar abad 1860 sehingga 1890 mengandungi pemerhatian saintifik namun beliau seolah-olah hilang dari pengetahuan sains dunia.

 

 

ALI WALLACE
             ALI WALLACE

 

 

Buang dikenali sebagai Ali Wallace yang telah membina makmal sendiri di Pulau Ternate dan aktif dalam pengumpulan spesimen. Walaupun tidak dikenali secara meluas, penemuan manuskripnya yang mengandungi kajian tentang durian, tumbuhan, momentum, dan penerbangan menunjukkan pemikiran saintifik di luar kotak dan keunggulannya. Namun, penemuan Buang diabaikan dan tidak dianggap penting oleh dunia Barat. 

 

Peninggalannya dalam dunia sains tetap tidak terpadam. Kisahnya memberikan pandangan baru tentang kearifan bangsa Melayu dalam bidang sains terutamanya perubatan dari hutan belantara dan tumbuh-tumbuhan. Malangnya, ini juga mencerminkan ketidakadilan sejarah yang sering kali menenggelamkan kecemerlangan ilmu saintifik dari kelompok yang tidak sealiran dunia Barat. Isabella Desjeux membuka mata dunia terhadap potensi sains melalui kajian Buang. 
 


Penemuan kisah Buang atau lebih dikenali sebagai Ali Wallace bermula apabila dikatakan manuskrip yang ditulis pada sekitar abad 1860 sehingga 1890 yang masih dalam keadaan baik dijumpai. Manuskrip tersebut dihantar ke Department of Epistmology di University of Failomics di Abuja, Nigeria untuk dikaji. Hasil kajian di University of Failomics oleh Dr Ola Madunagu, beliau mengatakan Buang seorang berketurunan Melayu dari etnik Bugis. Beliau bertemu Wallace pada tahun 1854 di kepulauan Borneo dan membantu Wallace mengumpul spesimennya. Spesimen yang dijumpai Buang dan Wallace kemudiannya dihantar ke Muzium Sejarah England. 

 

Ketika Isabella Desjeux melawat Ternate dalam pengambaraan dokumentarinya mengenai Buang, beliau menyoalkan 
apa yang telah Buang temukan dalam kajian sains beliau. Memahami kajian Buang bukan sahaja satu kelebihan dalam dunia sains, tetapi juga memberi satu penerangan baru tentang kaedah berbeza dalam kajian sains. Beberapa kajian berkaitan fizik juga ditemukan berkaitan momentum dan putaran seakan-akan menjurus kepada kajian aeronatik atau penerbangan. Kajian Isabella Desjuex berusaha memartabatkan ketamadunan dan pencapaian bangsa Melayu.

 

Dari apa yang kita ketahui melalui cerita berkaitan pemikir Melayu bernama Buang, jelas sekali bangsa Melayu mempunyai kearifan yang juga hebat dalam kajian kajian alam semulajadi. Namun kerana menjadi lumrah pihak barat tidak akan sesekali mengangkat darjat atau kebolehan orang dijajah untuk digunakan. Mereka lebih sanggup menutup ilmu yang dipelopor orang Melayu  "disenyapkan” supaya bangsa yang dijajah tidak bangkit menjadi bangsa yang kuat.

 

PANGLIMA AWANG 

Di antara tokoh Melayu dari zaman silam, mungkin tidak ada yang lebih dikagumi dan diakui keberadaannya dari individu bernama Enrique De Malacca. Pengembara dunia ini menjadi aspirasi kepada kajian di badan penyelidikan sejarah dan pelayaran agung dari seluruh dunia.
 

Prof G L Koster berhujah bahawa kisah Enrique de Malacca (Panglima Awang) adalah kisah yang "memberi amaran kepada orang Melayu supaya tidak kehilangan identiti mereka apabila mengaitkan sejarah dengan penjajahan yang bertopengkan kemanusiaan." Kisah Panglima Awang hari ini menjadi saranan yang jelas untuk membangunkan keyakinan diri, dan berusaha untuk mencapai kejayaan dengan pengetahuan yang ada pada diri sendiri.

 

 

hikayat
Arca peringatan Enrique de Malacca atau Panglima Awang

 

 

Apakah yang kita diketahui? 

Enrique de Malacca berasal dari rantau ini, pada masa itu sebahagian besarnya berada di bawah pemerintahan Melaka. Maka tidak hairanlah beliau dikenali sebagai Enrique de Malacca.  

 

Anak Melayu ini  menemani Magellan dalam percubaannya belayar mengelilingi dunia. Enrique bercakap bahasa Melayu yang membolehkannya berinteraksi dengan sesiapa sahaja yang mereka temui di rantau ini - dari kepulauan Cebu hingga ke Melaka. Hubungan antara Magellan dan Enrique dikatakan saling menghormati.

 

Pertempuran Mactan berakhir dengan Magellan dibunuh Dato Lapu-Lapu. Berakhirlah kedudukan istimewa Enrique di kapal Magellan yang kini diambil aleh oleh Duarte Barbossa. 

 

Enrique terus menghilangkan diri selepas kejadian ini. tidak diketahui arah tujunya. Adalah munasabah bahawa Enrique meninggalkan kepulauan ‘Filipina’ dan kembali ke Melaka. Dari sinilah bermula  penceitaan bahawa Enrique kembali ke Semenanjung Tanah Melayu. Ini mengilhamkan segala legenda termasuk kisah  Enrique dikenali sebagai Datuk Laut Dalam di Rembau.

 

Menurut ahli sejarah Harvard Dr. Joyce Chaplin, pemegang sarjana Fullbright dan Sejarawan Harvard University, dalam bukunya yang berjudul “Round About the Earth: Circumnavigation from Magellan to Orbit,” mengatakan adalah berkemungkinan besar orang pertama yang mengelilingi dunia adalah seorang Melayu,  dikenali dengan nama Enrique de Malacca. 

 

MPU PRAPANCA

Mpu Prapanca adalah seorang pujangga sastera Jawa yang tersohor dari zaman Kerajaan Majapahit pada abad ke-14. Namanya terus menjadi legenda hingga ke zaman Indonesia moden sebagai pengarang Kakawin Negarakertagama yang begitu tersohor. 

 

Bagi saya, seorang penyair yang mampu mencipta sebuah karya yang masih relevan hingga 700 tahun kemudian patut diiktiraf sebagai salah seorang penulis yang paling terkemuka di dunia. Lebih-lebih lagi, apabila karya tersebut mengisahkan tentang kegemilangan Kerajaan Majapahit yang begitu megah.

 

Prapanca hidup pada zaman keemasan Majapahit, hasil daripada penjajahan wilayah-wilayah di luar Jawa yang dipengaruhi oleh dasar politik ekspansif yang diterapkan oleh Mahapatih Gajah Mada. Beliau menggambarkan kemegahan Majapahit, keamanan, hubungan antara pusat dan negeri-negeri wilayah, serta berinteraksi dengan negara-negara asing.

 

 

MPU PRAPANCA

 

 

Agak mengejutkan, Prapanca menulis tentang dirinya sendiri dalam Kakawin Negarakertagama - ini memberi petunjuk bahawa Prapanca mungkin merupakan nama pena. 

 

Negarakretagama Pupuh 96: Prapanca itu pra lima buah/ Cirinya: omongannya lucu/ Pipinya tembam, matanya ngeliyap/ Gelaknya ngakak. Terlalu kurangajar dia, tidak bisa ditiru/ Tolol, tidak mengikuti anjuran tutur/ Memerlukan pimpinan yang baik dalam tatwa/ Pantasnya ia dipukul pantatnya berulang kali.

 

Ini jelas satu penulisan satira. Terdapat andaian yang mencadangkan bahawa sebenarnya beliau ialah Dang Acarya Nadendra, seorang bangsawan pada ketika itu.

 

Mengambil kira karya agungnya, kita patut menghargai kepandaian Prapanca sebagai salah seorang tokoh penulis terawal serta terunggul di kepulauan Tanah Melayu, bersama-sama dengan Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji yang pernah saya hujahkan sebelum ini. 

 

Sebetulnya, kita seharusnya sentiasa terbuka hati untuk meneliti dan menghargai warisan para tokoh terdahulu dari segenap penjuru tanah air kita, kerana di sanalah terkandung biji saga kearifan yang diperlukan untuk memantapkan martabat bangsa kita.

 

Hanya dengan langkah sebegini, kita mampu menyemai kekuatan yang hakiki dalam jiwa generasi penerus, menjadikan mereka benar-benar unggul dan bermakna bagi masa depan negara kita.

 

SELAMAT HARI MALAYSIA!  - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb