V Medical Aesthetics sasar tawaran awam permulaan di Malaysia dengan penilaian RM6 bilion | DagangNews Skip to main content

V Medical Aesthetics sasar tawaran awam permulaan di Malaysia dengan penilaian RM6 bilion

Gambar/FB V Medical Aesthetics and Laser Clinic

KUALA LUMPUR 20 Dis - Kumpulan V Medical Aesthetics yang berpusat di Singapura, sedang meneroka tawaran awam permulaan (IPO) di Malaysia yang boleh menilai syarikat itu sehingga RM6 bilion.

 

Satu sumber yang enggan dikenali mendedahkan, kumpulan tersebut sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan untuk penjualan saham pertama di Kuala Lumpur dan berkemungkinan dapat mengumpul lebih RM901.97 juta.

 

"Penyenaraian itu dijangka pada tahun depan, walaupun masa dan butiran lain seperti saiznya mungkin berubah," jelas sumber itu seperti laporan Bloomberg.

 

V Medical Aesthetics enggan mengulas dakwaan berkenaan.

 

Kumpulan itu menawarkan perkhidmatan rawatan masalah kulit dan mempunyai lebih 48 doktor di sekitar 17 klinik.

 

V Medical Aesthetics yang membuka cawangan di Kuala Lumpur pada Februari lalu, mempunyai lebih 60,000 pelanggan.

 

Malaysia kini menjadi tumpuan syarikat-syarikat Singapura yang ingin menyenaraikan saham, satu peralihan daripada trend sebelum ini.

 

Antara syarikat tersebut, Grand Venture Technology Ltd yang sedang mempertimbangkan untuk membuat penyenaraian kedua di Kuala Lumpur.

 

Menurut data Bloomberg, sebanyak RM7.21 bilion telah berjaya dikumpulkan melalui 50 penyenaraian di Malaysia pada tahun ini, manakala Singapura hanya mencatatkan empat penyenaraian yang berjaya mengumpul dana. - DagangNews.com