Tawaran Faustian dalam Politik: Mencari Kuasa, Mengejar Kehancuran
DALAM dunia politik, kuasa adalah segalanya. Walaupun bersifat sementara, tidak dapat dinafikan, kuasa sememangnya memainkan peranan penting dalam dunia politik kerana ia boleh menggoda pemimpin yang mempunyai sifat paling mulia ke arah kegelapan abadi.
Menyentuh mengenai kuasa dan potensinya, bagaimana kuasa boleh mengheret manusia ke arah kegelapan sehingga sanggup membuat perjanjian dengan syaitan, ini boleh dikaitkan dengan “Tawaran Faustian”.
Tawaran Faustian adalah kisah berdasarkan kehidupan Johann Georg Faust, seorang ahli kimia dan ahli nujum yang hidup pada abad ke-16.
Kisah legenda Faust ini sebenarnya tidak asing lagi dalam kalangan yang pernah mendengarnya kerana ia mempunyai banyak versi yang telah menembusi setiap ruang budaya. Ia juga telah diadaptasi serta menjadi subjek untuk berpuluh-puluh filem, teater muzikal dan menjadi inspirasi jalan cerita untuk permainan video, novel grafik, komik dan juga mangsa.
Antara karya yang paling berpengaruh dan terkenal serta menjadi rujukan ramai tentang legenda Faust ialah drama The Tragical History of the Life and Death of Doctor Faustus karya Christopher Marlowe dan karya kesusasteraan dramatik dua bahagian yang ditulis oleh Johann Wolfgang von Goethe.
Dalam kedua karya ini, walaupun versi Marlowe dan Goethe agak berbeza, ia menampilkan jalan cerita seorang yang bernama Faust, yang tidak berpuas hati dengan kehidupannya disebabkan oleh kekangan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang dimilikinya.
Dalam keadaan terdesak, dipengaruhi keinginan untuk berkuasa dan mencapai kesenangan dengan cara mudah dan cepat, Faust telah membuat perjanjian dengan syaitan bernama Mephistopheles.
Menjual Jiwa kepada Syaitan
Dalam tawar-menawar itu, Faust telah bersetuju untuk menyerahkan jiwanya kepada Mephistopheles selepas tempoh yang telah ditetapkan – 24 tahun – sebagai pertukaran untuk kuasa dan pelbagai keseronokan kehidupan duniawi.
Syaitan Mephistopheles juga bersetuju untuk mengurniakan Faust pengetahuan yang tidak terhad, keabadian, kuasa dan kesenangan tetapi jiwa Faust selepas tempoh yang dipersetujui adalah miliknya.
Faust tertarik dan menerima perjanjian tersebut dengan mempercayai bahawa dia dapat menikmati segala kuasa serta kesenangan hidup tanpa sebarang implikasi.
Namun, ketika perjanjian itu berlangsung, jangkaan Faust meleset, dia menyedari bahawa harga yang harus dibayarnya jauh lebih besar daripada sangkaannya.
Dia terjerat dalam lingkaran keinginan yang tidak dapat dipuaskan, di mana setiap kesenangan yang dia peroleh menghilang begitu cepat dan menyebabkan dia menjadi semakin tamak.
Akhirnya, sebelum sempat dia mengecapi segalanya, syaitan Mephistopheles datang dan menuntut jiwa Faust. Dia mati dalam keadaan menyesal akibat ketamakan kuasa dan keinginan dirinya sendiri.
Dalam konteks kontemporari, Tawaran Faustian ini telah menjadi metafora untuk sebarang perjanjian atau pakatan di mana individu mengorbankan prinsip, etika dan moral semata-mata untuk mendapatkan keuntungan atau faedah segera tanpa mempertimbangkan kesan yang tidak dijangka dan implikasi yang tidak diingini.
Tidak kisahlah dalam versi mana pun kisah ini diadaptasi, kisahnya tetap sama. Mungkin syarat tawar-menawar adalah berbeza-beza: kuasa, keabadian, kekayaan atau apa sahaja kesenangan lain – tetapi, kosnya adalah sentiasa sama, yang membuat perjanjian akan menyerahkan sepenuh jiwanya kepada syaitan dan ia tidak akan mempunyai pengakhiran yang baik.
Krisis Moral, Keserakahan Kuasa: Ahli Politik Berpotensi Menjadi Korup
Persamaan antara Tawaran Faustian dan dunia politik adalah terlihat jelas. Dalam dunia politik, seseorang ahli politik yang terpengaruh dengan godaan kuasa, akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka dapat apa yang mereka ingini seperti cuba mendapatkan jawatan kepimpinan tertinggi sehingga sanggup menggadai prinsip dan ideologi mereka sendiri.
Kedengaran biasa bukan? Ya! Jika diamati dan diteliti, ia sama seperti Tawaran Faustian. Tetapi, ia tidaklah terlalu ekstrem seperti kisah Faust yang menjual jiwa kepada syaitan. Menjual jiwa kepada syaitan itu hanyalah satu metafora!
Sebenarnya ia lebih berkait dengan krisis moral dan godaan kuasa, sama seperti apa yang berlaku sekarang, memberi sesuatu dengan mendapat sesuatu yang dinginkan sebagai balasan.
Seperti yang ditulis oleh Emma Goldman, seorang anarkis:
"Ahli politik menjanjikan anda syurga sebelum pilihan raya dan memberikan anda neraka selepas itu".
Dalam sistem demokrasi, pemimpin politik dipilih oleh rakyat. Sebelum dipilih melalui proses pilihan raya, kebanyakan mereka menampilkan diri mereka sebagai juara untuk kepentingan rakyat. Sering kali, sebelum pilihan raya, mereka akan berjanji bulan dan bintang!
Berjanji untuk melakukan perubahan, berjanji untuk menangani isu yang dihadapi oleh rakyat, berjanji untuk kesejahteraan rakyat serta berjanji untuk menegakkan nilai demokrasi.
Tetapi apabila mereka berkuasa, kuasa mengaburi mereka! Mereka lupa semua janji-janji mereka kepada rakyat.
Tidak terhad dengan itu, godaan kuasa juga boleh menyebabkan sesebuah parti politik atau ahli politik memilih untuk bekerjasama dengan musuh sebelumnya.
Ini mungkin melibatkan penerimaan sokongan daripada individu (ahli politik) atau parti politik secara keseluruhan di mana nilai, prinsip dan ideologinya bercanggah dengan mereka sendiri.
Walaupun mempunyai nilai, prinsip dan ideologi yang bercanggah, semuanya dibuat demi kuasa. Ia sama seperti Tawaran Faustian, di mana Faust menerima Mephistopheles walaupun sedar Mephistopheles ialah syaitan yang bersifat jahat.
Keadaan akan menjadi bertambah parah apabila amalan tidak beretika dan korupsi mula menular dan berakar umbi.
Apabila rasuah mula berleluasa, kuasa dan sumber disalah guna, manipulasi institusi perundangan bermula, kapitalisme kroni melangkaui amalan rasuah, masa itu akan menjadi bukti pencabulan asas demokrasi, tiada lagi ketelusan dan keadilan, seterusnya membawa kepada pembiakan pergolakan sosial dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.
Ia akan berterusan selagi mana masih terdapat krisis moral, kerakusan untuk berkuasa yang berpotensi untuk menjadi korup, yang biasanya melibatkan amalan tidak beretika.
Seperti tidak pernah mendengar kisah Tawaran Faustian mahupun membaca cerita seakan sama, perjanjian dengan syaitan – pengakhirannya adalah tetap sama, di mana ia sudah pasti tidak akan mempunyai pengakhiran yang baik.
Era Faust Takkan Pernah Padam
Walau bagaimanapun, tidak semua ahli politik menjadi mangsa godaan kuasa. Masih ramai yang berkhidmat dengan penuh integriti dan menjalankan tugas dengan berdedikasi untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
Mungkin mereka sedar bahawa sesungguhnya kuasa itu hanyalah bersifat sementara! Apa gunanya jika kita berkuasa tetapi pengakhirannya kita mati dalam penyesalan, kehilangan jiwa dan juga nyawa? - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN