KUALA LUMPUR 3 Julai - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menganugerahkan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) bernilai RM1.97 bilion kepada Gamuda Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Jumaat lalu, Gamuda berkata, ia telah menerima surat setuju terima bagi projek yang dicadangkan.
Ini sekali gus menjadikannya sebagai kontraktor utama untuk membina loji rawatan air dengan kapasiti 700 juta liter sehari (MLD) berhampiran Tanjung Dua Belas serta struktur takungan berkapasiti 1,400 MLD untuk mengeluarkan air mentah tambahan dari bekas kolam perlombongan di Taman Putra Permai, Puchong.
“Sebaik selesai, projek ini akan membantu menyelesaikan isu kekurangan margin bekalan rizab air rendah yang dihadapi oleh penduduk Klang dan Selangor secara umumnya,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut yang turut melibatkan pembinaan dua jejantas melintasi Lebuhraya Elite dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan akan dimulakan pada 15 Julai ini dan dijangka selesai menjelang 30 Jun 2025.
Katanya, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023.
Tambah syarikat itu, risiko utama adalah risiko mata wang yang mungkin menjejaskan kos bahan dan peralatan yang diimport, di samping harga bahan pembinaan yang turun naik dan situasi pasaran buruh yang terhad pada masa ini. - DagangNews.com