Farm Fresh mulakan penampilan di Bursa Malaysia pada RM1.70 sesaham, dengan premium 35 sen | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh mulakan penampilan di Bursa Malaysia pada RM1.70 sesaham, dengan premium 35 sen

Farm Fresh memulakan dagangan di Bursa Malaysia pagi tadi.

KUALA LUMPUR 22 Mac - Farm Fresh Bhd. membuat penampilan sulung di Papan Utama Bursa pada harga pembukaan RM1.70, premium 35 sen berbanding harga tawaran awam permulaan, RM1.35 sesaham. 

 

Ketika pembukaan pagi tadi, ia menyaksikan 27.24 juta saham diniagakan, yang merupakan penyenaraian terbesar sejak Jun 2021, dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.5 bilion.

 

Setakat 11.07 pagi, harga sahamnya melonjak kepada RM1.82.

 

Melalui terbitan IPO yang mengumpul sebanyak RM301 juta, Farm Fresh akan memperuntukkan sebanyak RM140 juta untuk membuka hab pembuatan, ladang tenusu baharu dan kemudahan bersepadu di Malaysia manakala RM60 juta untuk mengembangkan kemudahan pengeluaran di Australia.

 

Selebihnya, sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan bagi langkah pengembangan di luar negara diikuti RM40.8 juta sebagai modal kerja dan RM20.2 juta bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian. 

 

Loi Tuan Ee
Loi Tuan Ee

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, penyenaraian itu merupakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kumpulan untuk muncul sebagai pemain serantau dalam ruang barangan pengguna cepat laris (FMCG). 

 

Katanya, dengan sokongan dan penyertaan pihak berkepentingan, kumpulan berhasrat untuk meneroka rantau baharu dan pasaran bagi memperluaskan lagi kehadirannya.

 

"Kumpulan akan mengembangkan lagi perniagaan bukan saja di pasaran tempatan malah menembusi pasaran serantau lain seperti Hong Kong, Indonesia dan Filipina.

 

"Dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk produk susu segar, saya yakin Farm Fresh mampu menyampaikan produk yang berkualiti dan bernilai kepada pengguna," katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian Farm Fresh pagi tadi. 

 

Farm Fresh, yang beroperasi sejak 2009 mendapat sokongan daripada 30 pelabur terkemuka, jumlah tertinggi pernah diterima oleh mana-mana IPO domestik setakat ini.

 

Ia menjana kira-kira RM1 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan penjualan 520.2 juta saham dan terbitan awam 223 juta saham baharu.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih Farm Fresh melonjak 154% kepada RM62.2 juta daripada RM24.49 juta, apabila hasil dalam tempoh itu meningkat 2.99% kepada RM373.85 juta daripada RM362.99 juta. EPS melonjak kepada 3.8 sen, daripada 1.5 sen setahun lalu.

 

Pertumbuhan hasil terutamanya diterajui oleh peningkatan bahagian pasaran kategori susu sedia untuk diminum (RTD) daripada 15% pada Disember 2020 kepada 18% pada September 2021, disebabkan oleh pengambilan pelanggan baharu yang lebih tinggi, jualan RTD yang lebih tinggi produk susu dan pelancaran produk baharu dalam tempoh kewangan. 

 

farm fresh

 

 

Ketika ditanya sama ada Farm Fresh akan menaikkan harga produknya ekoran krisis Rusia-Ukraine yang memberi kesan kepada harga bahan mentah, Tuan Ee berkata, kumpulan akan terus memantau situasi berkenaan sebelum mengambil langkah seterusnya.

 

Ini kerana, katanya, Farm Fresh sudah mengekalkan harga produknya selama 4 tahun dalam usaha memastikan ia adalah mampu milik kepada semua rakyat Malaysia. 

 

"Sebelum ini, kami telah menaikkan harga produk pada September lalu meskipun berdepan persekitaran mencabar dan tekanan margin.

 

“Oleh itu, kami akan melihat sama ada cabaran semasa adalah sementara atau sebaliknya. Jika keadaan kembali stabil dalam tempoh 6 bulan akan datang, dan jika kami masih mampu, kami akan mengekalkan harga, tetapi jika sebaliknya, kami akan akan melihat kemungkinan pelarasan harga selanjutnya.

 

"Bagaimanapun, setakat ini, kami akan berusaha untuk menangani situasi ini (bergantung kepada sejauh mana konflik itu berlarutan), kerana prospek jangka panjang sentiasa menjadi keutamaan kami," jelasnya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: 10 hal Farm Fresh untuk disenaraikan di Bursa Malaysia

 

Farm Fresh yang turut dimiliki Khazanah Nasional Bhd., ketika ini mengendalikan 5 ladang tenusu di Malaysia dengan jumlah keluasan 2,829 ekar dengan saiz kumpulan 5,961 lembu tenusu setakat akhir Januari 2022.

 

Ini dilengkapi dengan ladang seluas 2,587 ekar dengan 2,672 lembu tenusu di Greater Shepparton, Australia, menjadikan jumlah kawasan ladang kumpulan itu kepada 5,416 ekar dan saiz kumpulan kepada 8,633 lembu tenusu (berbanding Mac 2020: 4,065 ekar; 7,384 lembu tenusu).

 

Dipasarkan di bawah jenama Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones dan Yarra Farm, pertumbuhan jualannya juga dipacu oleh rangkaian pengedaran yang mantap. - DagangNews.com