Ramalan Kemerosotan Pasaran Saham Menggunakan Hindenburg Omen | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 14 Dec 2022 07:00 AM

Ramalan Kemerosotan Pasaran Saham Menggunakan Hindenburg Omen

 

 

 

PASARAN saham dijangkakan akan terus berada dalam keadaan tidak menentu pada tahun 2023. Ini kerana, berkemungkinan besar seluruh dunia dijangka berdepan dengan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan yang bakal menyaksikan pasaran saham mungkin mengalami kemerosotan secara berterusan.

 

Apabila penganalisis pasaran saham memberi amaran tentang kemerosotan pasaran saham yang bakal berlaku, ini biasanya bersandarkan penilaian dengan menggunakan pelbagai cara terutamanya melalui penggunaan penunjuk samada penunjuk ekonomi atau penunjuk teknikal.

 

Salah satu penunjuk yang boleh digunakan untuk meramalkan kemerosotan pasaran saham adalah Hindenburg Omen.

 

Hindenburg Omen

Hindenburg Omen adalah salah satu penunjuk analisis teknikal yang boleh digunakan untuk meramalkan kebarangkalian peningkatan kemerosotan teruk pasaran saham.

 

Mendapat nama dari tragedi kapal terbang Hindenburg yang terhempas di Jerman pada tahun 1937, penunjuk teknikal ini telah diilhamkan oleh James R. Miekka tetapi dinamakan sebagai Hindenburg Omen oleh Kennedy Gammage.


 

Hindenburg

 


Walaupun penunjuk ini mungkin mempunyai nama yang pelik dan menakutkan, ia tetap dianggap sebagai salah satu penunjuk yang bagus dan berguna dalam meramalkan kemerosotan pasaran saham.

 

Pada mulanya, penunjuk teknikal Hindenburg Omen hanya digunakan untuk New York Stock Exchange. Tetapi kini, ia juga boleh digunakan untuk indeks pasaran saham lain di seluruh dunia.

 

Kejatuhan Pasaran Mengikut Hindenburg Omen

Hindenburg Omen mengenal pasti sisihan statistik dalam keadaan pasaran saham yang normal, dengan andaian bahawa saham telah mencatat paras harga terendah atau paras harga tertinggi untuk tempoh 52 minggu. Ia akan dianggap tidak normal jika kedua-duanya (paras harga terendah atau paras harga tertinggi) berlaku secara serentak pada masa yang sama.

 

Apabila isyarat Hindenburg Omen muncul, keadaan yang membimbangkan bakal tercetus dan ia dianggap tidak sihat (bahaya) buat pasaran saham. Ini disebabkan oleh penunjuk teknikal Hindenburg Omen telah memberi amaran bahawa pembalikan pergerakan harga bakal berlaku dalam tempoh terdekat dan pasaran saham dijangkakan akan mengalami kemerosotan walaupun pasaran saham masih dalam pergerakan menaik.

 

Oleh itu, para pedagang dan pelabur dinasihatkan untuk keluar segera dari pasaran saham (menutup kedudukan sedia ada) dengan menjual saham mereka untuk mengelakkan dari kerugian yang besar.

 

Manakala, pedagang dan pelabur yang baru merancang untuk membuat beberapa pembelian semasa isyarat Hindenburg Omen muncul, mereka dinasihatkan untuk tidak melakukannya bagi mengelakkan kerugian. Ini juga untuk membolehkan mereka mengekalkan modal yang ada dan melakukan pembelian pada masa yang lebih sesuai.


 

eksponen

 


Kriteria Isyarat Hindenburg Omen

Terdapat empat kriteria yang perlu dipenuhi untuk isyarat Hindenburg Omen dan kriteria tersebut adalah seperti berikut:

  1. Bilangan harian paras harga terendah dan tertinggi dalam indeks pasaran adalah lebih besar daripada nilai ambang (bergantung kepada bilangan saham yang disenaraikan dalam indeks).
  2. Paras harga tertinggi bagi tempoh 52 minggu tidak boleh melebihi dua kali ganda paras harga terendah bagi tempoh yang sama.
  3. Pasaran saham berada dalam pergerakan menaik dan pergerakan menaik ini boleh dikenal pasti menggunakan penunjuk teknikal iaitu purata pergerakan harga bagi tempoh 10 minggu atau dengan menggunakan penunjuk teknikal, kadar perubahan harga dalam tempoh 50 hari.
  4. Penunjuk teknikal McClellan Oscillator adalah negatif dan menunjukkan peralihan sentimen pasaran.

 

Sebaik sahaja keempat kriteria ini dipenuhi, maka Hindenburg Omen menjadi aktif, ini bermaksud pasaran saham akan mengalami penurunan berterusan selama sebulan. Dalam tempoh tersebut, sebarang isyarat tambahan dari penunjuk teknikal lain boleh diabaikan.

Hindenburg Omen dianggap tepat dan sah jika penunjuk teknikal McClellan Oscillator adalah negatif dan jika penunjuk teknikal McClellan Oscillator adalah positif, ia dianggap memberi isyarat palsu dan kebarangkalian untuk kemerosotan pasaran saham tidak berlaku adalah tinggi.

 

Kebiasaannya, dengan menggunakan penunjuk teknikal Hindeburg Omen, pedagang dan pelabur akan mula menjual saham mereka atau menukar strategi sebaik sahaja pengesahan dilakukan melalui penunjuk teknikal McClellan Oscillator.

 

Pengalaman Adalah Segalanya

Walaupun Hindenburg Omen telah menunjukkan ketepatan sebanyak 25% dalam meramal kemerosotan pasaran saham, kesahihannya masih dipersoalkan dan banyak mendapat kritikan seperti cenderung memberikan isyarat palsu dan mengabaikan kesan luaran pasaran saham.

 

Dalam membuktikan sama ada penunjuk teknikal Hindenburg Omen berguna dan mampu meramalkan kemerosotan pasaran saham atau tidak, sebenarnya, ia bergantung kepada penganalisis pasaran saham itu sendiri, ini merujuk kepada kebolehan mentafsir isyarat dengan tepat dari penunjuk teknikal seperti Hindenburg Omen.


 

eksponen

 


Ini kerana setiap orang (merujuk kepada penganalisis pasaran saham) berbeza dan berfikir secara berbeza. Tiada jaminan yang Hindenburg Omen boleh meramalkan kemerosotan pasaran saham dengan tepat. Tetapi melalui kombinasi pelbagai bentuk analisis dan penunjuk yang lain seperti terdapat dalam analisis teknikal dan analisis asas serta struktur pasaran, sentimen pasaran dan lain-lain, ia mungkin dapat meramalkan kemerosotan pasaran saham dengan kebarangkalian yang lebih tinggi.

 

Pendek kata, seorang pelayar yang berpengalaman tidak mampu menghasilkan angin untuk mengerakkan kapal layar, tetapi sebagai seorang pelayar yang berpengalaman, sudah tentu dengan senang mereka dapat mengenali isyarat (pergerakan angin) dengan lebih baik jika dibandingkan dengan seseorang yang berlayar hanya sekali dalam tempoh setahun.

 

Kepastian tidak wujud di pasaran saham. Jadi apa yang paling terbaik yang boleh disasarkan ialah keyakinan! - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat