Serba Dinamik muktamadkan pelantikan EY hari ini | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik muktamadkan pelantikan EY hari ini

 

TERBAHARU 2 Julai 2021 6pm : EY secara rasmi dilantik sebagai penilai bebas Serba Dinamik

 

 

SHAH ALAM 2 Julai – Hari ini adalah hari terakhir (deadline) yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia kepada Serba Dinamik untuk memuktamadkan pelantikan EY sebagai firma penilai bebas.

 

Menurut sumber syarikat Serba Dinamik, pengumuman perlantikan ini akan diumumkan kepada Bursa pada petang ini.

 

“Semua rundingan dan permintaan telah diteliti dan dipersetujui bersama EY. Jadi semuanya akan diumum kepada Bursa petang ini,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Dalam masa yang sama juga, sumber syarikat juga memaklumkan, langkah tersebut adalah petanda positif kepada Serba Dinamik bagi memulihkan kepercayaan pelabur terhadapnya dalam mengendalikan perniagaan kumpulan dalam keadaan seperti biasa.

 

“Seperti sedia maklum, syarikat percaya ini adalah langkah yang  dinantikan oleh para pemegang kepentingan dan menunjukkan bahawa tiada apa yang perlu dirahsia,” jelas sumber yang rapat dengan syarikat itu lagi.

 

Selain itu juga, Serba Dinamik kini di peringkat akhir untuk mengumumkan pengarah baharu syarikat supaya lembaga pengarah dapat berfungsi sepenuhnya.

 

‘Ya, ini juga menjadi ketetapan yang amat penting supaya lembaga pengarah kembali diterajui oleh pengarah bebas dalam memastikan tadbir urus korporat sentiasa dilaksanakan.

 

“Banyak perkara perkara yang perlu kelulusan lembaga pengarah dan ia penting untuk mendapat pandangan pengarah bebas,” jelas sumber itu lagi. – DagangNews.com