Skip to main content
Kolum Volatiliti - 18 August 2021

Gajah Sama Gajah Berperang, Pelanduk Mati Di Tengah-Tengah

 

 

PASTINYA rakyat Malaysia sedia maklum dengan apa yang berlaku dalam negara kita. Perebutan kuasa politik mengakibatkan perletakan jawatan Perdana Menteri, sekali gus berakhirnya kerajaan Perikatan Nasional.

 

Dalam masa yang sama, kita terlupa perihal kes COVID-19 yang masih mencecah ribuan kes  positif dan kematian setiap hari masih lagi tinggi dengan keadaan proses pemulihan ekonomi yang dikhuatiri boleh terencat.

 

Apa yang lebih penting sebenarnya? Di manakah fokus utama negara? Apakah politik, kesihatan atau keselamatan? Atau ekonomi ?

 

Jangan Pentingkan Diri Sendiri

Perebutan kuasa pentadbiran negara ini membuatkan rakyat berasa sangat kecewa. Dalam negara berperang dengan kemelut kesihatan, keselamatan dan ekonomi, pemimpin-pemimpin negara sibuk berebut kuasa dalam pentadbiran negara.

 

Kenapa tidak boleh tunggu sehingga kita menang dalam “peperangan” melawan COVID-19 ini dulu? Kenapa yang tak sabar sangat ni?

 

Malaysia Hilang Kestabilan Politik

Sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan pada 2018, politik di Malaysia sentiasa berantakkan. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir tetapi seperti diduga, bukan satu pakatan yang selesa dan aman damai.

 

Pimpinan PH telah menarik beberapa ahli parlimen UMNO ke dalam PH untuk mengukuhkan kedudukan PH. Apabila pengundi Melayu menyokong BERSATU, parti itu mendominasi kedudukan dalam PH dan tidak disenangi sebahagian besar rakan komponen lain khususnya PKR dan DAP.

 

 

PH

 

 

PH hanya sempat berkuasa 22 bulan dan jawatan Perdana Menteri seterusnya bertukar selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong meskipun dengan majoriti tipis, seterusnya Perikatan Nasional (PN) dibentuk. Perebutan tampuk kuasa tidak terhenti di sini dan kini, Perdana Menteri sekali lagi bakal ditukar.

 

Dua perkara penting apa yang dilihat daripada kemelut ini ialah:

  1. Tawar menawar politik ini sebenarnya telah mengenepikan suara rakyat.
  2. Mengancam kestabilan politik negara.

 

Ketidakstabilan politik mengakibatkan negara menanggung kos jangka masa panjang

Mungkin ramai kita yang merasakan dalam ketidakstabilan politik ini, kesukaran untuk memilih pimpinan negara perlu diselesaikan segera. Apa yang perlu dilakukan. Adakah pilihan raya perlu untuk memilih kerajaan baharu?

 

Dalam COVID-19 yang masih kritikal, bagaimana pilihan raya boleh diadakan? Jika mana sekalipun COVID-19 semakin pulih kelak (kita sama-sama berdoa), bukankan proses pilihan raya merupakan kos yang sangat besar kepada negara sedangkan negara memerlukan dana yang lebih penting bagi tujuan kesihatan dan keselamatan.

 

Benar, untuk mengadakan PRU juga melibatkan satu jumlah kos kepada negara tetapinya ia kos jangka masa pendek sahaja.

 

Bagaimana pula, ketidakstabilan politik menjadi kos jangka masa panjang kepada negara? Pasti kita agak keliru. Apa kaitannya?

 

Akibat ketidakstabilan politik, Malaysia akan kehilangan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit. Tahun lalu sahaja pelaburan asing hanya melabur RM10.1 bilion ataupun jatuh 68%s lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dan Malaysia merupakan yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN. Bagaimana dengan dengan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia jika negara asyik tukar kerajaan dan kepimpinan?

 

 

volatiliti

 

 

Banyak syarikat China lebih cenderung memilih negara ASEAN lain kerana politik negara yang stabil dan infrastrukturnya yang lebih mantap.

 

Malaysia juga turut terperangkap dan kalah dengan Singapura dalam meraih pelaburan bernilai tinggi serta kecundang dengan Indonesia mahu pun Vietnam dalam mengaut pelaburan berteraskan ‘low-cost mass production’.

 

Adakah kita merasakan pelabur-pelabur asing ini akan kembali ke Malaysia kelak? Ini yang kita amat risau dan takutkan. Jika negara terus berantakkan dengan kemelut ketidakstabilan politik ini, ada kemungkinan keputusan pelabur memilih negara lain dan tidak akan kembali lagi ke Malaysia.

 

Inilah kos jangka masa panjang yang bakal dihadapi negara kesan ketidakstabilan politik ini.

 

Kesan Pengganda

Selain itu, kesan pengganda daripada kehilangan pelabur asing ini sangat besar kepada struktur ekonomi. Peluang pekerjaan pastikan akan terus menguncup kesan daripada “keluarnya” pelabur asing daripada Malaysia. Kini, Malaysia yang memang menghadapi masalah pengangguran yang tinggi akibat COVID-19.

 

Jumlah pengangguran di Malaysia telah meningkat kepada 768, 700 orang atau pada kadar 1.8%, seperti yang diumumkan di dalam Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Ini pastinya membimbangkan semua orang. Angka ini pastinya akan terus meningkat.

 

Bagaimana pasaran pekerjaan mahu dipulihkan sedangkan pelabur-pelabur asing ini yang banyak mencipta dan membuka peluang pekerjaan berskala besar kepada rakyat Malaysia melalui projek-projek tertentu?

 

Pada masa ini rakyat sangat perlukan manfaat daripada pelaburan-pelaburan asing kerana dengannya peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan  kuasa membeli juga akan meningkat.

 

Hal ini disokong oleh Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin dengan menyatakan jika keadaan politik negara dilihat sebagai tidak stabil oleh pelabur, ia akan menjadikan ekonomi negara semakin teruk.

 

 

volatiliti
AHLI Parlimen Pakatan Rakyat menunjuk perasaan di Dataran Merdeka pada awal bulan ini.

 

 

Pelabur Risau Dengan “Sovereign Risk”

Kenapa pelabur risau dengan ketidakstabilan politik ini dengan pelaburan mereka? Pelabur asing akan terlibat dengan “sovereign risk” bila mana kontrak-kontrak yang termeterai boleh berubah dengan perubahan kerajaan. Perkara inilah yang akan mendorong pelabur “angkat kaki” dari Malaysia dan memilih negara lain yang mempunyai iklim politik yang lebih stabil.

 

Pelabur asing sangat berhati- hati dengan beberapa keadaan yang menyumbang kepada peningkatan ‘sovereign risk’ atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia.

 

Sebelum ini dengan perubahan kerajaan menyebabkan pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC), penamatan kontrak perjanjian Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura dan penamatan projek saluran paip pelbagai produk (MPP) membuatkan pelabur asing semakin takut untuk melabur di Malaysia.

 

Semua situasi ini jelas membuktikan perubahan kerajaan membawa ‘sovereign risk’  kepada pelabur asing dan hal ini sememangnya mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia.

 

Jaminan Kepada Pelabur Asing

Bagi membawa kepercayaan dan keyakinan pelabur kembali kepada Malaysia, Malaysia perlu membangunkan polisi ekonomi yang jelas yang membentuk prinsip pengurusan risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa walaupun berubah kerajaan atau pimpinan negara.

 

Inilah jaminan yang sekurang-kurangnya menarik kembali minat pelabur asing untuk kembali ke Malaysia.

 

 

volatiliti

 

 

Kesan Ke Atas Ringgit

Ketidakstabilan politik juga akan menyebabkan kelemahan kepada ringgit. Kadar pertukaran mata wang asing negara iaitu Ringgit berbanding Dolar AS menunjukkan kesan kejatuhan. Pelabur asing akan mencairkan aset mereka sebelum membawa keluar pelaburan mereka ke negara lain. Situasi ini akan  merugikan negara dari segi nilai pelaburan yang hilang dan kesan kejatuhan kadar pertukaran mata wang asing.

 

Apabila sejumlah pelaburan dibawa keluar, maka melalui mekanisme pasaran nilai mata wang negara, iaitu ringgit akan mengalami penguncupan nilai.

 

Jangan bila gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah

Bagi mengatasi situasi semasa dalam kemelut politik kini, Malaysia perlu  menghantar mesej yang jelas kepada pelabur yang negara berada dalam keadaan yang stabil dan kerajaan mampu mentadbir negara dengan aman.

 

Secara asasnya, Kalau hendak bangunkan ekonomi mana-mana negara sekali pun, perkara pertama adalah kestabilan politik termasuk mengukuhkan sesebuah kerajaan.

 

Semua pemimpin negara janganlah bertelagah merebut kuasa dahulu, fikirkan dahulu kepentingan negara. Janganlah jadi gajah yang bertengkar, ekonomi negara semakin tenat, rakyat semakin menderita! - DagangNews.com

 

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags