Undang-Undang Dunia Melayu bukti keagungan Tamadun Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 06 Nov 2021 08:20 AM

Undang-Undang Dunia Melayu bukti keagungan Tamadun Melayu

 

 

hikayat
Pelabuhan Melaka pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka. - Ilustrasi oleh Mohd Faizal Rahmat

 

 

BANGSA yang mempunyai undang-undang, terutamanya undang-undang bertulis boleh dikatakan bangsa yang bertamadun.  

 

Pastinya golongan cerdik pandai sesebuah bangsa itulah yang memikirkan, mengarang dan menuliskan peraturan-peraturan yang tertentu untuk diketahui dan diikuti seluruh rakyat.

 

Dari pengalaman dan pemikiran dan penelitian yang tajam, maka akan lahir undang-undang atau peraturan yang baik dan lengkap.

 

Undang-undang Dunia Melayu patut diperbincangkan sebagai satu topik menaikkan Dunia Melayu sebagai satu tamadun yang penting dalam sejarah dunia yang digelapkan.

 

Benarkah Tamadun Dunia Melayu digelapkan? Jika kita lihat garisan tamadun dunia, kita tidak lihat Dunia Melayu. Yang terawal adalah Mesopotamia, Mesir, Maya, India, China, Rome, Yunani dan Persia. 

 

Malah setelah kejatuhan Yunani dan kemudian Rome, ia diikuti kebangkitan Tamadun Dunia Barat (Eropah dan Amerika) yang disebut sebagai Rennaisance diikuti zaman penjajahan.

 

Rata-rata Tamadun Islam seperti Uthmaniyah tidak disebut begitu juga Tamadun Duni Melayu walaupun amat significant dari segi evolusi kemanusiaan.
 

 

hikayat

 

 

Malah teori Stephen Oppenheimer meletakkan Dunia Melayu ini melihat penempatan terawal selepas manusia mula bergerak ke benua luar dari Afrika. Hasil kajian selanjutnya meletakkan  Tamadun Champa, Kedah Tua dan Sriwijaya merupakan di antara tamadun Melayu tertua.

 

Pengetahuan dan ilmu juga tersebar luas dari era ini boleh didapati dari prasasti dan akhirnya manuskrip manuskrip serta kitab-kitab dan penulisan di atas daun lontar.

 

 

hikayat

 

 

Kini, terdapat lebih 10,000 manuskrip serta kitab Dunia Melayu dalam pelbagai hal seperti kesusasteraan, keilmuan dan juga hukum kanun yang tersimpan dalam lebih 150 pusat muzium dan perpustakaan di lebih 60 negara seluruh dunia seperti di Cambridge, Oxford, British Library, US Library of Congress – pusat terbesar adalah di Perpustakaan Negara Malaysia sendiri yang menyimpan lebih 4,500 naskah di Pusat Manuskrip Melayu PNM.

 

Sejumlah 10,000 naskah hasil tulisan tangan orang Melayu membuktikan Melayu bangsa bertamadun dan dapat mendokumentasikan hasil pemikiran bermula dari prasasti Talang Tuwo hinggalah batu Bersurat Terenggnu.

 

Dari segi undang-undang antara yang terbaik adalah Undang-undang Melaka yang juga diadaptasi ke seluruh Alam Melayu. Pengkaji Undang-undang Melaka, Dr Liaw Yock Fang menyatakan bahawa ada enam  bentuk yang nyata:

 

1. Undang-Undang Melaka Pokok

2. Undang-Undang Melaka versi Aceh

3. Undang-Undang Melaka versi Patani

4. Undang-Undang Melaka versi Panjang

5. Undang-Undang Melaka versi Islam dan Johor

6. Undang-Undang Melaka versi Fragmentaris

 

Undang-undang Melaka menunjukkan struktur Kerajaan yang jelas seperti Raja, Bendahara, Laksamana dan Syahbandar dan memperlihatkan gabungan undang-undang lama berteraskan budaya dan diterapkan elemen agama yang kukuh.

 

Undang-undang Melaka menyentuh bidang kuasa Raja, bidang kuasa pembesar negeri, hukuman jenayah, bah hutang pemiutang dan pembahagian harta, adat nikah kahwin dan kekeluargaan.

 

Undang-undang Laut pula merupakan bahagian kedua Undang-undang Melaka yang jarang dibincangkan.

 

Sebenarnya orang Melayu itu dikatakan tamadun maritim kerana “Mereka yang tidak akan berjalan kaki selagi perahu mereka boleh sampai. Tidak akan berumah di tanah kering selagi ada tanah berpaya.”

 

Oleh itu tidaklah hairan Bangsa Melayu mempunyai Undang-undang Laut yang dinamis dan komprehensif.

 

Dalam membincangkan hal-hal di laut, Undang-undang laut dikanunkan pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud mengambil iktibar segala panduan di laut memberi kepentingan kepada penjawat Nakhoda, Malim dan jurumudi membincangkan hal-hal jenayah dan tingkah laku di laut.


 

Selepas Melaka jatuh, undang-undang laut terus diolah dan lahirlah Undang-undang belayar dan Undang-undang Perahu.

 

Undang-undang Laut Versi Vatican Library ini dikatakan yang terbaik dan tertua di dunia. Menurut Dr Liaw lagi, bahagian kedua manuskrip ini adalah naskah Undang-Undang Melaka.

 

Dalam kebanyakan naskah undang-undang yang terdiri atas dua bahagian, bahagian yang pertama adalah Undang-undang Melaka dengan bahagian yang kedua merupakan Undang-undang Laut.

 

Sayangnya, naskah Undang-undang Melaka yang terbaik dan dapat menjelaskan banyak kekaburan yang terdapat di dalam edisi Undang-Undang Melaka (Liaw 1976) adalah sebuah naskah yang begitu susah untuk dikaji atau dilihat ini adalah versi Vatican Library yang tersohor itu.


 

hikayat

 


UNDANG-UNDANG PELABUHAN KEDAH

 

Dunia Melayu juga merangkumi Undang-undang Kedah sebenarnya.

 

Kedah atau Kataha juga dikenali sebagai Kadaram atau Kallah telah lama dikenali oleh pelaut dan pedagang yang menjalankan perdagangan antara India dengan China dan berperanan penting sebagai pelabuhan persinggahan di lautan antarabangsa lama.



 

Kita telah mengenali Sg Batu di Kedah sebagai entrepot yang paling tua. Pembuatan besi yang sangat baik menjadi ‘specialty’ Kedah di mana pédang dari Kataha antara terbaik pada zaman itu.

 

Kita tahu bahawa pedagang Arab dan  Parsi bertapak di tenggara China sebaik sahaja Islam muncul pada abad ke 7- tidak mustahil mereka mengenali Kedah pada era yang sama sehinggalah ke abad ke 11.



 

Sudah tentu apabila Melaka bangkit, Kerajaan Kedah sedikit sebanyak kurang penumpuan. Namun selepas Melaka dijajah Portugis, nampak kemunduran dan kemalapan Melaka (inilah sebab utama saya kurang setuju segala peninggalan penjajah itu yang diberi perhatian melebihi Kesultanan Melaka apabila kita membincangkan Melaka. Keagungan Melaka begitu juga persahabatan dengan China itu tertakluk pada zaman Kesultanan Melaka).

 

Selepas ditawan Portugis, Kedah, Johor dan Patani mula bersinar. Undang-undang Pelabuhan Kedah pada 1650 menjadi bukti kehebatan Pelabuhan Kedah yang menjadi pusat perdagangan lada hitam, timah dan sudah tentunya, beras.

 

Berbeza dengan Undang-undang Laut Melaka, Undang Pelabuhan Kedah ini antara undang pelabuhan unggul negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.

 

Ia menyebut tentang jawatan terpenting di Pelabuhan Kedah seperti Panglima Negeri, Panglima Bandar/ Syahbandar Darat, Syahbandar, Panglima Kuala/Batangan, Mata-mata dan Sakai.

 

Oleh itu, ketahuilah bahawa Undang-undang yang dikanunkan seluruh Dunia Melayu ini bukti kukuh Ketamadunan Dunia Melayu. Jangan biarkan sejarah dan ketamadunan orang Melayu itu digelapkan oleh mana-mana sejarawan dunia.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA