Bagaimana pasaran saham menyesuaikan diri dengan maklumat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 10 Sep 2022 07:55 AM

Bagaimana Pasaran Saham Menyesuaikan Diri dengan Maklumat

 

 

 

 

Umum mengetahui, sejak 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan, pasaran saham Malaysia berada dalam keadaan suram. Melalui penanda aras, indeks komposit  FTSE Bursa Malaysia KLCI secara purata berada di bawah pada paras 1,800 mata.

 

Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini termasuklah penularan wabak COVID-19, ketidakstabilan politik yang merencatkan pemulihan ekonomi, ketegangan geopolitik, ketegangan perdagangan kuasa besar yang berlarutan, ketidaktentuan harga komoditi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR)  serta kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.


 

Eksponen

 


Walaupun ketidaktentuan seperti ini menggusarkan para pedagang dan pelabur saham, ketidaktentuan ini juga adalah merupakan peluang dan masa terbaik untuk membeli lebih banyak saham yang dinilai bawah harga sebenar dan menyusun strategi untuk mendapat pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

 

Tetapi adakah dengan membeli saham yang dinilai pada harga yang rendah akan menjanjikan keuntungan yang tinggi?

 

Bagaimana jika harga saham di pasaran sentiasa didagangkan pada nilai sebenar?

 

Jika betul, tidak ada pedagang mahupun pelabur mempunyai kelebihan dalam pasaran. Kenapa?

 

Hipotesis Pasaran Cekap

Hipotesis Pasaran Cekap adalah teori kewangan yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi, Eugene Fama yang dikaitkan dengan teori “Pergerakan Rawak”.

 

Hipotesis Pasaran Cekap berpendapat bahawa harga saham yang didagangkan dalam pasaran adalah sentiasa BETUL (dinilaikan pada harga sebenar). Dalam erti kata lain harga saham yang didagangkan mencerminkan semua maklumat yang ada dan diketahui.

 

Menurut teori ini lagi, saham sentiasa didagangkan pada nilai sebenar dan menjadikannya mustahil buat mana-mana pedagang mahupun pelabur untuk membeli saham dengan harga kurang daripada nilai sebenar (undervalued) atau menjual saham pada harga yang tinggi (overvalued).

 

Seperti pelanggan yang dihidangkan dengan tiga mangkuk sup. Mangkuk sup pertama adalah terlalu panas, jadi amatlah sukar untuk pelanggan tersebut menikmati rasa sebenar sup itu.

 

Mangkuk kedua pula terlalu sejuk menyebabkan pelanggan merasa sup itu seperti tiada rasa.

 

Manakala mangkuk sup terakhir berada pada keadaan yang betul, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.

 

Menurut hipotesis pasaran cekap, pasaran saham sentiasa seperti mangkuk sup ketiga di mana harga saham tidak boleh mempunyai nilai yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Sebaliknya, harga saham yang didagangkan adalah sentiasa betul!

 

Justeru, amat mustahil buat pedagang dan pelabur untuk mengatasi pasaran (membuat keuntungan) secara keseluruhan.

 

Meskipun mungkin ada sebilangan pedagang dan pelabur yang bernasib baik sekali atau lebih dalam mengatasi pasaran, hipotesis pasaran cekap menunjukkan bahawa tiada pedagang mahupun pelabur secara konsisten mengatasi purata pulangan pasaran.

 

Oleh yang demikian, cara untuk pedagang dan pelabur mendapatkan pulangan yang lebih tinggi adalah melalui teknik spekulasi yang mempunyai risiko tinggi.

 

Jika teori ini benar, ini bermakna tiada satu analisis pun, baik analisis teknikal mahupun analisis asas yang boleh memberi pedagang dan pelabur kelebihan berbanding pasaran.

 

Memahami Hipotesis Pasaran Cekap

Menurut Hipotesis Pasaran Cekap, harga saham di pasaran akan cepat menyesuaikan diri dengan maklumat dan persepsi orang ramai. Ini bermaksud kewujudan maklumat baru mempengaruhi pergerakan harga saham.

 

Apabila maklumat baru mengenai syarikat tersedia, harga saham akan berubah untuk mencerminkan keadaan baru.

 

Sebagai contoh, harga saham Destini Berhad telah menyusut sebanyak 21% pada 6 September selepas ada ura-ura menyatakan syarikat itu telah diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) dan bakal  dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.

 

Ini menunjukkan bahawa harga saham Destini berubah dengan cepat berikutan kewujudan maklumat baru.


 

Eksponen

 

 

Dalam memahami bagaimana semua maklumat (maklumat lalu, awam dan dalaman) mempengaruhi perubahan harga saham, Hipotesis Pasaran Cekap dipecahkan kepada tiga bentuk iaitu:

 

  1. Kecekapan Pasaran Yang Lemah

Kecekapan Pasaran Yang Lemah berkait dengan teori Pergerakan Rawak, menyatakan bahawa pergerakan harga saham secara keseluruhan adalah secara rawak dan tidak dipengaruhi oleh pergerakan harga saham masa lalu termasuk jumlah dagangan dan turun naik harga saham harian adalah bebas – bermaksud ia menganggap bahawa momentum harga tidak wujud.

 

Di samping itu, pertumbuhan pendapatan yang lalu juga tidak boleh digunakan untuk meramalkan pertumbuhan pendapatan semasa atau masa hadapan.

 

Bentuk pertama teori ini menyangkal analisis teknikal kerana jika pergerakan harga saham adalah rawak, ia menjadikannya mustahil buat mana-mana pedagang dan pelabur untuk mencari corak pergerakan harga dan mengguna pakai mana-mana tools analisis teknikal dalam usaha untuk mendapatkan pulangan yang tinggi. Tetapi masih ada kemungkinan bahawa pulangan tinggi mungkin dapat dilakukan menggunakan analisis asas.

 

  1. Kecekapan Pasaran Yang Sederhana

Kecekapan Pasaran Yang Sederhana pula menolak penggunaan analisis asas dan analisis. Kenapa? Ia berpendapat bahawa kedua-dua analisis tidak dapat memberi sebarang kelebihan buat pedagang dan pelabur merencana pulangan yang tinggi.

 

Bentuk kedua ini menyatakan bahawa harga saham berubah (turun atau naik) dengan cepat dengan kehadiran maklumat baru yang berharga (ketumpatan berita). Ini menyebabkan pedagang dan pelabur tidak dapat memanfaatkan maklumat baru samada untuk membeli ataupun menjual saham.

 

Hanya maklumat dalaman (yang belum diumumkan) berguna untuk mendapatkan kelebihan dalam perdagangan dan ini terhad kepada mereka yang memiliki maklumat tersebut.

 

  1. Kecekapan Pasaran Yang Tinggi

Kecekapan Pasaran Yang Tinggi pula menggabungkan Kecekapan Pasaran Yang Lemah dan Kecekapan Pasaran Yang Sederhana. Bentuk ini menyatakan bahawa harga saham mencerminkan semua maklumat yang ada, ini merangkumi maklumat awam dan dalaman.

 

Memandangkan harga saham mencerminkan semua maklumat, tiada pedagang mahupun pelabur, termasuk orang dalam korporat akan dapat membuat pulangan melebihi pasaran walaupun mengetahui maklumat dalaman yang baru.


 

Eksponen

 


Kontroversi dan Pertikaian Hipotesis Pasaran Cekap

Hipotesis Pasaran Cekap adalah teori yang sangat kontroversi dan sering dipertikaikan baik dari pedagang, pelabur dan juga ahli akademik.

 

Orang yang percaya dan berpegang teguh kepada teori ini berpendapat adalah sia-sia untuk mencari saham yang dinilai rendah melalui analisis asas atau cuba meramalkan trend dalam pasaran melalui analisis teknikal.

 

Sungguhpun banyak kajian yang telah di buat oleh ahli akademik menyokong teori ini, tetapi kritikan dan pertikaian tetap wujud.

 

Jika Hipotesis Pasaran Cekap adalah betul, insiden seperti kejatuhan pasaran saham dan gelembung hartanah pada tahun 2008 tidak akan berlaku. 

 

Dan Warren Buffett tidak akan sentiasa membuat pulangan tinggi secara konsisten – membuat keuntungan melebihi nilai purata dari pasaran melalui strategi pelaburannya. Ini adalah mustahil mengikut definisi Hipotesis Pasaran Cekap!

 

Tiada Teori yang Sempurna

Adakah harga saham akan segera berubah dengan kewujudan maklumat baru? Jika berdasarkan kajian ahli akademik, jawapannya adalah YA!  Tetapi teori kewangan adalah subjektif!

 

Dalam erti kata lain, tidak ada satu pun teori yang sempurna untuk menerangkan perubahan dan pergerakan harga saham.

 

Sebaliknya, teori yang ada cuba menerangkan bagaimana pasaran saham berfungsi serta faktor yang mempengaruhi pergerakan harga saham dan pasaran secara keseluruhan.

 

Jika kita berpegang hanya kepada satu teori, ia akan mempersoalkan teknik serta strategi yang diusahakan oleh pedagang dan pelabur aktif di pasaran.


 

Eksponen

 


Realitinya, setiap hari, pedagang dan pelabur berusaha dalam mencari dan mencipta formula terbaik untuk mengatasi pasaran untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

 

Tetapi bolehkan pedagang dan pelabur mengalahkan pasaran secara konsisten dalam jangka masa panjang?

 

Jawapan kepada soalan ini bukanlah mudah dan jawapannya mungkin berbeza-beza bergantung kepada siapa yang anda tanya. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN