KUALA LUMPUR 20 Dis - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) mengumumkan, pemegang sahamnya meluluskan penerbitan dan pengagihan saham mengikut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016, yang akan memberi syarikat kelonggaran untuk mengejar inisiatif pembiayaan dan peluang perniagaan bagi memacu pertumbuhan mampan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Ku Chong Hong berkata, keputusan itu dicapai semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-48 yang diadakan secara maya, semalam.
Jelas beliau, turut dipersetujui pada mesyuarat itu adalah 12 resolusi termasuk pemilihan semula pengarah yang bersara mengikut perlembagaan syarikat, pemilihan pengarah baharu, pelantikan semula juruaudit dan kelulusan pembayaran yuran serta faedah pengarah.
"Kelulusan semua resolusi memberi mandat kepada SCIB untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan dan keupayaan operasi kami," katanya dalam satu kenyataan.
SCIB yang ditubuhkan pada tahun 1975, kini mengendalikan tiga kilang di Kuching, Sarawak, dengan satu kilang di Kawasan Perindustrian Pending dan dua lagi di taman perindustrian Demak Laut.
Pakar sistem bangunan industri itu dikenali dengan idea inovatif dan kemajuan teknologi dalam sektor pembinaan berbekalkan lebih 30 tahun pengalaman.
SCIB kekal komited dengan misinya untuk menyediakan rumusan pembinaan inovatif dan produk berkualiti tinggi.
Syarikat bersedia memanfaatkan asas kukuh yang dimilikinya dan merebut peluang dalam sektor pembinaan dan kemudahan Malaysia, yang disokong oleh inisiatif kerajaan yang berterusan seperti projek Lebuh Raya Sabah-Sarawak dan Lebuh Raya Pantai Utara. - DagangNews.com