Farm Fresh rancang luas pasaran ke Filipina, Indonesia dan Hong Kong | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh rancang luas pasaran ke Filipina, Indonesia dan Hong Kong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Farm Fresh Berhad merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Filipina, Indonesia dan Hong Kong pada masa akang datang sebagai usaha untuk mengukuhkan jenama itu di luar negara.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Loi Tuan Ee berkata, pendekatan baharu yang lebih strategik perlu digunakan untuk pasaran Filipina dan Indonesia kerana kumpulan itu tidak boleh mengguna pakai perancangan sama seperti di Malaysia untuk kedua-dua negara itu.

 

"Filipina dan Indonesia adalah sangat sukar untuk mendapatkan tanah bagi membangunkan ladang serta kilang pemprosesan seperti di Malaysia.

 

"Kemungkinan perancangan kami adalah menggunakan bahan dari ladang kami di Australia untuk pasaran Filipina dan Indonesia, kerana kita dapat lihat bahawa pasaran susu segar di kedua-dua negara ini sangat kurang serta ketinggalan berbanding Malaysia," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO), hari ini.

 

Farm Fresh dijangka menjana kira-kira RM1 bilion daripada IPO membabitkan penjualan 520.2 juta saham dan terbitan awam 223 juta saham baharu.

 

Harga IPO itu ditetapkan pada RM1.35 sesaham dan permodalan pasaran RM2.5 bilion apabila disenaraikan, dengan modal diperbesarkan sebanyak 1.86 bilion saham sekali gus menjadikan IPO Farm Fresh yang terbesar sejak Jun 2021.

 

Syarikat itu yang melancarkan prospektus penyenaraiannya hari ini dan akan menggunakan hasil yang dijana daripada terbitan awam berkenaan untuk membina hab pengeluaran, ladang tenusu dan kemudahan bersepadu baharu di Malaysia.

 

BACA JUGA: Farm Fresh bakal 'melangkah' ke Bursa Malaysia suku pertama 2022

 

Dalam perkembangan sama, Tuan Ee berkata adalah sukar untuk kumpulan itu meluaskan pasaran mereka ke China memandangkan mereka memiliki jenama yang besar selain kesukaran pasaran dari negara itu untuk menerima produk dari Malaysia.

 

Katanya, namun pihaknya bersedia untuk menghantar produk keluaran mereka ke Hong Kong kerana pasaran di negara itu adalah seperti Singapura kerana kedua-duanya sukar mendapatkan susu segar.

 

"Memang sukar untuk kami memasuki pasaran China tetapi perancangan kami selepas penerbitan IPO ini adalajh untuk beri fokus kepada penghasilan produk di ladang di Australia dan hantar ke China tetapi memerlukan masa yang agak lama," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan baharu, pihaknya akan berusaha untuk mengeluarkan susu segar yang diperkaya dengan nutrien tanpa gula tambahan untuk kanak-kanak.

 

"Kami akan menghasilkan susu berkenaan kerana selepas tempoh dua tahun, kanak-kanak sering diberikan dengan susu formula yang kebanyakannya mengandungi gula tambahan yang tidak bagus untuk pembesaran anak-anak," katanya. - DagangNews.com