Memahami gerakan Boycott, Divestment & Sanctions terhadap Israel | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 01 Nov 2023 08:00 AM

Memahami gerakan Boycott, Divestment & Sanctions terhadap Israel

 

 

GERAKAN boikot, penarikan, dan sekatan atau lebih dikenali sebagai Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) terhadap Israel telah muncul semula berikutan kekejaman Israel terhadap Palestin.

 

Ketika konflik ini menjadi semakin tegang, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat bergelut untuk menjadi orang tengah, semakin ramai individu mencari jalan alternatif untuk memaksa Israel menghentikan operasi ketenteraannya terhadap Palestin.

 

BDS hari ini boleh dianggap sebagai simbol solidariti masyarakat seluruh dunia yang berdiri bersama rakyat Palestin yang menghadapi ancaman pencerobohan darat tentera Israel di Gaza. Gerakan BDS ketika ini telah menjadi tumpuan utama bagi mereka yang menyokong perubahan dalam dasar dan tindakan Israel di wilayah Palestin.

 

 

Boycott, Divestment, and Sanctions

 

 

Apakah BDS dan Bagaimana Ia Berfungsi?

Pada asasnya, gerakan BDS adalah strategi protes yang bertujuan untuk menggunakan boikot ekonomi dan budaya, penarikan semula pelaburan, dan sekatan kerajaan untuk memberi tekanan kepada Israel.

 

Objektifnya adalah untuk Israel patuh pada undang-undang antarabangsa dan menghentikan dasar kekejamannya terhadap penduduk Palestin, yang disifatkan oleh beberapa pakar hak asasi manusia dan sarjana undang-undang sebagai apartheid.

 

Pergerakan BDS bukan sebagai sebuah organisasi tetapi ia lebih kepada  strategi menentang tindakan Israel di wilayah Palestin. Pelbagai kumpulan dengan kempen dan sasaran yang berbeza menggunakan strategi BDS. Walaupun fokus kempen mereka mungkin berbeza, tetapi mereka semua berkongsi asas moral yang sama dan menggunakan taktik boikot.

 

BDS mendapat inspirasi daripada kejayaan penggunaan boikot semasa perjuangan anti-apartheid di Afrika Selatan dan gerakan hak sivil AS. Archbishop Desmond Tutu, seorang aktivis anti-apartheid terkemuka dari Afrika Selatan, dengan tegas menyokong gerakan BDS, dan beliau menyamakan apa yang berlaku di Palestin sekian lama sama dengan dasar apartheid di Afrika Selatan.

 

Matlamat utama BDS adalah untuk mencabar sokongan Barat terhadap Israel. Gerakan itu menyokong perubahan naratif untuk mengutamakan hak rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri yang dirampas secara haram oleh Israel.

 

Gesaan antarabangsa pertama untuk memboikot apa sahaja yang berkaitan dengan Israel telah dimulakan pada tahun 2005 oleh gabungan kumpulan masyarakat sivil Palestin. Pada masa itu, lebih daripada empat juta pelarian Palestin telah dipindahkan sejak penubuhan negara Israel, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin. Setahun sebelum itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengiktiraf dan memperakui bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, adalah wilayah Palestin.

 

Sejak menawan Tebing Barat dalam perang 1967, dipercayai, Israel telah mewujudkan lebih dari 130 kawasan penempatan haram di wilayah Palestin. Dengan melakukan perluasan penempatan secara haram oleh Israel, ini bermaksud semakin banyak tanah Palestin dirampas secara tidak sah.

 

 

parafrasa

 

 

Tuntutan BDS

Apa yang menyatukan penyokong BDS yang pelbagai adalah tiga tuntutan teras yang diletakkan ke atas Israel:

  1. Menamatkan pendudukan haram Israel di seluruh wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmuqaddis Timur.
     
  2. Mengembalikan hak penuh kepada rakyat Palestin.
     
  3. Membenarkan pelarian Palestin pulang ke rumah mereka.

 

Pendekatan BDS meliputi tindakan individu, seperti memboikot produk dan syarikat tertentu, dan meluas kepada gesaan global agar dunia mengenakan sekatan ke atas Israel. Boikot BDS bukan sahaja merangkumi produk dan syarikat Israel, seperti SodaStream, tetapi juga gergasi korporat bukan Israel yang dipercayai terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menindas penduduk Palestin.

 

Pelbagai kumpulan BDS di seluruh dunia telah menyenaraikan syarikat dan produk yang berbeza untuk diboikot, tetapi pada skala global, BDS biasanya memberi tumpuan kepada sasaran strategik tertentu.

 

Sebagai contoh, antara kempen boikot BDS dalam usaha menentang kezaliman Israel dengan menyasarkan Hewlett Packard (HP), sebuah syarikat yang berpangkalan di AS bernilai lebih dari AS$25 bilion, yang terkenal dengan barisan mesin pencetaknya.

 

BDS telah menyatakan bahawa HP dengan teknologinya menyokong Israel dalam memantau dan menyekat pergerakan rakyat Palestin melalui sistem ID biometrik. Sebagai tindak balas, HP telah menekankan pengecualiannya dalam pertikaian politik antara negeri atau wilayah dan komitmen ketatnya terhadap dasar hak asasi manusia.

 

 

parafrasa

 

 

Kesan kepada Syarikat dan Institusi

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sejak kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestine di Gaza tidak dapat dikekang. BDS telah kembali mendapat perhatian di platform media sosial seperti platform X, TikTok dan Instagram. Hashtag seperti #BDSMovement telah menjadi alat untuk mengenal pasti jenama yang berkaitan dan mempunyai hubungan dengan Israel.

 

Sebagai contoh, McDonald's menghadapi boikot global secara besar-besaran selepas menawarkan makanan percuma kepada tentera Israel. Selain itu, rangkaian makanan segera global yang dikenalpasti mempunyai hubungan dengan Israel juga menjadi sasaran.

 

Starbucks pula berdepan kritikan apabila menfailkan saman terhadap kesatuan pekerja selepas mereka didakwa menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin di media sosial. Pada masa yang sama, demonstrasi berkaitan BDS sama ada secara global mahupun tempatan telah berlangsung di seluruh dunia.

 

Kejayaan BDS tidak boleh dinafikan kerana sebelum ini, kempen BDS telah berjaya mempengaruhi syarikat berprofil tinggi. Salah satu contoh ialah pengeluar ais krim Ben & Jerry, yang berhenti menjual produknya di wilayah Palestin.

 

Manakala, syarikat telekomunikasi Perancis, Orange menamatkan perkongsian perniagaannya dengan Israel sebagai tindak balas terhadap tekanan BDS. Tambahan pula, SodaStream, di bawah tekanan BDS yang berterusan dan tuduhan menganiaya pekerja Palestin, menutup kilangnya di Tebing Barat pada tahun 2014.

 

 

parafrasa

 

 

Pemuzik, Artis, dan Selebriti, Berdiri Bersama Palestin

Pergerakan BDS juga menggalakkan penyokongnya untuk tidak terlibat dengan institusi kebudayaan Israel dan mengelakkan kerjasama dengan universiti dan ahli akademik Israel yang dituduh mempromosikan naratif tidak berperikemanusiaan mengenai rakyat Palestin dan wilayah yang diduduki. Strategi ini digunakan untuk menghalang pemuzik, artis, dan selebriti daripada melawat Israel.

 

Ramai artis berprofil tinggi telah membatalkan atau menangguhkan persembahan di Israel kerana tekanan BDS. Sebagai contoh, penyanyi Britain Sam Smith membatalkan persembahan di Israel awal tahun ini. Artis lain yang telah mengambil langkah yang sama termasuk Elvis Costello pada tahun 2010, Lauryn Hill pada tahun 2015, dan Lana Del Rey pada tahun 2018.

 

Pada tahun 2021, Rage Against The Machine, bersama-sama dengan pemuzik terkenal seperti Serj Tankian, Roger Waters, Run The Jewels, dan Patti Smith, menandatangani surat terbuka sebagai sebahagian daripada inisiatif Musicians for Palestin.

 

Dalam surat terbuka itu, mereka menyeru rakan-rakan artis untuk memboikot persembahan di Israel sehingga Palestin bebas. Penyanyi terkenal yang menyokong gerakan ini termasuk Julian Casablancas dari The Strokes, Black Thought dan Questlove of The Roots, Godspeed You!, Black Emperor, Thurston Moore, Bun B, Royce Da 5'9", Cypress Hill, Talib Kweli, dan banyak lagi.

 

Surat terbuka itu turut menekankan betapa pentingnya untuk menuntut keadilan, maruah, dan hak penentuan nasib sendiri untuk rakyat Palestin dan semua pihak yang menentang penjajahan dan penindasan ganas di seluruh dunia. Ia juga turut menyeru rakan-rakan artis untuk menolak persembahan di institusi kebudayaan Israel yang terlibat dan berdiri teguh dalam menyokong hak asasi manusia rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kedaulatan dan kebebasan.

 

Pada tahun yang sama, Rage Against The Machine telah mengeluarkan kenyataan;

"Keganasan dan kekejaman yang kita saksikan di Sheikh Jarrah, Al-Aqsa, dan Gaza adalah kesinambungan daripada apartheid kejam Israel dan perluasan pendudukan secara  haram  Israel di Palestin. Kami berdiri bersama rakyat Palestin kerana mereka menentang keganasan penjajah ini dalam semua bentuk."

 

 

Rage Against The Machine

 

 

Perjuangan Global untuk Keadilan dan Hak Asasi Manusia

Gerakan BDS terhadap Israel telah muncul sebagai simbol perjuangan global untuk keadilan dan hak asasi manusia dalam salah satu konflik yang paling kukuh dan kompleks di dunia. Sama ada seseorang menyokong atau menentang BDS, tidak dapat dinafikan bahawa pergerakan itu mempunyai kesan yang signifikan di pentas global.

 

BDS mengingatkan kita bahawa walaupun ada di antara kita tidak dapat mengangkat senjata untuk berjuang. Tetapi penglibatan secara aktif dengan memboikot apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Israel, sedikit sebanyak mampu menyumbang kepada perubahan serta menawarkan harapan untuk masa hadapan yang lebih cerah di rantau yang telah lama dilanda konflik ini.

 

Akhiri kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin! Keadilan perlu ditegakkan! Dari sungai hingga ke laut Palestin akan BEBAS!  - DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews