KUALA LUMPUR 26 Okt. - edotco Malaysia hari ini mengumumkan penyerahan 113 infrastruktur telekomunikasi baharu bagi fasa pertama di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Infrastruktur baharu itu akan menyokong keterhubungan membabitkan 7 negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.
Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, edotco komited untuk membantu agenda negara bagi mencapai aspirasi digital dengan menyediakan infrastruktur generasi masa depan bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
"edotco Malaysia memahami keperluan projek ini dan rekod baik kami dalam merintis projek-projek sedemikian, menjadikan kami rakan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang ideal dengan melaksanakan penyelesaian dengan kos efektif bagi menyokong Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
"Oleh itu, kami berbesar hati untuk memainkan peranan dalam projek Jendela dan menawarkan kepakaran kami bagi merealisasikan matlamat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Projek Jendela yang dilaksanakan SKMM menyasarkan untuk membantu operator rangkaian mudah alih memperluaskan dan mempercepatkan ketersediaan liputan mudah alih di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan ini.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan tersebut, edotco Malaysia memulakan pemasangan menara pada Februari 2020 secara serentak di 7 buah negeri. Pemasangan menara ini termasuk peralatan radio dan tambahan lain di semua 113 tapak.
Secara keseluruhan, fasa pertama projek Jendela ini merangkumi 152 tapak termasuk Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu dan Sabah. - DagangNews.com