Tradisi Hari Raya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 24 Apr 2023 07:00 AM

TRADISI HARI RAYA

 

 

HARI Raya hari kemenangan. Hari mulia ini adalah saat paling bahagia, paling penting, dan paling berharga untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan. 

 

Yang lama tidak berjumpa ditegur sapa penuh kemesraan. Walaupun jarang bertemu, ikatan silaturrahim memang erat dan riang ria mengingati kisah lalu. Yang berseteru, ada peluang baik untuk berdamai.  Yang kecil mula mengenal sepupu, sepapat yang jauh dan dekat. Yang tua akan membuka kisah lama bermula dengan kisah nenek moyang yang telah lama pergi. 

 

Di dalam keluarga kami, ibu memainkan peranan penting memegang salasilah keluarga. Setiap tahun, salasilah ini akan dikeluarkan, dibaca dan dibelek untuk generasi yang baru. Satu masa dulu, saya anak muda yang bertanya soalan ingin mengetahui kisah lama dan siapa waris terdahulu. Tetapi kini, beberapa dekad telah berlalu dan anak muda sezaman dulu telah mula mengambil tempat baru sebagai tukang cerita. 

 

 

ninot aziz

 

Hikayat keluarga, kami namakan  Hikayat Tok Tunggal. Kisah bermula dari zaman Tok Amar Segara Ghafur yang tiba ke  Kampung Duri 200 tahun dahulu. Tok Aji. Tok Sabur. Tok Tembaga gagah perkasa. Tok Parit yang paling licik. Tok Tembaga dan Tok Parit memulakan Hikayat Pahang mengejar lanun di Laut Melayu supaya menambah harta kerajaan. Sekali bertempik, habis bertempiaran lanun semua. 

 

Tok Tunggal pula panglima dari Bukit Segumpal yang telah menawan hati seorang gadis dari Chenor, anak Tok Parit yang terkenal handal. 

 

Tok Parit mempunyai anak gadis bernama Tok Chenduk yang merupakan Canggah saya. Tok Tunggal dan Tok Chenduk adalah ibu bapa Tok Nit, Muit yang tersohor membela kematian adiknya Tok Imam Perang Husin Panglima Bebas. Oleh kerana hasad dengki dan salah faham, Tok Nit membawa diri, bersama isteri tercinta Embun dan anaknya Awang Pekan ke Patani. 

 

Demikianlah Encik Husin Panglima Bebas, anak Tok Tunggal Bukit Segumpal; sekalian adik -beradik orang yang telah masyhur beraninya zaman berzaman; cucu Tok Parit yang tersebut di dalam kisah pertama. Tiadalah boleh diperikan mereka itu keberaniannya masa melanggar kubu musuh itu.

 

Hikayat Pahang

Akhirnya, panggilan kampung halaman Bukit Segumpal menyambut anak dagang Awang Pekan yang handal bermain seruling bambu dan pedang pulang dari perantauan. Dan kisah kami sekeluarga berterusan hingga hari ini. 

 

Cerita sebegini hanyalah untuk kami mengambil iktibar. Namun, kisah hampir 200 tahun yang lampau inilah yang menjadi tali pengikat, segala waris dan keluarga yang tinggal serata ceruk negara dari jauh dan dekat. Dalam adat Melayu, kita memang patut mengenal waris terdahulu sebanyak 12 keturunan supaya mudah kita doakan rahmat dan sedekah Al-Fatihah. 

 

 

ninot aziz
Melihat salasilah keluarga

 

 

Di samping itu, kita mengenal kekayaan bumi bertuah. Memang ramai yang tidak tahu betapa kayanya Bumi Semenanjung Tanah Melayu ini. Emas. Timah. Getah. Habis dijarah penjajah terdahulu. Bayangkan dunia yang mewah sebelum kehadiran Inggeris, ‘Maka sekalian balai gambang berlabuh di dalam sungai sangatlah banyaknya; puluh puluh bersusun, rupanya seperti jajaran kapal laut.’

 

‘Tiadalah dapat diperikan besar arakannya…Kemudian barulah diarak betul. Diambil menora, makyung bawa berarak ke dalam perahu dengan gong gendangnya, meriam dan lela, senapang pada sekelian perahu dimasukkan. Maka bunyinya mengarus awan. Demikianlah bunyi manusia di sungai dan darat, tiadalah apa lagi kedengaran dengan sorak tempik bunyinya…’

 

‘Tuan puteri dengan takzim dibawa ke dalam istana… telah menanti puteri-puteri disembur emas, perak serta beras kunyit perada. Ia berjalan sudah berbintang.’

 

‘Santap nasi berastakona tujuh tingkat. Batangnya perak. Daunnya emas. Sangatlah cantik di majlis.’

 

Hadiah diraja

Saya pernah mendengar orang tua-tua bercerita tentang hadiah emas tulin segalanya, hadiah diraja sebatang pokok kelapa sekaki tinggi daun kelapa meliuk lintuk macam cucuk sanggul, ada tupai menebuk buah kelapa terletak tersusun…

 

Tradisi bercerita dalam keluarga memiliki peranan penting dalam menjaga dan memperkukuh hubungan keluarga dan kebanggaan anak bangsa. 

 

Cerita-cerita hikayat dan tradisi turut mempertahankan budaya dan warisan Melayu, serta mampu menaikkan semangat kepahlawanan dan jatidiri. Melalui cerita-cerita tersebut, kita mempelajari nilai-nilai yang penting di dalam kehidupan, seperti nilai taat setia, kebenaran, keadilan, keberanian, dan nilai-nilai agama. Serta perkara yang patut jadi larangan dan sempadan. Tidak kurang juga kisah jenaka dan seloka menjadi pengikat kasih dan ingatan mesra. 

 

 

ninot aziz
Bertemu Ayahanda Yassinsalleh di Hari Raya kedua

 

 

Mungkin kerana ini saya amat tertarik dengan hikayat dari kecil lagi. Tambahan pula budaya membaca amat tinggi dalam keluarga jadi apabila pulang ke kampung, saya akan membaca hikayat Melayu di almari (getobok) di samping mentelaah Encyclopedia Arwah Tok Ki yang tersusun di ruang tamu!

 

Hikayat dan tradisi bercerita begitu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jati diri budaya Melayu dan mempererat tali persaudaraan antara anggota keluarga dan masyarakat.

 

Harapan tinggi menggunung, setiap Hari Raya, kisah-kisah ini terus dipertahankan. 

 

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin!

 

Ninot binti Abdul Aziz bin Tok Muda Salehuddin bin Tok Awang Pekan bin Tok Nit bin Tok Tunggal bin Tok Sabur bin Tok Aji bin Tok Ghaffur. 

 

Nina anak Abang Tik anak Chu Rahmah anak Yangchik anak Bebunga  – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA