Tak salah tamak tetapi kena ada ilmu kalau tidak, jadilah mangsa scammer! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 17 Apr 2024 08:00 AM

Tak salah tamak tetapi kena ada ilmu kalau tidak, jadilah mangsa scammer!

 

 

 

PENIPUAN kewangan saban tahun terus berlaku di Malaysia. Setiap tahun pasti akan ada skim penipuan pelaburan yang melibatkan kerugian berjuta ringgit walaupun banyak usaha pencegahan telah dilakukan.

 

Sama ada masih jahil atau didorong oleh perasaan tamak, masih banyak yang terperangkap dalam jerat ini. Cukup-cukuplah ditipu wahai rakyat Malaysia.

 

Tiada jalan pintas untuk menjadi kaya seperti ungkapan yang selalu kita dengar dalam konteks pelaburan iaitu: “There’s no free lunch in the world”.

 

 

EKSPONEN

 

 

Setiap Pelaburan Mempunyai Risiko

Apa yang dimaksudkan oleh ungkapan tersebut? “There’s no free lunch in the world” bermaksud bahawa tiada pelaburan tanpa risiko.

 

Setiap peluang pelaburan membawa beberapa tahap risiko yang berbeza-beza, dan kita sebagai pelabur perlu menilai serta memahami risiko yang terlibat sebelum membuat keputusan pelaburan. Ia juga berfungsi sebagai peringatan bahawa pulangan tinggi sering datang dengan risiko yang tinggi!

 

Tapi ungkapan ini macam biasa kita dengar? Ya, betul, kerana ungkapan ini telah diguna pakai dalam beberapa filem yang berkaitan dunia kewangan dan yang paling ketara adalah filem “The Wolf of Wall Street” pada tahun 2013, arahan Martin Scorsese dan dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.

 

Dalam filem itu, watak Jordan Belfort, yang dilakonkan oleh DiCaprio, menggunakan ungkapan tersebut untuk menekankan idea bahawa kejayaan dalam pasaran saham memerlukan kerja keras, kemahiran, dan kadang kala membuat keputusan yang berisiko dalam usaha untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi.

 

Filem lain yang turut mengguna pakai ungkapan yang sama adalah “Wall Street” yang ditayangkan pada tahun 1987, arahan Oliver Stone dan dibintangi oleh Michael Douglas sebagai Gordon Gekko, yang terkenal dengan kata-katanya, Greed, for lack of a better word, is good. Greed is right. Greed works. Greed clarifies, cuts through, and captures the essence of the evolutionary spirit. Greed, in all of its forms, greed for life, for money, for love, knowledge, has marked the upward surge of mankind.”

 

 

wainuiomata

 

 

Sentimen ini mencerminkan idea bahawa kejayaan dalam dunia kewangan sering datang dengan risiko, dan bahawa tiada jalan pintas untuk menjadi kaya!

 

Selain itu, ungkapan asal “There’s no free lunch in the world” sering dikaitkan dengan ahli ekonomi Milton Friedman, meskipun asal usulnya tidak dapat dipastikan dengan tepat.

 

Ungkapan ini tetap membawa maksud yang sama memberi peringatan yang sama kepada pelabur bahawa tidak ada pelaburan yang bebas risiko.

 

Perlu Celik Kewangan dan Berhenti Menjadi Jahil

Kehilangan wang akibat penipuan kewangan bukan hanya menjejaskan mangsa dari segi kewangan, tetapi juga secara emosi dan psikologi. Kebanyakkan mangsa adalah individu biasa yang telah terperangkap dengan janji bulan bintang dan jaminan pulangan yang tinggi dalam pelaburan.

 

Oleh itu, peningkatan literasi kewangan di kalangan masyarakat amatlah penting untuk memberikan mereka keupayaan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

 

 

iktisad

 

 

Kempen sedia ada perlu diteruskan secara agresif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang taktik penipuan yang sering digunakan oleh penjenayah yang licik ini.

 

Penjenayah yang licik ini umpama musang berbulu ayam.  Walaupun mengunakan nama lain untuk setiap skim penipuan kewangan tetapi modus operandi adalah tetap sama. Modal rendah dan jaminan keuntungan tinggi yang berlipat kali ganda adalah tidak masuk akal sama sekali!

 

Selain itu, pendidikan awam tentang penipuan kewangan perlu ditingkatkan, termasuk mengenal pasti skim penipuan yang lazim, memahami mekanisme pelbagai skim pelaburan, dan memberi nasihat tentang cara mengelakkan penipuan.

 

Tidak terhad dengan itu, sokongan dan bimbingan kepada mangsa penipuan juga penting bagi membantu mereka pulih dari kesan emosi dan psikologi yang dialami.

 

Dengan pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan, kesedaran, dan sokongan, kita dapat membantu melindungi masyarakat dari ancaman penipuan kewangan yang berterusan.

 

Sampai Bila?

Penipuan kewangan merupakan ancaman serius yang memerlukan perhatian segera dari semua pihak. Dengan meningkatkan kesedaran masyarakat, kerjasama yang kukuh antara pihak berkuasa, institusi kewangan, dan masyarakat awam, serta memerlukan penguatkuasaan undang-undang yang tegas bagi mengekang fenomena skim penipuan ini berterusan dan terus berleluasa.

 

Namun, sebagai individu, kita perlu sedar yang kita sendiri sebenarnya memainkan dan mempunyai peranan penting dalam melindungi diri sendiri daripada terjerat dalam skim penipuan kewangan terutamanya yang melibatkan pelaburan.

 

 

EKSPONEN

 

 

Oleh itu, sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam membuat keputusan kewangan.

 

Sampai bila kita akan terus menjadi jahil dan tamak? Ingat!

 

“There’s no free lunch in the world”.  - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews