Felda skor ‘hat trick’ minggu ini | DagangNews Skip to main content

Felda skor ‘hat trick’ minggu ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Tiga hari berturut-turut sepanjang minggu ini, Felda membeli saham FGV Holdings Berhad (FGV) dari pasaran terbuka. 

 

Hari ini, sebanyak 15 juta lagi unit saham FGV menjadi milik Felda pada nilai RM1.30 sesaham, menurut makluman FGV di Bursa Malaysia.

 

Ini melibatkan jumlah urus niaga mencecah RM19.5 juta. 

 

Pada minggu ini sahaja, Felda telah membeli sebanyak 66 juta unit saham FGV di pasaran terbuka. 

 

Kesemuanya melibatkan nilai RM1.30 sesaham dengan jumlah transaksi mencecah RM85.8 juta. 

 

TERBARU : Mahkamah Tinggi tolak permohonan Synergy Promenade terhadap Felda

 

Terdahulu, Felda telah ‘memborong’ lebih 27 juta unit saham FGV di pasaran sama pada minggu lalu.

 

Pada 8 Disember 2020, Felda menyatakan hasrat untuk mengambil alih sebanyak 506,190,800 atau 13.88% ekuiti FGV dengan nilai sebanyak RM658 juta.

 

Baca : Felda hampir memiliki FGV?

 

Agensi itu bercadang untuk meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%. 

 

Bagaimanapun, Felda menyatakan tiada perancangan untuk meneruskan status penyenaraian FGV di Bursa Malaysia. 

 

Tawaran tunai RM1.30 sesaham oleh Felda akan dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, menjelang 2 Februari 2021. 

 

Pengambilalihan ini tercetus selepas Felda mahu mengambil semula tanah yang dipajakkan kepada FGV seluas 350,000 hektar, termasuk kesemua kilang sawit. - DagangNews.com