Oh OPR! Januari dan Mac bakal menjadi penentu! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 04 Jan 2023 07:00 AM

Oh OPR! Januari dan Mac bakal menjadi penentu!

 

 

 

HAMPIR semua penganalisis ekonomi dari bank serta institusi kewangan terkemuka meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 2 kali iaitu 25 mata asas pada bulan Januari dan 25 lagi pada bulan Mac.

 

Ini menyaksikan bahawa kadar OPR bakal melepasi kadar sebelum pandemik COVID-19 membadai Malaysia.

 

Orang ramai mula gusar apabila membaca berita berkenaan kenaikan OPR yang bakal berlaku kerana kenaikan OPR akan menambah keperitan hidup yang sedia ada.

 

Tetapi suka atau tidak, dalam usaha untuk memerangi inflasi, kenaikan ini tidak dapat dielakkan!

 

Kadar Inflasi Terkini Negara

Berdasarkan laporan dan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, kadar inflasi di Malaysia kekal tinggi iaitu 4.0 peratus pada bulan November 2022 sama seperti bulan sebelumnya iaitu Oktober 2022.

 

Indeks Harga Pengguna pula berada pada 129.0 berbanding 124.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.


 

Eksponen

 


Dengan kedudukan inflasi yang kekal tinggi (masih melepasi purata inflasi negara iaitu 2.0 peratus bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022), ia telah memberi tamparan kepada semua kerana inflasi telah mengurangkan nilai sebenar pendapatan diperoleh, lantas menyebabkan kuasa membeli semakin merosot.

 

Dalam erti kata lain apabila harga barangan keperluan semakin meningkat, adalah mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian barangan dan perkhidmatan yang sama seperti sebelumnya.

 

Situasi inflasi semasa bukanlah mengenai semua barangan dalam ekonomi yang semakin mahal pada kadar yang sama.

 

Ia hanya melibatkan sesetengah barangan serta perkhidmatan tertentu seperti makanan dan minuman (tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan), pengangkutan serta restoran dan hotel yang telah menyaksikan peningkatan harga yang tinggi dan menyebabkan kadar inflasi umum tetap tinggi.

 

Memahami Kesan Dasar Monetari Ketat

Tidak dinafikan inflasi menyebabkan kesakitan sebenar dikalangan rakyat Malaysia tetapi dengan langkah pengetatan dasar monetari – menaikkan kadar faedah, ia akan menjadikannya lebih teruk.

 

Sebagai rakyat yang terkesan kita perlu memahami kesan dan akibat jika langkah ini diambil atau tidak diambil oleh BNM.

 

Bergantung kepada betapa agresifnya BNM pada tahun ini dalam pengetatan dasar monetari, jika BNM berkeputusan tidak menaikkan OPR, risikonya sudah pasti dan jelas bahawa inflasi serta harga barangan dan perkhidmatan akan terus meningkat.


 

Eksponen

 


Apabila harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, ini akan menyebabkan orang ramai secara terpaksa menyesuaikan kehidupan mereka dengan sewajarnya.

 

Kesannya, pekerja akan mula meminta supaya gaji dinaikkan lebih tinggi untuk menampung perbelanjaan yang semakin meningkat, syarikat pula terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan (akibat kenaikan kos buruh) untuk membayar gaji tersebut dan seterusnya keadaan bakal menjadi lebih parah dan tidak terkawal.

 

Memerangi Inflasi Melalui OPR

Satu-satunya cara untuk memerangi inflasi adalah dengan pengetatan dasar monetari, iaitu menaikkan OPR pada bulan Januari dan Mac ini.

 

Apa yang dilakukan oleh BNM adalah cuba menghentikan perkara (kesan jika tidak mengetatkan dasar monetari) itu daripada berlaku dan berusaha mengawal kadar inflasi yang tinggi daripada menjadi kukuh.

 

Atau dalam erti kata lain yang mudah, sebenarnya BNM buat masa ini, mencuba mengawal orang ramai (terutamanya pengguna) untuk berhenti seketika dari membeli begitu banyak barangan dan mendapatkan perkhidmatan dalam usaha memastikan inflasi berada pada tahap terkawal.


 

irsyad

 


Tetapi apabila OPR naik, secara langsung, ia mempunyai kesan terutamanya ke atas kadar faedah jangka panjang - kenaikan kos pinjaman, turun naik nilai Ringgit, pasaran saham, bon terbitan korporat dan lain-lain.

 

Kesan kenaikan OPR (kadar faedah) tidak terhenti di situ, tetapi ia juga mengundang risiko kemelesetan ekonomi yang bakal menyebabkan kadar pengangguran mula meningkat akibat syarikat mahupun perusahaan mula membuang pekerja.

 

Walaupun risiko ini amat sukar untuk ditanggung, dasar pengetatan monetari ini perlu juga dilakukan bagi meletakkan ekonomi kembali ke landasan yang mampan.

 

Apabila ia berjaya, kemudian pada masa hadapan, orang ramai akan mempunyai persekitaran yang lebih stabil dan lebih baik untuk ekonomi secara keseluruhan.

 

Sebaliknya, dalam memerangi inflasi melalui pengetatan dasar monetari gagal, sudah pasti ia perlu dibayar dengan harga yang lebih tinggi. Dalam erti kata lain, ia bakal membawa kesakitan yang jauh lebih besar! - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat