KUALA LUMPUR 16 Okt. - Syarikat penerbangan Firefly Airlines (Firefly) meneruskan operasi penerbangan domestik dan jet ke Asia dari Pulau Pinang menjelang suku pertama 2021.
Mengumumkan perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, Firefly akan menambah hingga 10 jet bersaiz kecil secara berperingkat bagi memenuhi pasaran domestik, ASEAN dan Asia Pasifik.
"Berdasarkan ramalan, perjalanan domestik dan jarak dekat lebih mendapat pilihan pengguna berdasarkan persekitaran semasa.
"Oleh itu, menjadi keperluan untuk Firefly memenuhi permintaan berkenaan, namun dari wilayah utara.
"Perkara ini juga sejajar dengan perancangan perniagaan jangka panjang kumpulan untuk mengfokus dan meningkatkan aliran pendapatan anak syarikat mengikut kesesuaian persekitaran semasa dan jangkaan masa hadapan wabak COVID-19," jelasnya seperti dilapor MalayMail.
Operasi jet baharu Firefly menawarkan konsep penerbangan fleksibel seperti perkhidmatan mengikut kesesuaian masa, harga berpatutan dan nilai yang lebih signifikan.
Penumpang akan berpeluang menikmati keistimewaan perkhimatan seperti syarikat penerbangan premium termasuk elaun pendaftaran bagasi 20 kilogram (kg) secara percuma selain penebusan mata ganjaran Enrich.
Penyediaan operasi jet Firefly di Pulau Pinang memerlukan pelaburan minimum oleh MAG pada tahun 2021 dengan jangkaan peningkatan pengeluaran sebanyak 36% dalam tempoh lima tahun akan datang.
Tambah beliau, perancangan tersebut secara tidak langsung dapat membantu Malaysia Airlines Berhad (MAB) memenuhi pasaran yang 'suram' di samping meluaskan pangkalan dengan menghubungkan bandar-bandar di Malaysia ke Malaysia Timur, Thailand, Indonesia dan Singapura.
Inisiatif tersebut juga turut memanfaatkan sumber dan bakat yang sedia ada dalam MAG dan berkemungkinan akan menggerakkan pesawat Boeing 737-800 dari MAB.
"Ini memberi ruang kepada MAB untuk mengfokuskan kepada rangkaian dan memenuhi permintaan pasaran premium," tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, syarikat penerbangan perlu melakukan perubahan berdasarkan keperluan pasaran berikutan berlakunya penularan wabak COVID-19.
"Firefly bersedia mendepani cabaran itu kerana kami melihat potensi yang tinggi dalam strategi ini di samping mengekalkan perkhidmatan kami di Subang Skypark, memenuhi permintaan penerbangan korporat dan pelancong," ujarnya. - DagangNews.com