Permintaan domestik kukuh mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia, KDNK diunjur cecah 5.1% pada 2024 - DOSM  | DagangNews Skip to main content

Permintaan domestik kukuh mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia, KDNK diunjur cecah 5.1% pada 2024 - DOSM 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.8% pada suku keempat 2024 dan 5.1% bagi keseluruhan tahun 2024, selaras dengan unjuran rasmi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 4.8% hingga 5.3%, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, permintaan domestik kukuh dan pemulihan sektor luaran memacu pertumbuhan ekonomi negara pada suku tersebut. 

 

"Pelaburan strategik dalam sektor tenaga boleh baharu serta infrastruktur digital, termasuk pusat data, turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara yang telah menarik minat pelabur asing dan memberikan impak positif kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

 

"Selain itu, peningkatan ketibaan pelancong serta kenaikan gaji penjawat awam dijangka merangsang aktiviti peruncitan dan memperkukuh perbelanjaan isi rumah, seterusnya meningkatkan momentum pertumbuhan ekonomi," katanya dalam laporan diterbit oleh DOSM hari ini. 

 

DOSM

 

Mengulas lagi tentang prestasi KDNK pada 4QFY24 , beliau berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 5.5% pada Oktober sebelum menyederhana kepada 4.7% pada November 2024.

 

"Prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian pula menunjukkan pertumbuhan sebanyak 3.3% pada Oktober dan 4.6% pada November.

 

"Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan pada November 2024, dengan eksport berkembang sebanyak 4.1%, manakala import meningkat 1.6%

 

"Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada suku keempat 2024, apabila meningkat kepada 5.3% berbanding 5.2%  pada suku ketiga.

 

"Subsektor seperti perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta maklumat dan komunikasi menjadi pemacu utama sektor ini," katanya.

 

Menurut DOSM, prestasi positif ini turut diterjemahkan kepada pertumbuhan yang mampan bagi semua sektor ekonomi sepanjang tahun 2024.

 

Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 5.3% pada tahun lalu berbanding 5.1% pada 2023.

 

Dalam pada itu, sektor pembuatan menunjukkan peningkatan ketara kepada 4.2% berbanding hanya 0.7% pada 2023, disokong oleh industri berorientasikan domestik dan eksport.

 

DOSM

 

Sektor pembinaan pula mencatat pertumbuhan sebanyak 17.2% berbanding 6.1% pada 2023, manakala sektor pertanian turut menyaksikan pemulihan dengan peningkatan sebanyak 3% pada 2024, berbanding hanya 0.7% pada 2023.

 

Selain itu, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.8%, yang masih menunjukkan trend positif berbanding tahun sebelumnya.

 

DOSM berkata, momentum pertumbuhan ini dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat, disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan yang menyasarkan pemulihan ekonomi secara inklusif dan mampan.

 

Tumpuan terhadap permintaan domestik serta pelaburan strategik terus menjadi pemangkin utama dalam memastikan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com