Di sebalik prestasi mantap FGV, penganalisis masih bimbang risiko nyahsenarai | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prestasi mantap FGV, penganalisis masih bimbang risiko nyahsenarai

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi beserta pengeluaran tandan buah segar yang sederhana akan terus memacu prestasi kewangan FGV Holdings Bhd. yang lebih baik.

 

Selain itu, ia turut didorong oleh segmen perniagaan gula menerusi anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd. yang dijangka kembali pulih dalam tahun kewangan 2021 (FY21).

 

MSM merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM122 juta dalam tempoh 9 bulan pertama 2021 berbanding kerugian bersih RM36 juta tahun lalu.

 

Ini membolehkan MIDF Research menyemak semula anggaran pendapatan FGV bagi FY21 kepada RM655 juta berikutan prestasi segmen perladangan yang mantap. 

 

Bagaimanapun, penganalisisnya, Shahira Rahim berkata, bagi FY22, semakan menaik bagi asas pendapatan lebih diimbangi daripada kesan pelaksanaan Cukai Makmur, menghasilkan unjuran untung bersih yang lebih rendah sebanyak RM304 juta.  

 

"Kami menjangkakan pengeluaran tandan buah segar kumpulan akan kembali pulih beberapa suku akan datang memandangkan kerajaan telah meluluskan kemasukan 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan. 

 

"Dalam tempoh 9 bulan pertama 2021 ini, pengeluaran tandan buah segar kumpulan susut 10% tahun ke tahun kepada 2.9 juta tan metrik daripada 3.2 juta tan metrik, disebabkan kekangan akibat perintah kawalan pergerakan dan masalah kekurangan tenaga buruh," jelas beliau. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas FGV tetapi menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM2.20 daripada RM2.36 sebelum ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, syarikat perladangan ini merekodkan untung bersih sebanyak RM399.39 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM136.89 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dipacu oleh harga MSM yang lebih tinggi pada purata RM3,798 satu tan metrik.

 

Pendapatan yang dicatatkan syarikat perladangan itu juga meningkat kepada RM5.31 bilion daripada RM3.99 bilion bagi tempoh yang sama.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, pendapatan menokok 33% tahun ke tahun kepada RM13.39 bilion, manakala keuntungan operasi juga naik hampir tiga kali ganda kepada RM1.16 bilion tahun ke tahun. 

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang turut menyemak naik unjuran pendapatan sesaham (EPS) FGV bagi FY21-FY23 yang mencerminkan harga MSM dan margin perkilangan yang lebih tinggi. 

 

Bagaimanapun, beliau mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham FGV berikutan risiko nyahsenarai syarikat daripada papan utama Bursa Malaysia. 

 

"Penyebaran awam FGV jatuh kepada 13.19% setakat 25 November lalu berbanding 13.47% pada 25 Ogos 2021," katanya.

 

Setakat ini, menurutnya, FGV belum lagi merangka sebarang pelan pembetulan untuk menangani kekurangan dalam penyebaran awam ini.

 

Katanya, lanjutan masa yang diberikan Bursa Malaysia untuk mematuhi penyebaran awam ini akan berakhir pada 3 Februari 2022. 

 

"Bagi mencerminkan risiko ini, kami mengekalkan TP pada RM1.43, 10% premium berbanding harga tawaran akhir pada RM1.30. 

 

"Malah, kami melihat harga saham disokong oleh potensi tawaran penswastaan dan 3% hasil bagi FY21," katanya.  

 

Setakat 9.40 pagi ini, harga saham FGV susut 1 sen atau 0.68% kepada RM1.47 dengan 194,100 saham diniagakan. - DagangNews.com