e-LATiH percuma untuk rakyat Malaysia bermula 6 Februari 2021 | DagangNews Skip to main content

e-LATiH percuma untuk rakyat Malaysia bermula 6 Februari 2021

 

KUALA LUMPUR 6 Feb – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) telah melancarkan hab e-pembelajaran terbaru yang dikenali sebagai e-LATiH sebagai usaha untuk membantu rakyat Malaysia dalam tempoh sukar memerangi COVID-19 ini. Platform ini akan membolehkan rakyat Malaysia membuat persiapan untuk masa depan dengan mengakses beratus-ratus pengisian berasaskan pembangunan kemahiran dan pendidikan.

 

Inisiatif ini adalah hasil kolaborasi antara HRDF dan Go1, iaitu salah satu agregator e-pembelajaran antarabangsa terbesar. Melalui kerjasama ini, e-LATiH akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi akses PERCUMA kepada lebih daripada 200 kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri Malaysia.

 

Oleh kerana kursus ini disediakan oleh agregator antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, kursus untuk masa ini hanya disediakan dalam Bahasa Inggeris. HRDF bagaimanapun akan menambah lebih banyak kandungan dalam masa beberapa minggu ini dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif ini dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia untuk menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

 

“Rakyat Malaysia harus terus berusaha dalam dunia yang semakin kompetitif, hanya mereka yang betul-betul bersedia dari sekarang akan memperoleh kejayaan di masa akan datang,” tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRDF, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, walaupun keutamaan organisasi adalah kepada majikan yang membayar levi, platform e-LATiH tersebut dihasilkan sebagai usaha PSMB untuk memberi semula kepada rakyat Malaysia.

shahul hamid
                            Shahul Hameed Dawood

 

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab memelihara industri latihan dan pembangunan di Malaysia, adalah menjadi harapan kami untuk menambah nilai kemahiran seluruh rakyat negara ini,” ujarnya.

 

Pekerja dan individu akan berpeluang untuk memilih kursus pilihan mereka dari pelbagai jenis kursus latihan yang merangkumi peningkatan kemahiran juga pembangunan peribadi.

 

Kursus berkenaan dikategorikan kepada;

i. Pembangunan Peribadi

Peningkatan kemahiran pekerja dan individu, sama ada untuk persiapan menghadapi temuduga, mempelajari bahasa baru ataupun meningkatkan pemikiran kritis.

 

ii. Pengurusan Projek

Kemahiran penting yang diperlukan dalam hal ehwal pengurusan projek untuk memulakan, merancang, melaksana dan mengurus inisiatif baharu serta perubahan dalam organisasi.

 

iii. Kepimpinan

Peningkatan kemahiran sebagai pengurus dan pemimpin. Pengurusan diri, pasukan dan organisasi dengan berkesan. Pelajari cara berkomunikasi dengan berkesan, berfikir secara strategik serta memberi inspirasi kepada orang lain.

 

iv. Pendigitan (Digitisation)

Terokai dunia transformasi dan teknologi digital. Peroleh kemahiran untuk mengharungi perubahan digital.

 

v. Pemasaran & Inovasi

Kemahiran yang sangat diperlukan untuk meningkatkan pendapatan perniagaan, mengembangkan produk baharu, serta menghasilkan jenama yang berkesan. Pelajari kemahiran dalam bidang seperti penjualan & perundingan, pemasaran & pengiklanan, atau pengurusan inovasi & penghasilan produk baharu.

 

vi. Pengaturcaraan (Programming)

Dari pengekodan asas hingga kejuruteraan perisian canggih, tingkatkan kemahiran pengaturcaraan komputer, teknologi internet dan sains data.

 

vii. Kelestarian

Mempelajari bagaimana untuk memastikan kelestarian kehidupan dan alam sekitar.

 

viii. Kemahiran Kewangan

Pelajari kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam bidang Kewangan. Tingkatkan kemahiran dalam "bookkeeping", perakaunan, dan analisis kewangan.

 

ix. Bahasa

Pelajari bahasa baharu jika anda merancang perjalanan ke luar negara atau ingin bercakap dengan bangsa asing yang berdekatan dengan rumah anda.

 

x. Perkhidmatan Pelanggan

Pelajari cara cemerlang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan melalui proses dan pemikiran yang berkesan.

 

xi. Industri Spesifik

Dapatkan pengetahuan dalam industri khusus anda, dari Aeroangkasa, Bahan Komposit, Makanan dan Minuman, Hospitaliti, hingga Pembuatan Lean (Lean Manufacturing) dan banyak lagi.

 

xii. Kesihatan dan Keselamatan

Ketahui cara menjaga keselamatan diri dan individu lain di tempat kerja untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan.

 

Selain itu, HRDF akan terus mengemaskini kursus bermanfaat dan juga yang mendapat permintaan bagi memenuhi keperluan majikan dan organisasi. 

 

Semua rakyat Malaysia terutama pencari kerja digalakkan mendaftar dalam tempoh pergerakan terhad ini bagi mempelajari kemahiran baharu untuk mendapatkan peluang yang mungkin menanti mereka dalam masa terdekat.

 

e-LATiH akan tersedia untuk semua rakyat Malaysia bermula 6 Februari 2021 hingga 5 Februari 2022. Untuk mengakses kursus latihan dalam talian secara PERCUMA, layari https://elatih.hrdf.com.my/.   - DagangNews.com