Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 2 July 2022

DILEMA PEMULIHAN EKONOMI

Oriental Daily & Nanyang Siang Pao 20-30 Jun 2022

 

 

 

TURUN NAIK harga ayam memberi kesan yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia merupakan salah satu sumber protein utama.

 

Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk menarik balik arahan mengapungkan harga ayam, dan meneruskan subsidi serta menetapkan harga siling runcit mulai 1 Julai, orang ramai akhirnya boleh bernafas lega. Tetapi ada juga yang menyindir ‘kerajaan buat U-turn’ lagi.

 

Sejak isu ‘kekurangan ayam’ pada Mei lalu sehingga isu harga terapung dan harga siling, ia berkait dengan inflasi global. Di Malaysia selain berdepan dengan rantaian bekalan global terjejas dan perang Rusia-Ukraine, masalah kekurangan tenaga buruh juga telah menyebabkan kos pengeluaran meningkat.

 

Inflasi makanan negara pada bulan Mei mencapai paras 5.2% tertinggi sejak 2011. Atas sebab itu, kerajaan mengumumkan tambahan bernilai RM630 juta untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 menjadikan jumlah peruntukan kepada RM8.2 bilion, bagi meringankan beban hidup rakyat. Jumlah ini menjadi bantuan tunai tertinggi dalam sejarah Malaysia.

 

Walaubagaimanapun, masalah kenaikan harga barangan tidak dapat diselesaikan secara berkesan sekiranya kerajaan cuai dalam mengawal selia pasaran.

 

Kaedah penyelesaian yang mudah dan ‘kasar’ seperti arahan larangan eksport, menuduh kumpulan monopoli memanipulasi harga ayam, menyalahkan orang tengah yang mengaut keuntungan dan sebagainya, hanya akan memusnahkan hubungan penawaran dan permintaan yang sepatutnya dijaga.

 

 

ayam

 

 

Kita tidak sabar menunggu Belanjawan 2023 yang dijangka akan dibentangkan pada 28 Oktober tahun ini. Memandangkan ruang fiskal yang terhad, berapa banyak eleman ‘wow’ yang akan diselitkan kerajaan dalam bajet ini?

 

Belanjawan 2023 dijangka kekal sebagai bajet defisit dan mengutamakan perbelanjaan dalam bidang utama, tetapi ia mestilah tidak sebesar seperti dalam tempoh 3 tahun lepas di mana defisit fiskal 2020-2022 mencecah 6.2% daripada KDNK.

 

Menurut kenyataan pra-Belanjawan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini, belanjawan akan memberi tumpuan untuk mencapai kedudukan kewangan yang lebih mampan dengan meningkatkan kecekapan hasil dan perbelanjaan, iaitu mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan penyatuan kewangan.

 

Kerajaan perlu membina semula ruang fiskal untuk menangani sebarang kejutan pada masa hadapan. Jika bajet kali ini adalah persediaan untuk menghadapi PRU15, dengan sekali lagi menghidangkan ‘gula-gula’ untuk memenangi hati pengundi, ia hanya akan merosakkan nama baik negara di kalangan pelabur dan agensi penarafan antarabangsa.

 

Inflasi bukan sahaja menekan kos sara hidup rakyat malah turut merosakkan angan-angan UMNO yang mahu PRU15 disegerakan, bagi membolehkan parti itu kembali berkuasa.

 

Bagaimanapun tiada parti memerintah yang sanggup mengambil risiko ini ketika negara sedang kecoh isu harga ayam, minyak yang melambung tinggi. Tetapi bagi ‘geng UMNO mahkamah’ pula mempunyai perancangan yang lain, kepentingan peribadi jelas lebih penting berbanding kejutan inflasi.

 

Baru-baru ini, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tajuddin Abdul Rahman menyelas presiden parti dengan mendedahkan krisis dalaman adalah antara geng mahkamah dengan geng menteri. Beliau juga tidak menolak perbalahan dalaman parti akan menjadi lebih menarik.

 

Ramai penganalisis politik berpandangan berat sebelah dengan mengatakan sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat atau tahun ini, BN akan menang besar dan PH akan terkubur.

 

Bagaimanapun, analisis ini mengabaikan pembolehubah yang mungkin dibawa oleh inflasi dan kelemahan ekonomi. Inflasi teruk dan ekonomi lemah adalah kesakitan bagi parti pemerintah setiap negara.

 

 

Scott Morrison
                                                                  Scott Morrison

 

 

Antaranya Pilihan Raya Umum Australia pada 21 Mei lepas, menyaksikan pemerintah perikatan Liberal-Nasional pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan 19 kerusi dan Parti Buruh merampas kuasa pemerintahan dengan 77 kerusi.

 

Inflasi tinggi telah menyebabkan rakyat Australia berdepan lonjakan kos sara hidup dan mencetuskan kemarahan sehingga membuang undi tidak percaya terhadap Morrison.

 

Begitu juga dengan pilihan raya Parlimen Perancis baru-baru ini, presidennya Emmanuel Macron hilang majoriti. Rakyat Perancis telah membuat undi protes atas kegagalan kerajaan untuk menangani inflasi semasa.

 

Keadaan inflasi yang tinggi tidak akan reda dalam masa yang singkat dan ekonomi juga mengambil masa untuk pemulihan. Begitu juga dengan ringgit tidak mungkin akan menjadi kukuh dalam sekelip mata.

 

Sekiranya BN tidak dapat menyelesaikan inflasi semasa, ditambah pula dengan kelemahan ekonomi dunia, penangguhan PRU sebenarnya akan mengurangkan peluang kemenangan BN.

 

Melihat dari sudut ekonomi politik pula, adalah tidak sesuai untuk mengadakan PRU lebih awal. Jika diadakan juga dan keputusannya kerajaan pincang yang sama dipilih semula, adakah sinar untuk negara ini pulih?

 

Jika kerusi setiap parti hampir sama dan wujud kerajaan campuran, maka kita harus mengambil iktibar pengajaran politik 2008 sehingga 2022.

 

Malangnya dalam tempoh 14 tahun (2008 -2022), ekonomi negara celaru akibat perebutan kuasa dalam politik dan penularan wabak. Jika selepas ini parti-parti politik masih lagi terus ‘bersabung’, kesakitan negara akan menjadi lebih teruk.

 

Dengan erti kata lain, keadaan negara hari ini sebenarnya sudah terumbang-ambing. Jadi biar sahaja PRU diadakan apabila sudah sampai masanya.

 

Sama ada situasi baru akan muncul dan krisis ekonomi boleh diselesaikan, tiada siapa yang boleh meramalkannya. Cuma apa yang kita harapkan agar politik haru-biru ini tidak mengganggu pemulihan ekonomi. - DagangNews.com

 

 

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Oriental Daily & Nanyang Siang Pao 20-30 Jun 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags