`Datuk' beli 36 bungkus `nasi ganja' guna helikopter selesai dirakam percakapan oleh Polis Perak | DagangNews Skip to main content

`Datuk' beli 36 bungkus `nasi ganja' guna helikopter selesai dirakam percakapan oleh Polis Perak

IPOH 27 Julai - Polis sudah merakam keterangan seorang `Datuk' yang memesan 36 bungkus `nasi ganja' menggunakan helikopter dan mendarat di Padang Ipoh pada Jumaat lalu.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, `Datuk' berkenaan adalah antara tiga individu yang selesai dirakam percakapan mereka hari ini, berhubung insiden pendaratan helikopter model Bell 505 itu.

 

Beliau berkata, syarikat helikopter tersebut mendakwa mempunyai surat kebenaran merentas negeri dikeluarkan Polis Selangor, tetapi setelah diselidik, surat itu hanya bagi tujuan penyelenggaraan pesawat.

 

"Lelaki bergelar Datuk dan pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu antara lima individu dipanggil untuk diambil keterangan.

 

"Siasatan dijalankan mengikut kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri atau daerah iaitu di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Akta 342," katanya dihubungi Berita Harian, hari ini.

 

Sebelum ini, Mior Faridalathrash mengesahkan helikopter berkenaan hanya mempunyai kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh namun tidak di Padang Ipoh.

 

Menerusi laporan akhbar Jumaat lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada jam 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus kandar dikenali 'nasi ganja' dari sebuah restoran di bandar ini.

 

BACA JUGA : Polis lapor kepada CAAM mengenai helikopter ambil `nasi ganja' di Ipoh

 

CAAM dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu berkata, helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor jam 9.08 pagi Jumaat dan kembali semula ke lapangan terbang itu jam 11.02 pagi hari sama seperti yang dijadualkan. - DagangNews.com