KUALA LUMPUR 17 Jan - UEM Lestra Bhd, anak syarikat milik penuh dan sayap industri hijau UEM Group Bhd mengumumkan kejayaan kumpulan mendapatkan pembeli bagi projek loji jana kuasa solar hibrid satu gigawatt (1GW) Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) di bawah program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui atau CRESS.
Kumpulan itu berkata, Lestra Hexa JV Bhd iaitu anak syarikat 51% milik UEM Lestra dan sebuah usaha sama syarikat tersebut dengan HEXA Renewables milik I Squared Capital, telah mendapatkan komitmen daripada antara lain, ESR Group (ESR) yang berpangkalan di Hong Kong serta merupakan kumpulan pengurusan aset terkemuka di Asia Pasifik dan syarikat induk kepada Logos Infrastructure Holdco Pte Ltd, selaku pembeli utama.
Pembeli bakal memperoleh tenaga hijau daripada fasa pertama projek loji jana kuasa solar hibrid 1GW UEM Lestra-NETR yang akan dibangunkan di kawasan seluas 688 hektar di Segamat, Johor.
"Fasa pertama ini yang melibatkan pelaburan hampir RM2.5 billion daripada UEM Lestra, memiliki titik sambungan 500MWac dengan anggaran 750MWp kapasiti solar, disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), yang mampu menjana lebih 1000GWj tenaga hijau setahun.
"Pihak yang terlibat akan berusaha ke arah memuktamad Kontrak Bekalan Elektrik Dua Hala dalam beberapa bulan akan datang dengan sasaran tarikh operasi komersial menjelang akhir 2027," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Majlis pertukara dokumen itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad bersama Ketua Operasi ESR di Malaysia, David Aboud sambal disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Pengerusi UEM Lestra yang juga Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Ia bakal menjadi projek pertama yang dilaksanakan di bawah CRESS, yang dilancarkan pada September 2024 oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan diselia oleh Suruhanjaya Tenaga.
Skim itu bertujuan menyediakan pelanggan korporat dengan pilihan bekalan elektrik hijau yang lebih meluas bagi membantu mereka menjayakan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi akses pihak ketiga bagi elektrik hijau.
Sementara itu, Harman Faiz berkata, pelaksanaan program CRESS oleh kerajaan dan projek loji jana kuasa solar hibrid NETR kami merupakan manifestasi komitmen Malaysia ke arah menyediakan rumusan tenaga mampan.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mampu memenuhi permintaan para pembeli tetapi juga merintis jalan ke arah masa hadapan yang lebih mampan buat Malaysia menerusi tenaga boleh baharu (RE).
“Penglibatan ESR akan meningkatkan lagi daya maju projek utama ini. Kami teruja untuk bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah Kerajaan Negeri Johor, bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, kerana ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi, serta dalam pada masa sama memacu lanskap tenaga boleh baharu Malaysia," katanya. - DagangNews.com