Retorik politik berterusan memainkan melodi melankoli rasuah
DALAM dunia politik, janji manis mengalir seperti lagu cinta. Lagu cinta ini ibarat melodi yang indah, merdu berserta dengan bait lirik yang puitis.
Ia sama seperti semasa kempen pilihan raya, ahli politik dengan penuh lantang dan bersemangat berjanji untuk melawan skandal, isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyalahgunaan dana awam.
Tetapi, apabila mereka berjaya berkuasa, adakah janji-janji itu hanya kekal menjadi lirik semata-mata ibarat janji kosong, sekadar retorik politik.
Janji Retorik: Permainan Menghangatkan Hati
Semuanya sekarang ibarat sebuah retorik politik. Meskipun pelbagai janji manis diberikan baik semasa kempen mahupun sudah membentuk kerajaan, ia hanya sebuah permainan yang menghangatkan hati.
Jika diingat kembali, dalam mana-mana pilihan raya, di pentas kempen, ahli politik ini umpama penyanyi kugiran dalam konsert besar. Dengan dipenuhi semangat, mereka dengan merdu sekali berjanji untuk membersihkan negara daripada rasuah.
Bersama dengan muzik latar belakang keadilan, mereka secara lantang bercakap tentang tatakelola, ketelusan, integriti, dan dengan penuh berdedikasi berjanji untuk membawa kebahagiaan kembali kepada rakyat dengan menghapuskan isu rasuah yang sudah lama membelenggu negara.
Janji-janji ini terdengar indah di telinga pengundi yang sudah pasti bosan dengan skandal, isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyalahgunaan dana awam. Semua seperti terpukau, percaya pada pemimpin yang dipilih ini benar-benar akan mengutamakan kepentingan rakyat dan membuat pembaharuan.
Tetapi, disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari! Semuanya seolah-olah retorik, hanya janji manis ketika berkempen. Realiti pahit muncul selepas mereka berkuasa umpama melodi lagu yang memudar.
Calon yang berjaya nampaknya lupa apa yang mereka nyanyikan dalam janji mereka. Skandal, isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyalahgunaan dana awam yang pernah menjadi topik hangat semasa kempen, sering menjadi senyap. Hanya bercakap ibarat tin kosong, tiada tindakan dan akhirnya mengundang kemarahan rakyat.
Keadilan Selektif, Nada Melankolik Seiring Retorik Politik
Satu aspek kritikal yang sering berlaku adalah fenomena keadilan selektif.
Dalam isu ini, kita menyaksikan bagaimana sistem dan penguatkuasaan undang-undang sering memainkan ketidakadilan yang pelik.
Umpama barisan lagu yang bakal dimainkan dalam konsert, ia merangkumi tiga nota persembahan berbeza seperti berikut:
Nota Pertama: Siasatan dan Pendakwaan Selektif Bermotifkan Politik
Terdapat petunjuk yang jelas bahawa siasatan dan pendakwaan rasuah cenderung berat sebelah apabila berurusan dengan individu atau gabungan parti politik terutamanya musuh politik yang mungkin menjadi atau boleh menganggu gugat kuasa mereka .
Ini bermaksud, pihak berkuasa dengan cepat boleh melakukan siasatan dan pendakwaan terhadap musuh politik dengan tujuan untuk melemahkan mereka. Walau bagaimanapun perkara ini menjadi sebaliknya, mereka senyap apabila ia datang kepada sekutu atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka.
Nota Kedua: Pelaksanaan Diskriminasi Undang-Undang
Dalam beberapa kes, undang-undang yang sedia ada di manipulasi untuk menghalang atau menindas gabungan, parti politik atau individu tertentu. Sementara itu, mereka yang mempunyai pengaruh politik mungkin melarikan diri dari cengkaman undang-undang.
Ini mewujudkan persepsi yang salah bahawa undang-undang digunakan untuk tujuan politik dan bukannya menegakkan keadilan. Ini adalah satu lagi episod duka dalam skandal, isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyalahgunaan dana awam yang dilihat semakin hari semakin merosakkan.
Nota Ketiga: Pengaruh Politik Dalam Proses Perundangan
Ahli politik yang berkuasa sering menggunakan pengaruh yang signifikan dalam proses perundangan dan penguatkuasaan undang-undang.
Mereka boleh mempengaruhi pemilihan hakim dan anggota badan pendakwaan, yang jelas mempengaruhi bagaimana kes rasuah disiapkan dan dimainkan.
Mencemari Badan Kehakiman
Lagu melankolik lain dalam orkestra rasuah ini adalah pengaruh yang mencemarkan kehakiman. Nota kecurigaan mula retak apabila ahli politik terlibat dalam usaha untuk memanipulasi atau mempengaruhi sistem undang-undang untuk kepentingan mereka sendiri.
Di sinilah rakyat mula meragui keikhlasan pemimpin mereka dalam menangani rasuah.
Bagaimana kita boleh mempercayai pemimpin yang mengamalkan keadilan selektif dan memainkan nota ini untuk kepentingan mereka sendiri?
Sampai Bila?
Dan ketika kita terus-menerus mendengar melodi melankolis rasuah ini, mungkin ada diantara kita akan terus tertanya-tanya, sampai bila skandal, isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyalahgunaan dana awam akan terus bermain dalam politik?
Adakah ia hanya sekadar retorik politik? Hanya pandai bermain dengan kata-kata yang indah serta memberi harapan yang tidak akan pernah ditepati.
Di sini kita terperangkap, berada dalam penantian yang panjang untuk melihat perubahan.
Tapi, sehingga bila? Sehingga bila kita harus terperangkap dalam melodi melankolis rasuah ini? Ia ibarat kita terperangkap dalam kisah tragis yang tak berkesudahan, di mana janji-janji politik hanya menjadi penghibur sejenak, lalu hilang dalam kerumitan politik yang kotor.
Memerangi Rasuah: Tanggungjawab Bersama
Tidak dinafikan, memerangi rasuah bukanlah tugas mudah yang boleh dilaksanakan oleh satu individu sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Pertama sekali, penting bagi institusi penguatkuasaan undang-undang untuk beroperasi secara bebas dan tanpa campur tangan politik. Mereka perlu bebas melakukan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang tanpa rasa takut atau tekanan dari mana-mana pihak.
Kedua, media dan orang awam perlu memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah. Mereka perlu menjadi mata dan telinga yang peka terhadap amalan rasuah, dan melaporkan kesalahan tersebut tanpa takut atau dipengaruhi.
Selain itu, penting juga untuk kerajaan memperkenalkan satu mekanisme ketelusan yang kukuh dalam pengurusan dana awam. Ini termasuk penyediaan akaun awam yang terbuka serta audit bebas bagi projek-projek besar yang melibatkan dana awam.
Tidak terhad dengan itu, pendidikan tentang integriti dan bahaya rasuah perlu dimasukkan dalam kurikulum baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat penggajian tinggi khusus buat generasi muda.
Mereka adalah harapan baharu pada masa hadapan, mereka perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kesedaran untuk melawan amalan tidak beretika ini.
Mengakhiri Melodi Gelap
Sementara melodi melankolis rasuah berterusan, sebagai rakyat yang mahu negara ini bebas sepenuhnya dari isu ini, kita tidak sewenang-wenangnya menyerah kalah dengan cepat. Kita mesti terus mendesak pemimpin kita untuk memenuhi janji-janji mereka dalam memerangi rasuah.
Kita harus menuntut akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam. Kita juga perlu memastikan bahawa sistem perundangan bebas dan tidak tercemar oleh pengaruh politik.
Perjuangan menentang rasuah sebenarnya bukan sekadar konsert mahupun orkestra yang dimainkan di atas pentas kempen politik; ia adalah irama yang harus membawa kepada perubahan sebenar dalam negara kita.
Mungkin satu hari nanti, melodi melankolis rasuah ini akan berakhir, dan kita akhirnya akan menyaksikan terbitnya mentari keadilan yang sejati.
Tetapi untuk sekarang, teruslah menari dalam gelap...
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN