Ericsson komited bangunkan 5G di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ericsson komited bangunkan 5G di Malaysia

Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Ericsson menyifatkan penyertaannya dalam membangunkan teknologi 5G sebagai peluang yang baik dalam menyokong perjalanan transformasi digital Malaysia setelah syarikat itu bertapak di negara ini sejak 1965. 

 

Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro menyifatkan, sumbangan Ericsson dalam pembangunan negara amat penting terutama menerusi inovasi teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. 

 

Katanya, ini terbukti menerusi kerjasama yang berpanjangan dengan ahli akademik tempatan, industri dan tempatan.

 

"Setelah menjadi sebahagian daripada evolusi industri teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia sejak 56 tahun lalu, kami gembira bahawa penyelesaian 5G dan pengalaman global kami yang terkemuka dalam membangunkan 86 rangkaian 5G secara langsung hingga kini akan dimanfaatkan untuk kepentingan semua rakyat Malaysia. 

 

"Kami akan cuba melaksanakan tugas ini sebaik-baiknya dengan kepercayaan yang diberikan dan teruja untuk terus memainkan peranan penting dalam perjalanan telekomunikasi di Malaysia," katanya menerusi laman Linkedln hari ini.

 

Baca : Kerajaan pilih Ericsson bangunkan 5G dengan kos RM11 bilion

 

Baca : Ericsson bangunkan 5G, telco tidak perlu ‘belanja lebih’ - Kenanga

 

Semalam, Digital Nasional Bhd (DNB) memilih Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd sebagai pemenang tender untuk
membangunkan rangkaian dan ekosistem 5G di negara ini.
 

 

DNB yang juga syarikat tujuan khas (SPV), dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan bagi membangunkan, memiliki serta menjalankan operasi prasarana 5G Malaysia

 

David berkata, infrastruktur rangkaian ini amat penting untuk mempercepatkan transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju, sejajar dengan pelan tindakan kerajaan menerusi MyDigital, sekali gus membantu merapatkan jurang digital.

 

"Teknologi 5G akan menawarkan pengguna dengan keterhubungan yang pantas, latensi yang sangat rendah dan jalur lebar lebih besar.

 

"Dalam masa sama, ia membolehkan syarikat di negara ini mewujudkan aplikasi yang boleh memberi manfaat kepada pengguna dan memacu perniagaan," katanya.

 

Ericsson akan melakukan aspek reka bentuk serta pembangunan rangkaian menyeluruh 5G yang meliputi teras, rangkaian akses radio (RAN), operasi dan sistem bantuan perniagaan (OSS/BSS) dan perkhidmatan pengurusan.

 

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu akan turut melaksanakan program-program pembangunan kapasiti dan inovasi bagi menyokong pembangunan serta penyertaan vendor tempatan selain memacu penerimagunaan 5G dalam kalangan orang ramai. - DagangNews.com