KUALA LUMPUR 20 Dis - Pelaksanaan sistem pembayaran merangkumi klasifikasi pesakit berdasarkan diagnosis (DRG) yang dicadangkan berpotensi mengurangkan margin keuntungan dalam sektor penjagaan kesihatan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor tersebut bakal mempunyai kesan pasaran paling ketara, seperti yang dicerminkan oleh reaksi negatif pemegang saham.
HLIB Research menjangkakan, cadangan berkenaan mungkin tidak dapat dilaksanakan selepas perbincangan yang lebih mendalam dalam kalangan pihak berkepentingan.
"Jika manfaat sistem DRG dapat, seperti penetapan harga standard untuk mengawal inflasi perubatan, tidak dapat direalisasikan sepenuhnya dalam sistem penjagaan kesihatan swasta sedia ada, peralihan itu boleh mengakibatkan kos yang tidak perlu ditanggung oleh pembayar cukai," katanya dalam satu nota kajian.
Syarikat penyelidikan itu percaya, kerajaan akan meneruskan perancangan dan pembangunan sistem pembayaran DRG bagi menyelaraskannya dengan pelancaran skim Insurans Kesihatan Nasional (NHI) pada masa hadapan, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan selaras dengan amalan global.
"Bagaimanapun, garis masa dan pelaksanaan NHI masih tidak menentu pada peringkat ini.
Sementara itu, HLIB Research menetapkan saranan "overweight" ke atas sektor penjagaan kesihatan untuk 2025, dengan IHH Healthcare Bhd sebagai pilihan utamanya, dengan harga sasaran (TP) RM9 sesaham.
Sebagai tindak balas kepada inflasi perubatan sebanyak 12.6% pada 2023, beberapa siri inisiatif telah dicadangkan dan dilaksanakan pada separuh kedua 2024, termasuk pengenalan ciri pembayaran bersama, cadangan untuk mewajibkan “mekanisme paparan harga” dan DRG.
HLIB Research berkata, purata hasil bagi setiap pesakit bagi IHH Healthcare (meningkat 3.4%) dan KPJ Healthcare Bhd (meningkat 7.1%) pada 2023 berkembang pada kadar yang lebih perlahan berbanding kadar inflasi perubatan keseluruhan sebanyak 12.6%. - DagangNews.com