Pengeluar kereta beri diskaun, rebat bagi kurangkan kesan e-invois terhadap sentimen pengguna - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pengeluar kereta beri diskaun, rebat bagi kurangkan kesan e-invois terhadap sentimen pengguna - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Pengeluar kereta sedang berlumba-lumba memberikan diskaun dan rebat bagi memastikan permintaan berterusan selain mengurangkan kesan e-invois terhadap sentimen pengguna.

 

Kenanga Research bagaimanapun percaya, pelaksanaan e-invois hanya memberi impak kecil kepada jualan kereta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, e-invois pada asasnya akan menghentikan amalan biasa menyediakan pembiayaan sewa beli 100%, memintas Akta Sewa Beli 1967 dengan pelanggan dikehendaki membuat bayaran pendahuluan minimum sebanyak 10%.

 

"Secara umumnya, keterlihatan pendapatan industri masih baik, disokong tempahan tertunggak sebanyak 150,000 unit pada akhir November 2024.

 

"Lebih separuh daripada tunggakan itu terdiri daripada model baharu, merujuk kepada tarikan model baharu kepada pembeli kereta. Aliran ini berkemungkinan berterusan pada 2025 memandangkan barisan pelancaran baharu yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, jualan keseluruhan industri (TIV) bagaimanapun menyusut 3% dari bulan ke bulan kepada 67,532 pada November 2024 kerana pengguna sedang menunggu untuk memaksimumkan penjimatan daripada promosi akhir tahun yang biasanya menawarkan diskaun terbesar pada Disember. 

 

Katanya, TIV bagi tempoh 11 bulan 2024 membentuk 91% daripada unjuran tahun penuh sebanyak 800,000, bilangan itu dianggap memenuhi jangkaan.

 

"Ramalan TIV kami pada 2024 dikekalkan pada 800,000 unit terbukti tidak agresif, kerana Persatuan Automotif Malaysia (MAA) juga pada November telah menyemak semula sasarannya kepada tahap ini.

 

"Kami percaya TIV Disember 2024 akan lebih tinggi berbanding November didorong oleh kempen promosi akhir tahun kerana pembuat kereta mahu mengosongkan inventori tahun ini," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, jualan kereta akan disokong oleh BEV baharu yang menikmati pengecualian SST dan insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 untuk CBU dan CY27 untuk CKD.

 

Pendaftaran baharu untuk BEV melonjak daripada 274 unit dalam 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022; 10,159 unit pada 2023, dan hampir 16,000 unit untuk sembilan bulan 2024 (berdasarkan kenyataan akhbar Kementerian Pengangkutan), atau 3% daripada TIV.

 

"Kami menjangkakan insentif yang lebih baik daripada kerajaan yang telah menetapkan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15% daripada TIV pada 2030 dan 38% pada 2040..

 

"Sementara itu, kerajaan akan mempercepatkan kelulusan stesen pengecasan. Bilangan stesen pengecas yang dicadangkan pada masa ini berjumlah 4,225 (3,354 dibina sehingga kini) sepatutnya melebihi dua kali ganda kepada 10,000 menjelang akhir 2025," katanya. - DagangNews.com