Gamuda dijangka raih manfaat paling besar dalam projek MRT3 | DagangNews Skip to main content

Gamuda dijangka raih manfaat paling besar dalam projek MRT3

Gamuda memiliki kelebihan dalam projek MRT3. - Gambar : Facebook Gamuda
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mac - Gamuda Bhd. dijangka mencatat hasil dan pendapatan yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 (FY22) sejajar dengan prospek sektor pembinaan yang kembali pulih apabila beberapa projek mega dilaksanakan semula.

 

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, syarikat pembinaan itu yang mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja rel dan terowong menerusi usaha sama MMC-Gamuda, juga dijangka muncul antara pilihan utama bagi tender MRT3 yang akan ditawarkan pada Mei ini. 

 

"Malah, kami juga percaya, kumpulan akan meraih bahagian yang besar dalam kontrak MRT3. Dengan tempoh kerja selama 8 tahun, ini sekali gus menyumbang kepada pendapatan Gamuda yang lebih kukuh.

 

"Selain itu, komitmen kerajaan untuk menyemak dan kemungkinan menghidupkan semula projek yang dibatalkan sebelum ini, seperti Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), turut menyuntik sentimen positif kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Gamuda mencatat untung bersih sebanyak RM177.13 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2022, meningkat 43.72% berbanding RM123.24 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan keuntungan daripada segmen hartanah dan pembinaan mengimbangi perniagaan konsesi yang lemah. 

 

Hasil pada suku tersebut meningkat 43.88% kepada RM1.29 bilion daripada RM895.41 juta, apabila sumbangan bahagian hartanah meningkat lebih daripada 2 kali ganda untuk mengimbangi bahagian pembinaan yang lemah sedikit, manakala hasil konsesi juga meningkat.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Januari 2022, untung bersihnya meningkat 41.08% kepada RM329.5 juta daripada RM233.55 juta manakala pendapatan turut meningkat 22.66% kepada RM2.04 bilion berbanding RM1.66 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut MIDF Research, prestasi kewangan yang dicatatkan Gamuda bagi tempoh itu adalah memenuhi jangkaannya, justeru, tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran FY22. 

 

"Ini kerana anggaran kami sebelum ini telah mengambil kira sasaran tambahan kontrak sebanyak RM10 bilion, mengukuhkan anggaran hasil dan untung bersih teras kami masing-masing sebanyak RM4.35 bilion dan RM651.8 juta," jelasnya.

 

Bagaimanapun, dengan mengambil kira kenaikan harga sahamnya didorong beberapa perkembangan positif sepanjang bulan lalu, firma itu menyemak turun penarafan saham Gamuda kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini. 

 

Katanya, sejak 28 Februari 2022, sehari sebelum Gamuda memperoleh projek ddi Sydney, Australia, harga sahamnya sudah meningkat 17.7% setakat ini.

 

"Namun, kami mengekalkan harga sasaran pada RM3.63 dengan menambat nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 14.0x kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 sebanyak 25.9sen," katanya. 

 

Setakat 9.21 pagi ini, harga saham Gamuda menokok 5 sen atau 1.47% kepada RM3.44 dengan 985,300 saham diniagakan. - DagangNews.com