Turun naik pasaran saham di Bursa Malaysia pasca PRU15 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 30 Nov 2022 07:49 AM

Turun Naik Pasaran Saham di Bursa Malaysia Pasca PRU15

 

 

UMUM mengetahui, sejak ketidakstabilan politik melanda negara, sentimen pedagang dan pelabur terhadap pasaran saham amatlah suram. Penanda aras Indeks KLCI terus kekal berada di bawah 1,500 mata.

 

Selepas ternoktahnya pelantikan Perdana Menteri yang ke-10, penanda aras Indeks KLCI melakukan kejutan dengan naik sekejap sebelum jatuh balik pada keesokan harinya dan hari seterusnya.

 

Bagaimana ini boleh terjadi? Pergerakan pasaran yang sekejap naik dan kemudian turun sebenarnya dipengaruhi oleh sentimen pedagang dan pelabur secara keseluruhan atau boleh dirujuk kepada psikologi pasaran.

 

Psikologi Pasaran

Psikologi pasaran adalah sebuah teori kewangan yang merujuk kepada tingkah laku majoriti peserta pasaran (yang merujuk kepada pedagang dan pelabur) yang mendorong pergerakan pasaran (turun naik) melalui tindakan harga. Dalam erti kata mudah, ia menggambarkan sentimen peserta pasaran secara keseluruhan yang dipengaruhi oleh emosi.

 

Ramai pengkaji percaya bahawa emosi adalah penggerak utama di sebalik turun naik (pergerakan) pasaran saham. Sentimen pedagang dan pelabur yang sentiasa berubah-ubah sebenarnya mewujudkan kitaran yang dipanggil sebagai psikologi pasaran.


 

Eksponen

 


Apabila sentimen pasaran positif, harga akan meningkat secara berterusan dan apabila sentimen pasaran bertukar menjadi negatif, harga akan mula menurun secara berterusan.

 

Secara praktiknya, apabila harga mula meningkat naik, ia mungkin disebabkan oleh sesuatu faktor yang mendorong emosi serta keyakinan yang lebih baik di kalangan pedagang dan pelabur yang menyebabkan sentimen pasaran keseluruhan menjadi positif.

 

Apabila ini berlaku, permintaan akan meningkat melebihi penawaran dan menyebabkan pasaran mula meningkat naik.

 

Sebaliknya, aliran pasaran menurun yang berterusan cenderung berlaku apabila sentimen bertukar menjadi negatif, yang menunjukkan penawaran melebihi penurunan.

 

Kesan Politik Terhadap Pasaran Saham

Berdasarkan kajian ahli akademik, politik mempunyai peranan tersendiri dan mempunyai kesan terhadap pergerakan serta tingkah laku pasaran saham.

 

Politik disini merujuk kepada kestabilan dan ketidakstabilan mempunyai pengaruh terhadap keputusan yang bakal diambil samada oleh pedagang mahupun pelabur dalam pasaran saham.

 

Manakala, faktor khusus yang mempengaruhi tindakan pedagang dan pelabur pula adalah sentimen pasaran.

 

Sentimen pasaran yang berkaitan dengan politik adalah jangkaan pedagang dan pelabur mengenai peristiwa politik seperti kemenangan gabungan parti politik yang bertanding dalam PRU secara majoriti yang boleh meningkatkan kepercayaan mereka terhadap masa depan ekonomi negara.

 

Bagaimana politik melalui PRU (peristiwa) boleh mempengaruhi tingkah laku dan pergerakan pasaran?

Semasa kempen PRU berlangsung, gabungan parti politik yang bertanding akan mengeluarkan manifesto masing-masing untuk mendapatkan sokongan pengundi bagi memenangi pilihan raya. Kebiasaannya manifesto yang dibuat adalah berkaitan dengan ekonomi meliputi dasar-dasar jika mereka berjaya membentuk kerajaan.

 

Apabila manifesto yang dikeluarkan adalah realistik dan dilihat mampu ditunaikan oleh gabungan parti politik yang menang, ia bakal mempengaruhi peserta pasaran saham (pedagang dan pelabur).


 

parafrasa

 


Apabila pedagang dan pelabur optimis mengenai masa hadapan ekonomi negara melalui dasar yang bakal dilaksanakan, mereka akan cenderung untuk mengambil bahagian dengan berdagang dan melabur dalam pasaran saham.

 

Sebaliknya, jika manifesto itu adalah bersifat janji semata-mata dan tidak mampu ditunaikan oleh gabungan parti politik yang menang, mereka akan mula berasa ragu dengan dasar dan masa hadapan ekonomi, menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menarik diri dari pasaran saham.

 

Bukan itu sahaja, dapatan dari PRU15, jelas dilihat kegagalan mana-mana gabungan parti politik untuk membentuk kerajaan  persekutuan dengan majoriti mudah dan desas-desus Perikatan Nasional bakal mengetuai pemerintahan negara telah menyebabkan kaunter berkaitan judi dan arak jatuh. Tetapi sebaik sahaja keputusan pemerintahan berubah arah, kaunter berkaitan judi dan arak ini mula mencatat kenaikan.

 

Ini berlaku disebabkan oleh ketidaktentuan dan kejutan pasca PRU15 di mana parlimen tergantung dan teka-teki gabungan parti politik mana bakal menerajui pemerintahan (yang boleh mengubah sesuatu dasar kerajaan pada masa hadapan) telah menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran saham. 

 

Oleh itu, boleh dikatakan, turun naik pasaran saham berkait rapat dengan keadaan politik semasa yang dipengaruhi oleh sentimen pedagang mahupun pelabur yang memberi reaksi sama ada berlebihan (positif) mahupun berkurangan (negatif).

 

Keputusan PRU yang tidak dijangka seperti PRU15 juga mendorong pergerakan menurun dan menaik secara sementara dalam pasaran saham kerana majoriti pedagang dan pelabur bimbang tentang bahayanya pergolakan politik yang boleh membawa ketidakstabilan pada ekonomi.

 

Rasional Tingkah Laku

Adakah semua pedagang dan pelabur rasional sebelum membuat sesuatu keputusan? Berdasarkan kajian, pergerakan turun naik secara sementara ini disebabkan oleh tingkah laku tidak rasional dari segelintir pedagang dan pelabur yang membuat keputusan berdasarkan khabar angin yang disebarkan oleh media serta strategi kempen gabungan politik yang dijalankan.

 

Apabila tingkah laku yang tidak rasional diikuti sentimen dan reaksi mereka yang berlebihan dapat diterjemahkan oleh pergerakan turun naik secara sementara.


 

parafrasa

 


Oleh itu, sebaiknya, jadilah pedagang dan pelabur yang rasional dengan membaca sentimen pasaran melalui kebarangkalian keputusan – jika kebarangkalian satu gabungan politik itu menang dan sebaliknya serta kesan terhadap pasaran saham.

 

Dan sebenarnya........ pelbagai faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran saham dan boleh dikatakan jadi kesan PRU dan politik secara amnya adalah terhad.

 

Sukar sebenarnya untuk menentukan kesan sebenar politik terhadap pasaran saham kerana pasaran saham juga bertindak balas terhadap faktor dan peristiwa lain yang berlaku pada masa yang sama.

 

Yang pasti, politik mempunyai pengaruh dan kesan terhadap pasaran saham, tetapi begitu juga dengan segala-galanya. – DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN