Skip to main content

Deadline bursa dipenuhi, saham Serba Dinamik rancak didagangkan

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM
Editor DagangNews.com

 

GENAP sebulan sudah Serba Dinamik dilanda ribut taufan. Belum reda sepenuhnya. Laut masih bergelora dengan tiupan angin kencang, apatah lagi ia sudah melibatkan proses undang-undang dengan tindakan saman ke atas bekas firma auditnya, KPMG.

 

Serba Dinamik mengalami kejatuhan harga saham yang teruk akibat isu audit yang dibangkitkan oleh KPMG dan dianggarkan lebih RM3 bilion telah lesap daripada segi permodalan pasaran.

 

Dalam situasi yang dilihat meruncing, Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang terhadap KPMG atas dakwaan `cuai dalam melakukan audit’. Perlu dijelaskan saman itu bukan kerana `penemuan audit KPMG’.

 

Malah, Serba Dinamik mendedahkan KPMG enggan melakukan verifikasi terhadap penjelasan oleh pihak syarikat terhadap beberapa dapatan audit.

 

4 bilion saham didagangkan 28 Jun-2 Julai

Namun di sebalik gelora, pemerhatian di Bursa Malaysia mendapati `bot-bot kecil’ masih rancak mengerumuni kaunter saham Serba Dinamik. Ini bertentangan dengan bot-bot besar yang sudah mengangkat sauh meninggalkan syarikat itu terkontang-kanting di lautan luas.

 

Bot-bot kecil ini merupakan pelabur-pelabur runcit atau individu difahami masih rancak berjual beli saham Serba Dinamik disebabkan harga saham yang rendah sekarang iaitu 38.5 sen sesaham setelah mencecah paras 32 sen pada 29 Jun.

 

Menurut satu laporan, keseluruhannya lebih 4 bilion unit saham Serba Dinamik didagangkan dalam tempoh 5 hari pada minggu lalu.

 

Serba Dinamik merupakan antara yang tersenarai sebagai kaunter aktif dalam tempoh yang sama. Statistik yang dikeluarkan oleh Yahoo Finance menunjukkan saham Serba Dinamik paling banyak didagangkan pada 1 Julai lalu iaitu sebanyak 1,744,645,300 unit.

 

“Dari segi pergerakan harga, Serba Dinamik dibuka pada harga 40.5 sen pada hari Isnin dan meneruskan trend menurun sehingga 29 Jun dimana ia ditutup pada harga 32 sen.

 

“Walaupun mengalami penurunan yang ketara, saham Serba Dinamik dilihat bangkit semula dari paras 32 sen kepada 38.5 sen pada Jumaat lalu,” kata laporan itu.

 

Faktor pendorong

  1. Kerancakan dagangan kaunter saham Serba Dinamik berkait rapat dengan kejayaan syarikat memenuhi arahan Bursa Malaysia supaya melantik penilai bebas pada tarikh deadline 2 Julai lepas.

    Dalam laporannya kepada bursa, Serba Dinamik mengumumkan perlantikan EY sebagai juruaudit bebas untuk memeriksa isu yang dibangkitkan oleh KPMG.

    Difahamkan, EY juga sudah menerima komitmen Bursa Malaysia untuk memastikan KPMG memberi akses kepada EY dalam melaksanakan tugasnya secepat mungkin seperti diarahkan oleh bursa.
     

Serba Dinamik muktamadkan pelantikan EY hari ini

 

  1. Minat belian yang kuat didorong harga rendah berjaya meningkatkan harga saham Serba Dinamik disebabkan pantulan teknikal dan juga prospek fundamental yang kuat.

 

  1. Syarikat bakal mengumumkan barisan pengarah baru yang sudah dikenal pasti, dengan latar belakang lebih profesional dan berkaliber.

 

Ketiga-tiga faktor di atas dirumuskan antara pendorong utama pelabur saham memberi perhatian besar minggu lalu, dan dijangka berterusan minggu depan.

 

Seorang pedagang saham yang enggan namanya disiarkan berkata, walaupun diselubungi masalah audit, para pelabur sentiasa menanti berita positif dari Serba Dinamik.

 

``Pelabur mengikuti rapat perkembangan semasa dan Jumaat lepas, Serba Dinamik telah mengumumkan pelantikan EY yang dianggap positif dalam jangka masa terkini,” kata beliau.

 

Untuk prospek jangka masa pendek, harga saham Serba Dinamik mampu untuk berada di paras RM0.65-RM0.75 sesaham namun tertakluk kepada fundamental dan perkembangan di dalam masa terdekat.

 

Sekarang masa terbaik beli saham Serba Dinamik

 

Bukan lengahkan masa

Jika sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan pengurusan Serba Dinamik seolah-olah sengaja `melengah-lengahkan masa permainan’, semua itu tidak wujud lagi.

 

Sebenarnya itu sekadar spekulasi tidak berasas, kata seorang sumber rapat syarikat kepada DagangNews.com. “Mana ada orang sihat akal fikiran dengan sengaja hendak dragging their feet ketika nilai saham syarikat jatuh?

 

“Pengurusan bekerja siang dan malam untuk menyelesaikan segera masalah ini. Semua isu ini meragut peluang syarikat untuk mengembangkan perniagaan. Sebaliknya sekarang terpaksa memberi perhatian memadamkan api,” ujar beliau.

 

Namun perniagaan tetap perlu dijalankan. DagangNews.com difahamkan pengurusan kanan syarikat telah berlepas ke luar negara bagi menguruskan projek.

 

“Benar kita berdepan isu di Malaysia tetapi projek Serba Dinamik kena berjalan seperti biasa. Sebagai syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas global, kita sedaya-upaya memastikan `business as usual’.

 

“Dalam konteks lain, Serba Dinamik adalah serius dalam melaksanakan langkah-langkah mereka untuk menyelesaikan segera isu yang berbangkit,” kata beliau.

 

Pelayaran masih jauh bagi Serba Dinamik untuk keluar daripada gelora laut sekarang tetapi sekurang-kurangnya kompas pada kapal sudah stabil mencari daratan yang tenang untuk berlabuh. Anda pelabur runcit tahu apa benda boleh dibuat bila pasaran saham dibuka esok. Jangan jadi macam kelasi kayangan, tinggalkan kapal terkapai-kapai sewaktu mereka diperlukan. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu For Whom The Bell Tolls - Metallica berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.