Mahkamah tinggi tolak permohonan Synergy Promenade terhadap Felda | DagangNews Skip to main content

Mahkamah tinggi tolak permohonan Synergy Promenade terhadap Felda

 

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) terhadap Felda dan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC). 

 

Permohonan ini untuk memasukkan penghakiman terus bagi pelaksanaan spesifik Perjanjian Pembangunan di antara SPSB dan FIC berkenaan projek Kuala Lumpur Vertical City (Projek KLVC) dalam keputusan oleh Hakim, Datuk Azimah Omar.

 

Menerusi kenyataan hari ini, Felda berkata, Mahkamah Rayuan Malaysia telah menetapkan pendengaran rayuan SPSB pada 23 September 2021.

 

"Dalam Alasan Penghakiman, beliau mendapati bahawa ia tidak masuk akal dari segi komersial atau perniagaan bagi Felda sebagai pemilik tanah yang mempunyai nilai komersial antara RM543 juta hingga RM1.062 bilion untuk memasuki pelaburan yang jauh lebih rendah daripada nilai tanah itu sendiri. 

 

"Malah, hakim juga mendapati terdapat keadaan yang memberi kebolehpercayaan kepada dakwaan-dakwaan Felda dan FIC bahawa wujud unsur-unsur ketidakjujuran, penipuan dan konspirasi terhadap Projek KLVC secara keseluruhan," katanya. 

 

Jelas Felda, beliau juga mendapati bahawa keseluruhan urus niaga antara SPSB, Felda dan FIC ini telah menyebabkan kerugian ke atas Felda dan FIC. 

 

"Perjanjian Pembangunan dan Surat Kuasa Wakil jelas menunjukkan bahawa Felda akan kehilangan tanahnya walaupun hanya dijanjikan pulangan kecil pelaburan iaitu RM500 juta. 

 

"Untuk memburukkan lagi kerugian ini, Felda, melalui FIC, kemudiannya bersetuju untuk menyewa Menara Pejabat yang dicadangkan di atas tanah tersebut dengan sewa berjumlah RM1.5 bilion kepada SPSB/SPKLVC," katanya. 

 

Beliau menyatakan dengan lebih lanjut bahawa situasi ini bertentangan dengan susunan perniagaan dan tidak masuk akal dari segi komersial bahawa Felda dengan rela hati menyerahkan tanah tersebut dan kemudiannya menyewa atau memajak kembali tanah sama yang telah diserahkan.

 

BACA JUGA BERITA FELDA INI : Felda skor hat-trick minggu ini

 

Kenyataan itu juga menunjukkan, hakim mendapati bahawa ia adalah fakta yang tidak dapat disangkal lagi
bahawa kelulusan pihak menteri tidak diperolehi bagi Projek KLVC yang mana semestinya akan menjejaskan kesahan Perjanjian Pembangunan tersebut.

 

"Oleh demikian, beliau memutuskan bahawa Felda dan FIC telah berjaya meyakinkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa terdapat isu yang serius dan perlu dibicarakan," katanya.

 

Felda dan FIC diwakili oleh Kumar Kanagasingam, Mong Chung Seng, Michele Yee Phui Hwa dan Medha Ong Ann Ting dari Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill. - DagangNews.com