KUALA LUMPUR 26 Nov - BWYS Group Bhd mencatatkan hasil RM181.4 juta, dengan untung bersih RM5.6 juta bagi sembilan bulan pertama FY24 (9MFY24).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk logam itu berkata, tiada angka perbandingan bagi keputusan suku sebelumnya memandangkan ini adalah laporan kewangan interim ketiga yang diumumkan sebagai pematuhan keperluan penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
"Pada suku ketiga FY24 (3QFY24), BWYS mencatatkan hasil RM57.6 juta dengan untung bersih RM1.5 juta.
"Ini mencerminkan margin hasil sebanyak 4.7% dan margin keuntungan bersih sebanyak 2.6%.
"Jika tidak mengambil kira perbelanjaan RM2.3 juta bagi penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO), BWYS mampu mencapai hasil RM5 juta, mewakili margin yang diselaraskan sebanyak 8.6% pada 3QFY24.
"Begitu juga dengan keuntungan bersih sebanyak RM3.7 juta, dengan margin keuntungan bersih pada 6.5%," katanya.
Pengarah Urusan BWYS, Kang Beng Hai berkata, kumpulan memegang kira-kira 11% dalam bahagian pasaran pembuatan bumbung logam di Malaysia.
Katanya, dengan modal baharu yang diperoleh, kumpulan komited untuk memacu inisiatif pertumbuhan strategik kumpulan ke hadapan.
“Pembinaan kilang baharu kami di Pulau Pinang berada pada landasan yang betul, dengan pengeluaran komersial dijadualkan pada suku pertama 2027.
"Selain itu, kami juga telah memulakan pengeluaran dulang kabel peralatan asli (OEM) bagi industri mekanikal dan elektrikal (M&E), bersama panel Poliuretana (PU) dan panel kepingan aluminium untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
"BWYS berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan saluran paip yang teguh bagi projek infrastruktur berskala besar di seluruh Malaysia.
"Projek-projek ini, termasuk Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), naik taraf Lebuhraya Pan-Borneo, Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3),” katanya. - DagangNews.com