Skip to main content

10 hal Farm Fresh untuk disenaraikan di Bursa Malaysia

Teraju di belakang Farm Fresh, Loi Tuan Ee (depan) dan Azmi Zainal di kilang pembungkusan susu syarikat itu. Syarikat ini bakal disenaraikan di Bursa Malaysia tidak lama lagi. 

 

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

FARM FRESH Bhd, syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd memfailkan draf prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 4 Oktober lepas.

 

Ini adalah proses biasa untuk sesebuah syarikat yang hendak disenaraikan iaitu pemberitahuan kepada orang ramai semata-mata, bertujuan mendapatkan maklum balas atau pandangan.

 

Dalam tempoh sebulan ini, sebilangan besar penganalisis saham dan remiser telah menerbitkan pandangan mereka. Rata-rata adalah positif.

 

Bagi yang bukan daripada komuniti pedagang saham, jenama Farm Fresh ini mula dikenali ramai apabila ia menjadi penaja utama program nyanyian Gegar Veganza beberapa musim lalu, dengan penampilan Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal mempromosi produk susu sambil berpantun.

 

Syarikat ini juga mendapat perhatian sudut politik bila disebut oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sekurang-kurangnya dua hantaran di Facebook dari 2019 hingga baru-baru ini.

 

Ini kita akan ulas satu per satu kerana fokus Merrepak hari ini lebih kepada penawaran nilai syarikat dan manfaatnya kepada negara, berdasarkan kajian terhadap draf prospektus IPO di laman web Suruhanjaya Sekuriti.

 

BACA JUGA : Farm Fresh bakal disenaraikan di Bursa Malaysia

 

  1. Cadangan IPO

Menurut draf prospektus syarikat itu yang dimuatkan dalam laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Isnin, cadangan IPO berkenaan akan membabitkan penjualan 743.18 juta saham biasa, merangkumi 222.95 juta saham baharu dan 520.23 juta saham sedia ada.

 

Daripada 743.18 juta saham berkenaan, sehingga 687.44 juta akan membabitkan tawaran institusi kepada pelabur terpilih Malaysia dan asing, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Baki 55.74 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur runcit.

 

farm

 

 

  1. Hasil penyenaraian

Lembaga Pengarah memperuntukkan kira-kira 79.7% hasil kasar daripada urus niaga berkenaan untuk membiayai perbelanjaan modal syarikat bagi pelaburan projek dalam masa dua tahun akan datang.

 

Kira-kira 46.5% lagi akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia, termasuk menubuhkan sebuah hab pengeluaran baharu serta kemudahan pemprosesan tenusu bersepadu dan ladang tenusu baharu.

 

Di luar negara, kira-kira 33.2% hasil terbitan awam diperuntukkan bagi pelan pengembangan kami di Australia dan peringkat serantau.

 

Kira-kira 13.6% dana akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja syarikat, yang dijangka meningkat berikutan pelan pengembangan dan jangkaan pertumbuhan perniagaannya di Malaysia serta pasaran luar negara.

 

Syarikat menganggarkan kira-kira 6.7% dana daripada terbitan awam ini akan digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian yang berkaitan.

 

 

  1. Bank di belakang penyenaraian

CIMB Investment Bank adalah penasihat tunggal bagi proses IPO terbabit.

 

Bank pelaburan itu bersama Maybank Investment Bank dan Credit Suisse Investment adalah pengatur global dan penaja jamin bersama urus niaga berkenaan.

 

 

  1. Asal usul syarikat

Farm Fresh ditubuhkan pada 24 Mac 2010 sebagai syarikat sendirian berhad di bawah nama The Holstein Milk Company Sdn Bhd oleh Loi Tuan Ee, sebelum menukar namanya kepada Farm Fresh Sdn Bhd pada 24 Mei lalu.

 

Pada 22 September lalu, syarikat bertukar kepada syarikat awam dan menggunakan nama Farm Fresh Bhd.

 

Aktiviti perniagaan utamanya adalah ternakan lembu tenusu dan penjualan susu lembu tenusu.

 

Menerusi anak-anak syarikatnya, Farm Fresh terbabit dalam perniagaan perladangan, pengeluaran dan pengedaran pelbagai produk tenusu dan berasaskan tumbuhan.

 

Setakat ini, kumpulan mengendalikan lima ladang tenusu di Malaysia dan satu lagi di Australia.

 

 

  1. Loi Tuan Ee & Azmi Zainal

Empunya sebenar Farm Fresh Farm Fresh ini meninggalkan kerjayanya sebagai Timbalan Pengarah Urusan Century Bond Berhad pada 2005 untuk berkecimpung sepenuhnya di dalam perniagaan tenusu.

 

Beliau menubuhkan The Holstein Milk Company sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif setelah mendapat 95% susu yang ditawarkan di Malaysia sebenarnya susu tepung atau sudah dicampur, bukan susu segar diperah dari lembu.

 

Beliau menetapkan matlamat untuk menyediakan susu segar kepada pelanggan dari ladang ke rak kedai dalam tempoh 48 jam. Untuk mencapainya, susu itu perlu dihasilkan, dibungkus dan diedarkan di dalam negara.

 

Azmi Zainal menjadi duta syarikat menyerupai formula Tony Fernandes di AirAsia. Tidak perlu guna wajah selebriti. Kemunculan Azmi mewakili penaja dalam program Gegar Veganza melonjakkan jenama susu tersebut, ditambah lagi personaliti Azmi sendiri yang peramah.

 

Sebelum mengasaskan Farm Fresh bersama Loi, Azmi pernah berkhidmat di FELDA pada 1989 dan Gemilang Packaging pada 1997. Cuma dalam draf prospektus Farm Fresh ini, nama Azmi tidak disenaraikan antara pemegang saham utama seperti Loi, baik sedia ada atau selepas penyenaraian. Ini kita boleh tanya beliau nanti.

 

 

 

farm
Datuk Seri Najib Tun Razak mencuba susu Farm Fresh yang dijamu oleh Azmi Zainal (kiri).

 

 

  1. Terpilih dalam NKEA

Semasa pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri, Farm Fresh dipilih sebagai projek permulaan (EPP) 13 untuk memenuhi sasaran Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil tenusu import.

 

‘’Sebagai sebuah syarikat di bawah EPP negara, syarikat Holstein itu menerima banyak bantuan dari kerajaan BN dahulu,’’ kata Datuk Seri Najib.

 

``Selari dengan sasaran itu, kerajaan BN dahulu mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Pahang pada tahun 2012.

 

``Kemudiannya, kawasan itu juga dinamakan sebagai Lembah Tenusu Muadzam.

 

``Lembah tenusu ini amat berjaya dan ramai petani tempatan diberi peluang menternak lembu tenusu untuk membekal kepada syarikat Holstein dan syarikat-syarikat susu yang lain.

 

Dalam hantaran di Facebook pada 2019, Najib ada mempersoalkan kepentingan Khazanah di dalam Farm Fresh telah dijual sebahagiannya kepada entiti Singapura. Berdasarkan pernyataan di dalam draf prospektus, tidak nampak ada entiti Singapura. Mungkin sudah tukar, entahlah.

 

 

  1. Pemegang saham utama

Farm Fresh adalah 30% milik Khazanah menerusi syarikat pelaburan, Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd.

 

Pemegang saham lain Farm Fresh adalah Rainforest Capital Sdn Bhd dengan 46.47% kepentingan dan Farmchoice Foods Sdn Bhd (23.33%).

 

Berikut senarai pemegang saham utama syarikat dan barisan pengurusan kanan syarikat yang diambil dari draf prospektus:

 

farm

 

 

  1. Analisis

Berikut adalah antara risiko-risiko yang dihadapi oleh Farm Fresh yang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menjejaskan prospek:

 

a. Pendigitalan

Memandangkan lebih 30% perolehan syarikat datang daripada pengedar individu dan jika Farm Fresh merancang untuk menjual secara dalam talian, ia pasti menjejaskan jualan pengedar individu mereka. Jadi adalah penting untuk syarikat menyusun pelan pendigitalan mereka dengan teliti agar tidak memusnahkan rangkaian pengedar individu mereka yang memiliki kelebihan daya saing tersendiri sekarang.

 

b. Lembu tiada insurans

Tidak dinyatakan di dalam draf prospektuf apakah syarikat akan menyediakan insurans untuk lembu tenusu mereka. Jika sesuatu penyakit haiwan meletus di ladang, ia akan menjejaskan perniagaan. Hanya dinyatakan ialah proses vaksinasi lembu dan memisahkan lembu ke ladang berasingan untuk mengelak penyakit.

 

c. Risiko Kualiti Produk

Ini merupakan isu yang sentiasa ada bagi syarikat FMCG. Insiden seperti isu produk atau pengedar individu yang tidak cermat akan menurunkan kredibiliti syarikat di mana pelanggan. Syarikat perlu menyatakan pelan kepada bakal pelabur mengenai pengurusan risiko.

 

d. Tanah pajak

Tiga bidang tanah yang menjadi ladang ternakan Farm Fresh sekarang adalah tanah pajakan yang akan tamat antara tahun 2032 hingga 2041. Jika tidak diselesaikan segera, akan timbul isu pemindahan ke lokasi lain yang pastinya menjejaskan kelancaran rantaian pembekalan.

 

 

farm
Kilang pemprosesan dan ladang komersial Farm Fresh di Muadzam Shah, Pahang.

 

 

  1. Penilaian Harga Saham

Beberapa penganalisis mengakui bukan mudah hendak menilai Farm Fresh walaupun sesudah meneliti butir-butiran kewangan.

 

Kapasiti pengeluaran tahunan Farm Fresh pada masa ini ialah 137 juta liter produk siap. Pada 2025, ia dijangka meningkat kepada 272 juta liter setelah lengkap segala pelan perluasan.

 

Berdasarkan purata yang dirangkum oleh beberapa penganalisis saham mengikut keputusan kewangan semasa dan unjuran kapasiti 2025, nilai wajar Farm Fresh diunjurkan sekitar RM2.9 bilion atau RM1.53 sesaham.

 

 

  1. Manfaat kepada pengguna

Kini Farm Fresh diiktiraf sebagai pemain kedua terbesar di dalam kategori susu sedia untuk diminum, dengan penguasaan pasaran sebanyak 18%. Kekuatan utamanya ialah di dalam segmen kecil susu sedia diminum disejukkan dengan 64% penguasaan pasaran.

 

Selain itu, ia kini adalah syarikat  Top 3 dari segi penguasaan pasaran segmen kecil susu ambient RTD dan yogurt.

 

Secara umumnya, industri tenusu ini cukup sengit persaingannya. Pengumuman Farm Fresh ini tentunya mendorong syarikat pesaingnya untuk menyusun strategi jangka panjang dan pendek, kerana mereka maklum Farm Fresh akan memiliki keupayaan untuk berkembang dan mengaut lebih banyak lagi penguasaan pasaran.

 

Apakah ini akan menguntungkan pengguna seperti kita? Jika anda peminat produk tenusu, mungkin ada untung bila berlaku persaingan iaitu penurunan harga. - DagangNews.com

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Golden Eye - Tina Turner  berulang-ulang kali.
 
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.