Ferrotec akan bina kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim bernilai lebih RM500 juta | DagangNews Skip to main content

Ferrotec akan bina kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim bernilai lebih RM500 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - Ferrotec Holdings Corporation akan membina kilang pembuatan baharu di Taman Teknologi Tinggi Kulim dengan nilai pelaburan melebihi RM500 juta.

 

Ferrotec dalam satu kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, kilang berkenaan melibatkan pemasangan produk elektromekanikal dan fabrikasi bahan termaju untuk peralatan semikonduktor yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan sambil mengembangkan perniagaan syarikat di peringkat global.

 

Kilang yang dibina di atas kawasan seluas 80,000 kaki persegi itu dijangka mula beroperasi pada 2023 dan ia bakal mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

 

Syarikat itu juga komited untuk menyediakan latihan kepada rakyat kakitangan warga Malaysia di kilang mereka di Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan Ferrotec memilih Malaysia untuk pembinaan kilang berteknologi tinggi menunjukkan negara memiliki kekuatan, kemampuan pemuatan dan ekosistem perniagaan yang sesuai.

 

"Kehadiran Ferrotec di Malaysia akan merangsang pembangunan bakat tempatan serta memperkukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan global," katanya.

 

MIDA berkata, pada 2021, industri jentera dan peralatan (M&E) menerima 48 projek diluluskan bernilai RM1.67 bilion dalam pelaburan daripada sumber asing dan domestik.

 

Projek-projek itu dijangka menjana 2,500 peluang pekerjaan, dengan 56% pekerja dalam kemahiran pengurusan, teknikal dan berkaitan kejuruteraan.

 

M&E khusus untuk subsektor industri tertentu merupakan penyumbang pelaburan terbesar bagi 2021 dengan 16 projek berjumlah RM592 juta diluluskan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, keputusan Ferrotec untuk membuka kilang di Malaysia adalah sesuatu yang positif buat negara. 

 

"Dengan kumpulan bakat di Malaysia, persekitaran pelaburan yang positif dan rantaian bekalan yang pelbagai saya optimis Ferrotec akan mendapat manfaat daripada limpahan yang dicipta negara dan mempunyai lebih banyak tawaran kepada pelanggan globalnya," katanya. - DagangNews.com