DoctorOnCall tawar perkhidmatan COVID-19 percuma di Sabah | DagangNews Skip to main content

DoctorOnCall tawar perkhidmatan COVID-19 percuma di Sabah

DoctorOnCall

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Platform kesihatan digital terkemuka Malaysia, DoctorOnCall menawarkan perkhidmatan Portal Khidmat Nasihat Virtual COVID-19 secara percuma di negeri Sabah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Maran Virumandi berkata, masyarakat Sabah yang berdepan dengan peningkatan kes COVID-19 dapat mengakses Portal Khidmat Nasihat Kesihatan Virtual itu secara percuma walau di mana mereka berada.

"Kami juga telah memperkenalkan perkhidmatan Konsultasi Telekesihatan dengan pakar dan juga pakej saringan kesihatan dari beberapa hospital swasta seperti Hospital Thomson Kota Damansara, Pusat Kesuburan TMC dan Hospital Columbia Asia.

“Buat pertama kalinya, pesakit boleh berbual melalui telefon atau panggilan video dari mana sahaja di seluruh Malaysia dengan menggunakan peranti mudah alih atau komputer mereka dan bercakap dengan doktor pakar dari hospital swasta. 

"Ini merupakan perkhidmatan tambahan kepada perkhidmatan sedia ada sebelum ini di mana pesakit yang menggunakan platform dapat menghubungi Doktor Perubatan Am (GP) dengan bayaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DoctorOnCall

Portal berkenaan dapat diakses setiap hari iaitu tujuh hari seminggu melalui www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

Melalui portal berkenaan, pesakit boleh mendapatkan bahan bacaan atau artikel sahih  mengenai COVID-19, mengambil ujian penilaian kendiri bagi mengetahui risiko jangkitan dan berhubung dengan doktor melalui mesej peribadi, panggilan telefon atau video.

Portal itu juga membolehkan doktor memahami kebimbangan orang awam mengenai jangkitan COVID-19 serta penyakit-penyakit lain, memberi penjelasan lanjut berkenaan sebarang gejala, dan memberikan nasihat yang sewajarnya.

Tambah beliau, pengenalan perkhidmatan itu juga berpotensi mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan di samping perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan secara percuma ke lokasi pesakit di Sabah.

"Usaha tersebut adalah untuk menangani peningkatan jumlah kes COVID-19 serta kebimbangan berkaitan kesihatan rakyat Malaysia khususnya di negeri berkenaan," ujarnya lagi. - DagangNews.com