Francissca Peter, Virtuoso biola UPM serikan Gema Simfoni '50 Tahun UPM Gemilang' | DagangNews Skip to main content

Francissca Peter, Virtuoso biola UPM serikan Gema Simfoni '50 Tahun UPM Gemilang'

 

SERDANG 17 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Gema Simfoni ‘50 Tahun UPM Gemilang’ sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 UPM pada jam 8.30 malam 18 Disember 2021 (Sabtu) di Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail dijadual hadir menyempurnakan program tersebut.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, program yang julung kali diadakan sebagai satu bentuk apresiasi buat seluruh Warga UPM bagi meraikan dan menyemarak Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan UPM serta mengabdikan sejarah kemasyhuran sebagai sebuah institusi Menara Ilmu yang bertuah pada alaf ini.

 

Program itu turut menampilkan penyanyi veteran tanah air Francissca Peter sebagai artis jemputan dan virtuoso biola UPM yang juga Pensyarah Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Madya Dr. Joanne Yeoh Pei Sze.

 

Gema Simfoni 50 Tahun UPM Gemilang turut melibatkan staf, pelajar dan alumni UPM sebagai penyanyi dan pemuzik dalam program tersebut.

 

Selain itu, program ini merupakan medium bagi UPM menzahirkan rasa kebertanggungjawaban dalam menjaga kebajikan dan kemaslahatan sejagat di waktu memerangi pandemik COVID-19 dengan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan.


 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman
                        Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 

Seiring dengan hala tuju Universiti merujuk kepada Pelan Strategik UPM  2021-2025 pada Objektif Strategik 1, Matlamat ke-5: Memperkasakan Amalan Tadbir Urus, memfokuskan Kesejahteraan Warga UPM sebagai satu kaedah pengukuran prestasi.

 

Sepanjang 50 Tahun, UPM terus kukuh berpegang pada komitmen untuk berusaha mencapai kemajuan dan menjadi sebuah Menara Ilmu bereputasi antarabangsa.

 

Sementara itu, UPM mengadakan Sambutan Jubli Emas Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena 50 tahun penubuhannya sebagai universiti (1971-2021) yang dilaksanakan sehingga tahun 2022 bertujuan menghargai aspirasi kecemerlangan dan kejayaan semua pihak dalam pembangunan UPM. – DagangNews.com