KUALA LUMPUR 21 Sept – Consumer Choice Center (CCC) telah menganjurkan satu webinar secara dalam talian bertajuk Generasi Penamat, Ketinggian Undang-undang dan Perlembagaan, baru-baru ini.
Webinar ini bertujuan membahaskan dengan meneliti dan menilai dari sudut ketinggian undang-undang atau “rules of law” dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai intipati generasi penamat.
Wakil CCC Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, hak kebebasan individu untuk pengguna dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diberikan perhatian serius dalam pelaksanaan generasi penamat ini.
“Sering kali kurang dibincangkan tentang hak asasi atau kebebasan individu dalam perkara ini. Sehinggakan baru-baru ini Tun Zaki iaitu bekas Ketua Hakim Negara turut menyentuh isu kebebasan individu dalam kenyataan beliau.
“Kita boleh ada banyak undang-undang digubal tetapi yang lebih penting adakah undang-undang itu bertujuan mencapai matlamat keadilan dan kesaksamaan”, katanya.
Panel utama bagi webinar ini adalah R. Paneir Selvam selaku juruperunding kumpulan pemikir Arunachala Research & Consultancy Sdn. Bhd (ARRESCON).
Dalam perbincangan tersebut, Paneir berkata, kesahihan undang-undang boleh dipersoalkan sekiranya penggubalan undang-undang tidak mengambil kira hak asasi pengguna.
“Undang-undang tertinggi di Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak asasi semua rakyat Malaysia. Jika kita tidak menitikberatkan perkara ini, kesahihan undang-undang akan dipersoalkan”, katanya.
“Jika kita membenarkan hak pengguna untuk memilih boleh dikawal oleh negara, tidak mustahil pada masa hadapan cara potongan rambut dan pemakaian akan turut dikawal. Ini adalah satu duluan yang bahaya dan langkah yang salah daripada pihak kerajaan.”
Menurut Paneir, undang-undang yang digubal mesti mengangkat prinsip kesaksamaan dan hak pengguna mestilah diutamakan.
“Undang-undang mestilah saksama bagi semua generasi dan setiap kelompok masyarakat. Undang-undang tidak boleh memberi hanya satu kelebihan kepada satu generasi dan melucutkan daripada generasi yang lain.”
“Rang undang-undang ini perlu ditangguhkan dan dibincangkan semula. Bukan hanya mendapatkan konsultasi pakar tetapi juga pengguna. Pengguna perlu diberikan hak untuk memilih dan hak itu tidak boleh diambil oleh pihak kerajaan dengan cara apa sekalipun.”
“Jika pihak kerajaan ingin menggubal sebarang dasar pada masa hadapan, kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diberi penekanan yang penting dan mereka mesti diwajibkan mengikut ketinggian undang-undang untuk membimbing penggubal undang-undang.”
Selain itu, beliau juga berpendapat pihak kerajaan harus mengubah strategi yang lebih efektif dalam usaha mengurangkan bilangan perokok di Malaysia dengan mendidik masyarakat berbanding menjadikan ia sebagai satu jenayah.
Layari https://www.facebook.com/PusatPilihanPengguna/videos/475950754426637 untuk menonton rakaman penuh webinar tersebut di laman Facebook CCC. - DagangNews.com